Perwatakan anak kecil sering sahaja berubah-ubah seiring dengan tumbesaran mereka.
Fasa perubahan emosi, menyebabkan kadangkala mereka bertindak agresif.
Mungkin kelihatan normal untuk anak kecil menjerit, menendang atau memukul jika tidak mendapat sesuatu yang diingini.
Namun, semua tingkah laku itu mempunyai had umur yang menentukan sama ada sifat agresif tersebut normal ataupun tidak.

Ahli Terapi Cara Kerja Kanak-Kanak, Maryam Jamadi berkata, perlakuan agresif hanya normal pada kanak-kanak berusia setahun enam bulan sehingga tiga tahun sahaja.
Katanya, golongan itu kebiasaannya mengalami fasa perubahan perkembangan emosi dan sosial.
“Di tahap umur ini anak akan mula rasa ada autonomi untuk buat semua benda sendiri dan rasa semua orang kena dengar cakapnya.
“Jika dilarang ibu bapa, dia akan mula mengamuk, menjerit dan kemudian memukul untuk tengok reaksi orang sekeliling.
“Tetapi jika anak itu sudah berumur tiga tahun ke atas dan masih lagi baring di lantai, hendak memukul orang, ia sudah tidak normal,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Dapatkan rawatan
Kanak-kanak yang masih bersikap agresif setelah usianya melebihi tiga tahun perlu mendapatkan rawatan segera bagi mengawal tingkah laku berkenaan agar tidak terbawa-bawa sehingga dewasa.
Ia bukan sahaja petanda anak mengalami masalah gangguan tumbesaran lain seperti attention-deficit/hyperactivity disorder (ADHD) atau autisme, sebaliknya kadangkala ia hanya berkait dengan masalah tingkah laku.
“Tidak semestinya anak yang agresif ini ada ciri-ciri autisme atau ADHD. Saya sarankan ibu bapa membawa anak berjumpa dengan ahli terapi cara kerja kanak-kanak secepatnya.
“Biasanya kami akan buat penilaian dahulu untuk lihat sama ada terdapat ciri-ciri autisme atau ADHD dan kemudian barulah terapi akan dijalankan.
“Ibu bapa juga boleh belajar cara mengendalikan anak-anak melalui buku tingkah laku dan sebagainya. Tetapi jika sudah tidak tahu hendak uruskan macam mana, bawa sahaja jumpa ahli terapi,” katanya yang sudah 10 tahun dalam bidang terapi cara kerja kanak-kanak.

Pengaruh skrin
Berdasarkan pengalaman beliau, penyebab kepada berlakunya tingkah laku tidak normal itu adalah pengaruh skrin terhadap otak kanak-kanak.
Pendedahan berlebihan kepada skrin serta rancangan-rancangan yang tidak mesra kanak-kanak seperti kartun ganas dan sebagainya menyebabkan kanak-kanak mula meniru tingkah laku berkenaan.
“Anak-anak normal boleh menjadi agresif kerana rancangan atau program yang ditonton tidak sesuai dengan umur mereka.
“Banyak kes yang saya jumpa berpunca akibat pengaruh aplikasi dalam talian yang merosakkan pemikiran mereka.
“Usia baru tiga tahun tetapi sepanjang masa suka tengok rancangan pukul-pukul, yang ganas dan sebagainya. Sebab itu, mereka cenderung untuk jadi agresif,” jelasnya.
Selain itu, kadangkala ia berpunca daripada sikap ibu bapa sendiri yang sentiasa menjadi ‘penyelamat’ sekiranya anak melakukan kesalahan.
“Misalnya, bila kita marah anak buat salah tetapi ada orang lain yang jadi ‘penyelamat’ melindunginya, jadi ia juga boleh menyebabkan berlakunya masalah tingkah laku ini.
“Jangan normalisasikan perkara itu kerana anak yang agresif boleh kekal agresif hingga besar jika tidak dibantu.
“Sebaiknya rujuk kepada ahli terapi sebelum umur anak tujuh tahun,” katanya lagi.
Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk peka dengan masa skrin anak-anak dan rancangan atau program yang ditonton.
Sebaiknya, laman hiburan ditapis agar si kecil mereka tidak terpengaruh dengan anasir negatif.










