MEMILIH mainan yang sesuai untuk anak kadangkala menjadi dilema untuk ibu bapa pada hari ini memandangkan terdapat pelbagai pilihan di pasaran.
Malah, masih ramai juga yang keliru sejak usia berapakah anak boleh diberi mainan agar tidak mengganggu tumbesaran normal mereka.
Pakar Psikologi Klinikal Sunway Medical Centre, Evelyn Ngui berkata, kepentingan bermain boleh disamakan dengan kepentingan bernafas untuk anak-anak.
Hal ini kerana cara pembelajaran kanak-kanak sejak usia yang muda adalah melalui cara bermain.
Misalnya, bayi boleh belajar kemahiran sosial, motor kasar dan kognitif dengan bermain ‘peekaboo’ bersama ibu bapa.
Kanak-kanak pula boleh meningkatkan kemahiran mendengar, meniru dan bahasa ketika bermain masakmasak.
Selain itu, permainan seperti Monopoly pula mengajar kanak-kanak untuk menyelesaikan masalah, beri perhatian selain menyedari akibat tindakan mereka.
Menyentuh mengenai usia sesuai untuk didedahkan kepada mainan, kata Evelyn, ia boleh bermula seawal usia enam bulan.
Namun, ia harus bersesuaian dengan umur anak tersebut bagi mengoptimumkan fungsinya.
“Permainan termasuk blok, anak patung atau pun bola besar. Ini membolehkan bayi mempelajari konsep ‘keabadian objek’ (object permanence) pada jangka masa ini.
“Malah, mereka mula memahami bahawa mainan, ibu bapa, orang atau barang lain yang dikenali masih wujud walaupun dia tidak dapat melihatnya. Jadi, mereka akan terhibur dengan mainan yang dikenali dan meminta mainan yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
PELBAGAIKAN MAINAN
Setiap kanak-kanak mempunyai kegemaran mereka yang tersendiri termasuk permainan.
Bagi kanak-kanak perempuan misalnya amat menggemari anak patung dan budak lelaki pula kereta dan trak binaan.
Namun, ibu bapa sebenarnya harus mempelbagaikan mainan untuk merangsang otak anak.
“Jangan masuk ‘perangkap’ untuk membeli mainan yang anak suka sahaja (contohnya patung Barbie sahaja), sebaliknya ibu bapa boleh cuba untuk mendedahkan anak kepada banyak jenis mainan.
“Jenis-jenis mainan termasuk waterplay, dressup, blok, kereta mainan, bola dan lain-lain. Sekarang ini, banyak permainan di kedai menunjukkan umur yang bersesuaian berdasarkan umur anak anda,” ujarnya lagi.
Menjelaskan lanjut mengenai pemilihan mainan yang sesuai untuk anak, katanya semua jenis mainan boleh merangsang perkembangan anak-anak terutamanya anak kecil.
Mainan membolehkan anak-anak menggunakan kemahiran seperti imaginasi, kreativiti dan komunikasi apabila bermain.
Ibu bapa juga disyorkan untuk memberikan lebih masa untuk anak bermain, namun secara realiti atau fizikal dan bukan permainan berasaskan dalam talian.
“Bagilah anak selalu bermain. Tetapi, saya syorkan untuk jauhkan anak dari mainan alat elektronik seperti telefon bimbit dan komputer kerana banyak kajian telah mendapati bahawa pendedahan skrin yang berlebihan melambatkan perkembangan kanak-kanak,” katanya menutup bicara.










