Pengawal Istana pegang teguh ‘taat setia kepada negara’

Pengawal Istana pegang teguh ‘taat setia kepada negara’

BARISAN pegawai dan anggota 1RAMD dan 21 SIB bergambar di hadapan pekarangan pintu masuk utama Istana Negara selepas upacara istiadat selesai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS lima tahun Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara tidak diadakan secara terbuka akibat Covid-19, upacara tersebut kembali semula di pekarangan utama Istana Negara baru-baru ini. 

Istiadat Pertukaran Pengawal Istana pertama kali diadakan pada 1959 di antara Pasukan Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) dengan Pasukan Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD). 

Sejarah mula dilakar apabila upacara ketenteraan itu dibuka buat pertama kali untuk tontonan awam dan pelancong sejak tahun 1994 iaitu setelah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Ke-10, Tuanku Ja’afar ibni Tuanku Abdul Rahman. 

Idea pertukaran pengawal lama dan pengawal baharu dilaksanakan serentak selepas Malaysia diberi penghormatan oleh kerajaan British bagi menggantikan pengawal mereka selama tiga bulan untuk mengawal empat kawasan di United Kingdom iaitu Istana Buckingham, Istana St James, Istana Windsor dan Menara London pada 2008. 

Istiadat berlangsung sekitar 40 minit itu dimulakan dengan barisan anggota pengawal lama bergerak keluar dari dalam istana dan mengambil kedudukan di hadapan pintu utama, sebelum anggota pengawal baharu mengambil kedudukan berhadapan dengan pengawal lama. 

PENYERAHAN panji-panji oleh pengawal lama kepada pengawal baharu sebagai simbolik pertukaran pengawal Istana Negara.

Seramai empat pegawai dan 80 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) serta dua pegawai dan 22 anggota LLP dari unit 21 Skuadron Istiadat Berkuda (21 SIB) di bawah naungan markas 12 Briged terlibat secara rasmi dalam upacara itu. 

Selain itu, pasukan Pancaragam Platun Brass Band 1 RAMD dengan kekuatan 25 anggota LLP dan Pancaragam Pusat RAMD seramai 30 anggota LLP turut mengiringi semasa penyerahan panji-panji antara pegawai lama dan baharu yang disaksikan Pegawai Memerintah 1 RAMD Kolonel Awis Ibrahim. 

Awis berkata, upacara dijadualkan berlangsung empat kali setahun itu, perlu mengikut tarikh diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. 

“Istiadat ini tidak boleh dilaksanakan sembarangan kerana melibatkan pintu utama Istana Negara iaitu laluan utama Seri Paduka Baginda bagi urusan rasmi negara sahaja maka sejak pelantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Januari lepas, ini pertama kali dilaksanakan,” katanya. 

TAAT SETIA PADA NEGARA 

Tambah Awis, prinsip ‘taat setia kepada negara’ dipegang teguh pengawal istana menjadi amanah besar untuk digalas mereka dalam urusan istiadat. 

“Skop tugas polis dan tentera mengawal istana, berbeza iaitu polis lebih tertumpu kepada aspek keselamatan manakala tentera akan fokus kepada istiadat di istana dan pintu-pintu masuk. 

“Antara tugasan pengawal istana ialah memberi tabik hormat dan kawalan suku apabila Yang di-Pertuan Agong berangkat tiba dan meninggalkan istana serta kunjungan kehormat atau ketibaan tetamu luar serta acara utama iaitu pertabalan dan hari keputeraan. 

“Pengawal Istana Negara seramai 24 anggota ini akan dibahagikan untuk bertugas di beberapa pintu-pintu utama, pengawal anjung dan pengawalan kuarters selama 365 hari bermula 6.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari. 

“Mereka akan ditukar selang dua jam sekali, bukan hanya seorang pengawal yang perlu berdiri selama 12 jam,” katanya sewaktu ditemui di Balai Pengawal Istana Negara. 

Mengenai kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara, Awis berkata, ia adalah kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Penonton yang hadir berkesempatan melihat secara langsung bagaimana pertukaran pengawal Istana Negara berlaku. “Ini adalah nilai berharga dalam sektor pelancongan untuk menarik orang ramai datang berkunjung ke sini sekali gus mempromosikan negara,” katanya. 

Upacara istiadat pertukaran pengawal seterusnya bakal dilaksanakan pada 3 Ogos, 19 Oktober dan 14 Disember ini di pekarangan utama Istana Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×