Wanita berniqab lincah di litar

Wanita berniqab lincah di litar

SUAMI menjadi penyokong terbesar dalam sukan permotoran
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPILANNYA sopan dan sungguh manis dipandang dengan niqab yang menutupi sebahagian wajahnya.

Namun, siapa sangka wanita ini juga begitu lincah di litar dengan motosikal berkuasa besar miliknya.

Pemilik nama Ismarina Tahir,37 ini gemar meluangkan masa lapangnya menunggang motosikal jenis BMW S 1000 RR di litar, malah begitu tangkas melayan setiap ‘corner’.

Video-video yang dikongsikan ketika menunggang motosikal di Tiktok miliknya seringkali mendapat perhatian ramai dek penampilannya berniqab.

Pun begitu ujar Ismarina yang mesra disapa sebagai Rina, bukan semua gemar dengan penampilannya sebegitu.

“Sudah tentu ada kecaman yang saya dapat bila berkongsi video-video itu kerana mereka kata aktiviti itu tidak sesuai dengan penampilan saya yang berniqab.

“Hanya saya sahaja yang tahu apa niat saya bermain motosikal ini. Lebih daripada itu, saya ingin tunjukkan bahawa bermain motosikal ini tidak semestinya berpenampilan seksi sahaja “Bukanlah mahu tunjukkan saya baik tetapi wanita dalam bidang ini sering dikaitkan dengan imej seksi dan negatif.

Dengan kehadiran saya diharapkan persepsi dan industri ini boleh berubah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

LINCAH menunggang motosikal berkuasa besar di litar.

GEMBIRAKAN SUAMI

Pembabitan Ismarina dalam bidang sukan lasak itu, sebenarnya bertujuan untuk menggembirakan suaminya.

Disember 2022 memahatkan detik hitam dalam kehidupannya dan suami apabila suami, Muhamad Nazrin Azahari terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawa.

Muhamad Nazrin yang pada ketika itu mengikuti konvoi bermotosikal cedera parah di bahagian tangan dan antara ahli yang mengalami kecederaan paling kritikal sementara seorang lagi rakannya terkorban dalam nahas itu.

Kemalangan tragis itu bukan sahaja ‘meragut’ lengan kiri suaminya yang disahkan sebagai lumpuh kekal, malah menguburkan semua impian
dan minat suaminya dalam dunia permotoran.

Suaminya yang berusia 37 tahun itu kini berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) apabila lengan kirinya tidak dapat digunakan lagi dan tidak
mampu lagi menunggang motosikal berkuasa besar kegemarannya.

Menyedari kesedihan suaminya itu, Rina sebagai seorang isteri mengambil keputusan untuk tidak berdiam diri sebaliknya mencari sesuatu yang boleh mengembalikan senyum pada suami tercinta.

“Saya mula menunggang motosikal pada tahun 2020 lagi, tetapi apabila suami tidak mampu lagi menunggang motosikal akibat kecederaan yang dialami, saya semakin aktif dalam bidang ini.

“Suami yang ajar saya main di litar dan dia memberikan sokongan sepenuhnya setiap kali saya bermain. Katanya, jika saya dapat masuk perlumbaan sekali pun dia sudah berpuas hati,” katanya yang bekerja dalam sektor perbankan.

Sejak daripada itu juga, Rina mengambil keputusan memakai niqab dan menjaga penampilannya ke arah yang lebih baik.

ISMARINA Tahir bersama motosikal kesayangannya.

Katanya, soal berniqab atau tidak bukanlah penghalang untuk seseorang itu melakukan perkara disukai, selagi tidak bertentangan dengan ajaran agama.

PUPUK DISIPLIN

Bukan sekadar seronok dan mengisi masa lapang, sukan permotoran turut mengajar wanita asal Kuala Lumpur ini berdisiplin dan menjaga kesihatan.

Mengendalikan motosikal 1000cc ini bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan fizikal jentera itu sendiri yang besar dan berat.

Disebabkan itu, katanya, bermain sukan lasak mendidik beliau untuk kekal cergas dan sihat serta secara tidak langsung menjaga kesihatan.

“Ia mengajar saya untuk disiplin daripada segi penjagaan kesihatan selain buat saya sentiasa ingin kekal cergas,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×