Si ‘pemburu’ teko antik

Si ‘pemburu’ teko antik

PUGIYANA Hussin bersama koleksi teko antik miliknya yang dikumpul sejak 2003. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGAN antik mempunyai nilai sentimental yang tersendiri. Justeru tidak pelik jika ada antara pengumpulnya yang sanggup menghabiskan wang ribuan ringgit demi mendapatkan koleksi idaman hati.

Mereka tidak hanya melihat koleksi barangan antik ini sebagai satu bentuk kepuasan, sebaliknya boleh memberikan pulangan lumayan buat peminatnya.

Selain corak, warnanya yang menarik dan tahun pembuatan, menjadikan set pinggan mangkuk mempunyai nilai tersendiri, terutama dalam kalangan pengumpul dan peminat barang antik.

 

Biarpun terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi bagi mendapatkan barangan antik terbabit, ia memberikan kepuasan buat peminatnya, Pugiyana Hussin, 51.

Ibu kepada empat cahaya mata dan nenek kepada seorang cucu itu tidak menyangka hadiah satu set lengkap teko dan cawan daripada seorang rakan lebih 20 tahun lalu menjadi pencetus kepada minatnya terhadap barangan antik berkenaan.

“Pada mulanya saya sama seperti orang lain juga. Tidak pandang pun set barangan pinggan mangkuk antik ini. Sehinggalah kawan saya menghadiahkan saya satu set lengkap teko, cawan dan pinggan pada 2003.

“Awalnya saya hanya simpan seperti biasa. Suatu hari saya keluarkan daripada simpanan dan saya tertarik pula melihat corak bunga yang terdapat pada set terbabit.

“Sejak daripada itu, saya berminat untuk mengumpul barangan seperti ini. Kebetulan pula kawan saya yang hadiahkan saya set lengkap itu juga adalah penjual barangan antik, jadi daripada dialah, minat saya semakin berkembang,” katanya kepada Seri.

KUMPULAN DI MEDIA SOSIAL

Bermula daripada situ juga, Pugiyana mula menyertai kumpulan pengumpul pinggan mangkuk antik dari laman sosial Facebook.

Dia berkenalan dengan lebih ramai pengumpul barangan antik dan mereka sering melakukan perjumpaan untuk saling bertukar koleksi selain menambah koleksi yang dijual pengumpul lain.

“Daripada situ juga kami berkongsi maklumat tentang bagaimana untuk mendapatkan koleksi yang diinginkan. Saya sanggup ‘memburu’ koleksi ini di negeri lain seperti Johor dan Kuala Lumpur.

“Saya juga turut mendapatkan koleksi bercorak unik dari negara-negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia yang dihantar melalui pos. Lama kelamaan, koleksi teko saya semakin bertambah dan kini mencecah sekitar 150 biji,” katanya. Koleksi itu dibeli pada harga antara RM80 sehingga RM30.

TEKO dengan motif bunga paling banyak dimiliki Pugiyana.

BUNGA BERBEZA

Pugiyana turut memberitahu, setiap satu koleksi teko miliknya memiliki motif bunga yang berbeza seperti ros, kekwa, kangkung, kembang pagi, padi dan bunga sakura.

“Setiap satu daripada koleksi saya ini juga mempunyai cop di bahagian bawah yang menandakan ianya adalah tulen di mana kesemuanya dibuat di China,” katanya.

Menurutnya, rata-rata koleksi teko dimilikinya berbentuk bulat dan hanya sebahagian kecil sahaja berbentuk petak.

“Saya anggarkan koleksi saya miliki ini berusia antara 30 hingga 50 tahun,” katanya.

MINAT JADI SUMBER PENDAPATAN

Tidak sekadar dijadikan koleksi, set berkenaan turut mampu menjana pendapatan apabila dijual kepada peminat teko yang lain.

“Saya mula kumpul dan jadi pengumpul tegar pada 2003 dan pada 2014 saya mula menjadi pengumpul dan penjual. Setiap barangan yang dijual memiliki harga berbeza bergantung kepada keunikan coraknya serta kondisi barangan itu. Jika ada yang rosak harganya lebih murah. Jika dijual secara set lengkap, harganya akan menjadi mahal dan boleh mencecah sehingga RM1,000.

“Ada juga yang dijual secara berasingan seperti untuk satu teko bercorak unik atau susah ditemui, yang boleh mencecah harga lebih RM300 sebiji,” katanya.

Berikutan peredaran masa, dan gaya hidup Pugiyana merasakan hari ini pengumpul teko semakin sedikit.

“Sekarang sudah kurang orang minat barangan macam ini. Saya juga telah jual hampir separuh daripada koleksi barangan antik saya kecuali teko yang memang saya suka simpan.

“Saya sudah tidak mahu pergi hunting kerana rasa sudah terlalu banyak koleksi ini di rumah saya. Buat masa ini saya hanya mahu menyimpan sahaja koleksi sedia ada,” katanya memberitahu koleksi bermotifkan corak bunga berwarna hitam dan set terhad teko dan cawan Dumex menjadi koleksi kegemarannya.

Kini koleksi yang ada hanya untuk simpanan dan tatapan sendiri termasuk anak dan cucu.

“Anak turut melarang saya menjual kesemua koleksi yang saya ada miliki ini. Katanya sayang dan biarlah terus disimpan sebagai hiasan.

“Kalau ada pun yang hendak beli mungkin saya akan jual untuk mereka yang mahu melengkapkan koleksi mereka sahaja,” ujarnya.

MANGKUK DODOL BERUSIA 60 TAHUN

Selain memiliki koleksi teko berlukisan bunga, Pugiyana juga turut gemar menyimpan barangan antik yang pernah digunakan masyarakat Melayu seperti pinggan dodol, balang kaca kuih raya, gelas dan pinggang mangkuk lama yang berusia lebih 40 tahun.

Paling lama adalah mangkuk dodol simpanan ibunya yang berusia hampir 60 tahun. Pada kebiasaannya mangkuk terbabit digunakan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu untuk meletakkan kuih tradisional dodol terutama ketika Hari Raya Aidilfitri.

“Mangkuk dodol ini orang sudah tidak gunakan sekarang. Anak muda juga sudah tidak kenal. Begitu juga dengan balang kuih kaca di mana pada zaman ini mereka lebih memilih untuk menggunakan balang plastik.

“Selain itu saya juga masih simpan gelas kaca serta pinggan dengan rekaan klasik. Koleksi ini biasanya digunakan selain dipinjamkan kepada jiran ketika majlis kahwin atau kenduri kendara suatu ketika dahulu.

“Semua ini saya simpan. Sesekali saya akan keluarkan untuk cuci sambil mengimbau kenangan suasana kampung suatu ketika dahulu,” katanya.

Selain set minuman, Pugiyana turut gemar menyimpan koleksi pelbagai jenis pelita, periuk ayan, mangkuk tingkat, bekas air, tepak sirih dan par hantaran. Kesemua produk ini semakin sukar diperolehi hari ini.

“Kalau ada pun pada masa kini mungkin buatan yang kurang berkualiti berbanding buatan lama yang lebih tahan lama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×