Melancong sambil berkahwin rancakkan kahwin sindiket

Melancong sambil berkahwin rancakkan kahwin sindiket

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK sukar untuk berkahwin di sempadan sekarang ini, malah nampaknya semakin rancak.

Buktinya, awal tahun ini Utusan Malaysia mendedahkan kira-hampir 300 pasangan Malaysia dilaporkan bernikah di Thailand dalam tempoh sebulan.

Majoriti daripada perkahwinan itu difahamkan melibatkan kes poligami iaitu berkahwin tanpa pengetahuan isteri pertama.

SINDIKET tidak mendapat pentauliahan, merisikokan pasangan kepada perkahwinan tidak sah.

Profesor Pusat Kajian Undang-Undang Antarabangsa dan Siyar (Cilas), Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal mendedahkan modus operasi sindiket menggunakan kaedah melancong sambil berkahwin untuk pasangan yang ingin kahwin secara mudah di sempadan.

NOOR AZIAH MOHD. AWAL

Kebijaksanaan sindiket menawarkan pakej-pakej menarik menjadikan aktiviti itu semakin rancak dan membuka ruang kepada golongan yang mahu menikah dengan segera.

Bimbang dengan perkara itu, beliau berkata, ia mengundang risiko besar kepada pelanggan yang menggunakan khidmat berkenaan kerana tidak dapat dipastikan kesahihan perkahwinan diaturkan oleh sindiket itu.

Perkahwinan di sempadan sememangnya agak mudah dan ringkas berbanding di negara ini, namun ia tetap tertakluk kepada syarat-syarat tertentu untuk memastikan ikatan dibina, sah di sisi agama.

Malah Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla, Thailand yang sering menjadi tumpuan pasangan Malaysia berkahwin, turut mengingatkan pasangan yang ingin bernikah di sempadan untuk mengikut saluran yang betul.

Majlis Agama Islam itu hanya mengiktiraf sijil nikah dikeluarkan pihaknya sahaja dan bukan mana-mana pernikahan yang diadakan di rumah, hotel, kedai makan atau tempat selain pejabat kerana mereka yang terlibat tidak mendapat pentauliahan
pihaknya.

Perkara itu turut dipersetujui Persatuan Majlis Agama Islam Enam Wilayah Selatan Thailand (Permai) merangkumi wilayah Pattani, Narathiwat, Yala, Songkla, Satun dan Phatthalung yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Sindiket begini ada buat iklan di media sosial, misalnya melancong sambil berkahwin yang mana ia membuka ruang lebih mudah untuk individu yang ingin kahwin di sempadan.

“Lebih-lebih lagi kebanyakan yang kahwin di sempadan ini adalah mereka yang ingin berpoligami secara sembunyi, terlanjur dengan pasangan ataupun sebab tidak mendapat restu keluarga.

“Apa yang kita risau ialah jika disebalik tawaran ini adalah sindiket yang tidak mendapat pentauliahan, ia merisikokan pasangan dengan perkahwinan yang tidak sah. Apabila pulang ke Malaysia, ia akan menjadi lebih bermasalah untuk didaftarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada 2022, mendedahkan bagi kes permohonan pengesahan dan pendaftaran pernikahan di mahkamah syariah yang kebanyakan melibatkan pernikahan luar negara, hanya 11,833 kes diluluskan berbanding 16,346 pengesahan perkahwinan yang didaftarkan bagi tempoh lima tahun.

CAMPUR TANGAN ‘ORANG DALAM’?

Mengulas mengenai permasalahan yang bagaikan tidak berkesudahan ini, Noor Aziah yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tidak menolak terdapat campur tangan ‘orang dalam’ yang menyukarkan isu ini untuk dibanteras.

Apa yang dikhuatiri, sindiket yang mempromosikan nikah sempadan ini turut terdiri dalam kalangan pegawai agama atau peguam syarie sendiri. Ia berdasarkan pemerhatiannya terhadap keskes berkenaan yang mampu menjanjikan ‘bulan bintang’ kepada pelanggan.

“Kita lihat tawarantawaran dalam pakej nikah sempadan ini agak meragukan kerana sindiket menjanjikan pernikahan adalah sah, terus dapat sijil nikah Malaysia atau boleh didaftarkan di Malaysia selepas nikah dan sebagainya, seolah-olah mereka ada akses mudah kepada bahagian nikah di pejabat agama.

“Kita minta polis buat siasatan mengenai perkara ini kerana risau jika ada ‘orang dalam’ yang membantu memudahkan urusan ini dengan mendapat bayaran sebagai ganjaran.

“Mustahil boleh dapat sijil nikah Malaysia tanpa pasangan didakwa bernikah tanpa kebenaran Jabatan Agama atau berpoligami tanpa kebenaran mahkamah,” jelasnya.

SIKAP WANITA PUNCA BERTERUSAN

Aktiviti kahwin sempadan atau dalam kata lain, kahwin lari amat mustahil untuk dibendung sekiranya wanita terus rela membiarkan diri ‘diikat’ oleh lelaki dengan cara sedemikian.

Noor Aziah berkata, sikap wanita yang sering melayan pujukan lelaki untuk berkahwin secara mudah di sempadan turut menjadi salah satu punca menyebabkan perkara itu berlarutan.

“Isu kahwin sempadan ini tidak akan berhenti selagi ada orang perempuan atau janda yang hendak kahwin di Thailand atau di mana sahaja atas pujukan lelaki yang berstatus suami orang.

“Sepatutnya, jika lelaki itu ikhlas, suruh dia pinang dengan cara yang betul.

“Jika ibu bapa tidak setuju sekalipun, boleh buat permohonan Wali Enggan/ Ingkar di Mahkamah Syariah yang membolehkan kuasa wali berpindah kepada wali hakim selepas pertimbangan oleh mahkamah.

“Saya sarankan pergi dahulu dapatkan nasihat dan rujukan di pejabat agama sebelum merancang untuk nikah di sempadan,” cadangnya.

IMPAK SOSIAL PADA PASANGAN, ANAK

Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr. Haslinda Abdullah berkata, lelaki mahupun wanita tidak seharusnya terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga dengan kaedah ‘segera’ itu.

HASLINDA ABDULLAH

Jika berdepan dengan masalah seperti halangan keluarga, banyak lagi alternatif lain yang boleh dipertimbangkan selain daripada memilih ‘kahwin lari’.

“Jika ibu bapa tidak setuju mesti ada baik dan buruknya. Pertimbangkan untuk jumpa dan tanya ahli ulama atau pakar agama mengenai perkara itu.

“Hendak lari untuk apa? Kahwin ‘segera’ macam itu akan ada impak di masa depan sebab kita ini bukan hidup dalam pengasingan. Kita hidup dalam komuniti dan ada keluarga.

“Kita fikir tidak mahu menyusahkan keluarga tetapi pada masa depan kita tidak tahu. Jika tidak menyusahkan keluarga sekalipun kita akan menyusahkan anak sekiranya perkahwinan itu tidak didaftarkan dengan sempurna,” katanya.

Gagal membuat pendaftaran di Malaysia merisikokan perkahwinan itu sebagai tidak wujud atau tidak diperakui undang-undang.

Justeru, ia tidak dapat menjamin hak semua pihak termasuk suami isteri serta daftar kelahiran anak-anak.

Anak-anak yang tidak didaftarkan kelahiran akan mengalami kesukaran dalam pelbagai urusan sama ada daripada segi pengurusan kesihatan, persekolahan dan kebajikan.

“Pendek kata, hak sebagai seorang isteri dan suami itu tidak wujud sekiranya ia tidak sah dan tidak didaftarkan. Contohlah, sekiranya berlaku penderaan domestik dan sebagainya dan kemudian nak bercerai macam mana kerana tiada rekod kahwin pun.

“Ibu bapa kena didik anak lelaki dan perempuan soal tanggungjawab supaya mereka tahu kesan dan akibat daripada perbuatan dilakukan. Perkara yang bermula dengan cara yang tidak betul selalunya berakhir pun dengan tidak betul,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar media-media utama tidak berhenti melaporkan mengenai kesan nikah di sempadan, bagi memberi kesedaran dan pemahaman kepada orang ramai terutamanya anak muda.

Ini berikutan dibimbangi pengaruh di media sosial, membuatkan makin ramai berani mencuba nikah di sempadan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×