Negara perlu ada kilang batik

Negara perlu ada kilang batik

MOHAMED Najib Ahmad Dawa menunjukkan salah satu batik yang dipertandingkan. UTUSAN/HALINA MD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA memerlukan kilang batik bagi memastikan industri batik berkembang selaras dengan dasar kerajaan yang ingin meningkatkan penggunaan batik. 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Datuk Leela Mohd. Ali berkata, industri batik perlu beralih dari perusahaan kampung kepada kilang bagi memenuhi permintaan ramai.  

Ujarnya, kerajaan menyokong industri batik dengan menggalakkan pemakaian batik dalam penjawat awam tetapi penghasilan batik tidak mencukupi. 

LEELA MOHD. ALI

“Keadaan itu menyebabkan ada yang beli batik di pasaraya kerana murah tetapi ia bukan batik walaupun bercorak batik.  

“Sebab ramai yang masih tidak faham konsep batik. Indonesia ada kilang batik dan kilang mereka menawarkan batik cetak dan lilin. Kita hanya perusahaan kecil-kecilan,” katanya ditemui pada penjurian pusingan pertama pertandingan rekaaan batik Piala Seri Endon Batik (PSE) 2024 baru-baru ini.  

PSE edisi ke-19 ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu fesyen, hiasan lembut dan kraftangan. 

Bagi pusingan pertama, pengadil akan melihat betapa tepat peserta memenuhi syarat ditetapkan dan diaplikasikan di atas kain sebesar dua meter sebelum dijadikan rekaan fesyen atau produk lain. 

Syarat ketat dan penjurian dijalankan dengan teliti untuk pembahagian markah bagi memastikan semua  syarat dipatuhi. Bagaimanapun bagi pusingan pertama, tiada jumlah pemenang ditetapkan untuk ke peringkat seterusnya. 

Pertandingan akhir dijangka September depan. Pertandingan terulung itu adalah salah satu cara menyemarakkan industri batik dan pelbagai langkah lain diambil untuk membantu menaikkan pengusaha batik seperti menubuhkan Galeri Seri Endon. 

TIGA KATEGORI

Sebanyak 74 penyertaan diterima untuk tiga kategori dipertandingkan iaitu Fesyen (35 penyertaan), Kemasan Lembut (13 penyertaan) dan Kraftangan (26 penyertaan). Jumlah hadiah wang bagi setiap kategori ialah RM150,000.00. 

Galeri Seri Endon menjadi inkubator di mana ia berjaya mendidik sekurang-kurangnya enam orang yang memenangi piala berkenaan dalam satu masa untuk menghasilkan batik yang lebih bermutu. 

MOTIF batik bertemakan kampung diterapkan dalam rekaan.

“Kami faham mereka berbakat tetapi sayangnya ramai yang tiada tempat untuk mengetengahkan hasil batik yang mereka keluarkan. Kalau tidak diberi peluang, bakat mereka akan pupus.  

“Mereka turut diberi peluang menjana pendapatan dengan menghantar produk dihasilkan ke galeri ini. Sejak dua tahun lalu, sudah ada sebuah galeri diwujudkan di Pasar Seni untuk menarik pelancong,” katanya.  

Ada pemenang yang diberikan dana untuk menghasilkan produk sekurang kurangnya RM10,000 untuk diletakkan di galeri berkenaan tetapi mereka perlu menghantar produk dengan nilai yang sama.  

Ia bertujuan memupuk sifat keusahawanan dalam kalangan pemenang. Ini kerana hasil batik sememangnya lumayan sekiranya mereka tahu memasarkan produk masing masing terutama ke luar negara.  

Ujar Leela, Yayasan Budi Penyayang sanggup mengeluarkan dana sehingga RM1. 2 juta bagi meningkatkan imej dan prestij industri batik negara bagi mencungkil bakat dalam industri batik. 

Pertandingan Rekaan Batik yang berprestij ini adalah acara di bawah naungan Pergerakan Batik Malaysia: Ciptaan Untuk Dunia. Acara tahunan ini bertujuan menjana bakat baharu dan berusaha ke arah pembangunan Batik Malaysia.  

Sementara itu, Ketua Juri, Prof. Datuk Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, kebanyakan penyertaan tahun ini berjaya memaparkan rekacorak menarik. 

“Kami menekankan penggunaan lilin sebagai konsep dalam proses batik Malaysia. Kalau tidak, itu bukan batik Malaysia dan itulah juga yang membezakan batik kita dengan yang lain,” katanya.  

Sementara itu, bagi kategori hasil kraftangan, peserta memahami produk dan bahantara digunakan apabila banyak menggunakan teknik yang pelbagai termasuk fabrik.   

Manakala daripada sudut motif, ada yang masih mengekalkan rekacorak berunsur tradisi dan moden. 

Peserta turut menghasilkan produk mengikut zaman, tetapi tradisi sebagai akar dengan memaparkan tarikan daripada segi warna dan reka cadang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×