POKOK matoa atau turut dikenali sebagai pokok kristal di Sarawak mungkin agak jarang didengari dan dijumpai oleh kebanyakan orang sebelum ini.
Namun, ia semakin mendapat perhatian ramai sejak tahun lalu dek kerana rasanya yang unik.
Buah bersaiz bulat seakan kedondong itu memiliki tiga rasa gabungan buah-buahan iaitu laici, rambutan dan durian.
Disebabkan itu, tidak hairanlah nilainya semakin meningkat di pasaran ketika ini.
Pengusaha tanaman matoa, Prof. Aziz Romli, 66, berkata, rasa buahnya yang rare itu menjadi suatu keunikan.
“Tidak ramai lagi yang menanam pokok ini di Malaysia, sebab itulah harga buah semasa boleh mencapai RM40 sekilogram (kg),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau mula menanam pokok berkenaan sebagai sekadar hobi dan untuk makan sendiri.
Namun atas permintaan ramai, buah dan anak benih pokok matoa dijual kepada yang berminat.
Buah matoa atau nama saintifiknya Pometia pinnata merupakan natif di Asia Tenggara dan lebih popular di Indonesia berbanding Malaysia.
Tanaman yang turut terkenal dengan jolokan ‘buah tiga rasa’ ini turut mempunyai dua jenis buah iaitu berwarna hijau kekuningan dan merah gelap apabila masak.

PULANGAN LUMAYAN
Aziz yang juga pesara Profesor di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, tanaman berasal dari Papua New Guinea itu mampu memberikan pulangan hasil lumayan bagi setiap pokok.
Malah, nilai pasaran yang semakin meningkat naik mengikut keadaan semasa menjadikannya setara dengan nilai durian Musang King.
“Bergantung kepada kesuburan pokok, daripada pemerhatian saya, pokok saya yang berusia tujuh hingga lapan tahun boleh menghasilkan sekitar 80 hingga 100kg buah untuk sepokok.
“Dengan harga sekarang, sepokok boleh dapat hasil sekitar RM3,000 hingga RM4,000. Setara dengan menanam durian Musang King yang perlukan penjagaan yang sangat rapi,” jelasnya yang mula menanam tanaman itu sejak 10 tahun lalu.
TAHAN LASAK
Menariknya, tanaman yang merupakan spesies sama seperti longan ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi kerana ciri-cirinya yang tahan lasak.
Kata Aziz, ia merupakan pokok yang mudah ditanam dengan penjagaan yang minimum sahaja.
“Pokok mudah hidup dan mudah penjagaan kerana iklim negara asalnya sama dengan Malaysia.
“Cuma untuk jangka panjang, disarankan supaya pokok dipangkas setiap kali selepas tuai buah untuk kekalkan ketinggian pokok (sekitar tinggi 15 hingga 20 kaki) untuk mudahkan memetik buah berikutnya. memetik buah berikutnya.
“Pokok ini jenis membesar dan boleh mencapai ketinggian 30 hingga 40 kaki. Jarak tanaman perlukan sekurangnya 20 kaki,” katanya yang turut menanam anggur, tin, longan ruby, buah beri dan ciku mega.
Daripada segi pembajaan pula, ia hanya memerlukan pembajaan berkala dua hingga tiga bulan sekali.
“Jarang menggunakan racun serangga atau perosak kerana pokok ini jenis tahan lasak. Pokok boleh berbuah seawal 2 1/2 tahun ditanam,” jelasnya lagi.










