KESIHATAN bukan sekadar memastikan badan bebas daripada penyakit tetapi turut melibatkan kesejahteraan fizikal, mental dan emosi.
Sejajar dengan misi itu, AmLife menubuhkan AmHope, sebuah pusat pemulihan dan regeneratif khusus buat pesakit strok dan isu kesihatan fizikal lain.
Sempena ulang tahun ke-10 AmLife, pengasasnya, Lew Mun Yee berkata, AmHope ditubuhkan bertujuan membantu meringankan beban pesakit agar mampu mendapatkan rawatan kesihatan yang berkualiti pada harga berpatutan.
“Kami membantu orang ramai meningkatkan taraf kesihatan sejak puluhan tahun lalu melalui pendidikan kesihatan tidur dan penyelesaian penjagaan kesihatan.
“Sepanjang 10 tahun merawat pesakit, kami mendapati gangguan tidur boleh menjejaskan kesihatan kardiovaskular dan secara tidak langsung meningkatkan risiko strok.
“Strok bukan sahaja masalah individu, malah ia juga boleh menjejaskan ahli keluarga dari segi fizikal dan kewangan,” katanya.
AmLife menawarkan bantuan kewangan bagi membantu pesakit strok menghadapi kekangan ekonomi.
Pesakit yang menunjukkan laporan perubatan hospital selepas strok boleh menerima rawatan fisioterapi pada harga RM30 sahaja bagi setiap sesi (harga pasaran adalah RM150 setiap sesi).
“Potongan harga sebanyak 80 peratus ini termasuk peralatan dan rawatan berfungsi tinggi di pusat tersebut dan kos rawatan ini akan digunakan bagi membiayai rawatan untuk golongan yang tidak mampu sekali gus menjadikan AmHope sebuah pusat pemulihan yang berkonsepkan amal,” ujarnya.
Sementara itu, Pakar Perunding Neutrologi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Khoo Ching Soong, berkata, tahap pemulihan strok bagi setiap individu berbeza.
Justeru proses pemulihan sepanjang tempoh itu amat penting bagi meningkatkan peluang pemulihan secara menyeluruh.
“Kami mempunyai pelbagai kaedah pemulihan strok pesakit.
“Selain terapi pemulihan dan senaman, kami turut menyediakan rawatan alternatif bagi membantu pemulihan pesakit strok seperti rangsangan magnetik transkranial berulang (rTMS),” katanya.
Prosedur perubatan bukan invasif ini berpotensi meningkatkan motor dan fungsi kognitif pesakit selepas mengalami strok.
Pesakit memerlukan pemulihan intensif untuk memulihkan pertuturan motorik, fungsi kognitif dan perubahan gaya hidup.
Ini termasuk sokongan kesihatan mental daripada orang sekeliling bagi membantu meningkatkan tahap pemulihan strok pesakit.










