EMPAT tahun lalu, Nur Aini Syuhada Abdul Samad, 27, dihadiahkan seekor kura-kura bernama Siti oleh kawan baiknya.
Dek kerana sifatnya yang jinak dan daya tahan tubuhnya yang kuat membuatkan Syuhada tertarik untuk memelihara haiwan reptilia berkaki empat ini.
“Siti berada di bawah jagaan saya sejak 2020 lalu. Ia merupakan kura-kura daripada baka stigmochelys pardalis atau dikenali sebagai leopard tortoise yang berasal dari Afrika Timur,” katanya.
Spesis berkenaan dikategorikan sebagai kura-kura keempat terbesar di dunia dan istimewanya jangka hayat untuk leopard tortoise boleh mencecah 75 hingga 100 tahun.
“Jangka hayatnya yang panjang juga membuatkan saya dan pasangan lebih tertarik untuk memilih kura-kura sebagai haiwan peliharaan,” jelasnya.

SITI UNIK
Keunikan Siti terletak pada cangkerangnya. Ia memiliki corak lingkaran kuning, perang muda dan coklat, menyerupai bintik-bintik harimau bintang yang menyerlahkan lagi keistimewaannya.

Syuhada berkata, Siti merupakan seekor kura-kura yang bersifat tenang dan mudah untuk dijaga.
Menurutnya, sepanjang empat tahun memelihara Siti, haiwan ini tidak pernah sesekali menunjukkan tingkah laku agresif.
“Saya adalah seorang pencinta haiwan jadi saya tahu memelihara haiwan bukanlah satu perkara yang mudah.
Ia memerlukan perhatian dan penjagaan khusus. “Namun begitu, Siti lain daripada yang lain.
Selama saya bela Siti, dia tidak pernah bertindak agresif malah sangat senang dijaga dan tidak menyukarkan saya.
“Ia mungkin kerana kura-kura tidak berbulu, tidak bising dan najisnya juga tidak terlalu berbau membuatkan spesis ini lebih mudah diurus berbanding haiwan lain,” ujarnya.
DEDIKASI JAGA
Menjaga kura-kura seperti Siti memerlukan dedikasi dan pengetahuan khusus mengenai keperluan habitat dan pemakanannya.

Menurut Syuhada, kura-kura memerlukan habitat yang luas dengan tahap kelembapan yang rendah selain suhu kandang perlu berada antara 25 hingga 35 darjah selsius pada waktu siang.
Manakala sebelah malam, suhu tidak kurang daripada 20 darjah selsius.
Ujarnya, kebersihan juga perlu diutamakan supaya kura-kura terhindar daripada penyakit seperti pembusukan cangkerang yang disebabkan oleh jangkitan bakteria yang boleh mengakibatkan kerosakan pada cangkerangnya.
“Najis kura-kura perlu dibuang setiap hari dan alas kandang perlu ditukar sekurang-kurangnya seminggu sekali.“Setakat ini, Siti tidak pernah dijangkiti penyakit.
Namun, saya akan sentiasa berjaga-jaga dan segera mendapatkan rawatan jika terdapat tanda-tanda yang mencurigakan.
“Aktiviti basking atau berjemur di bawah matahari turut penting untuk membantu pencernaan dan penyerapan nutrisi kura-kura,” katanya.
Mengenai kos penjagaan, katanya, jumlah anggaran yang diperlukan untuk menjaga Cik Siti adalah sekitar RM300 sebulan.
Jumlah tersebut meliputi makanan harian Siti yang terdiri daripada daun mulberi, daun bunga raya, sawi dan palet khas untuk kura-kura darat.










