BANYAK perubahan berlaku di sekeliling kita mengikut peredaran zaman. Dunia seni foto juga tidak terkecuali dalam memperkenalkan inovasi baharu meliputi teknologi kamera yang semakin hari semakin canggih.
Ini termasuklah evolusi fotografi daripada hitam putih kepada fotografi berwarna yang menjadi sesuatu pertemuan yang kekal hingga kini.
Pun begitu, dengan perkembangan yang semakin maju, fotografi hitam putih masih digemari dan kekal relevan.
Meskipun foto berwarna adalah perkembangan baharu namun ia tidak menggantikan seni foto hitam putih.
Foto berwarna nampak lebih menarik dan dengan realiti tetapi fotografi hitam putih tetap mempunyai kelebihan dan fungsinya tersendiri.
Fotografi hitam putih merujuk kepada senifoto di mana setiap subjek menunjukkan jumlah cahaya berbeza dan bukan warna yang berbeza.
Fotografi ini hanya mengandungi warna kelabu neutral daripada hitam hingga putih.

Sebagai mana kita fahami, terdapat pelbagai elemen untuk kita menghasilkan gambar.
Garisan, bentuk, ruang, tekstur, nilai dan warna antara elemen seni perlu ada dalam karya seni foto.
Dalam fotografi hitam putih, elemen warna terkeluar daripada senarai elemen seni yang ada.

Hal ini seterusnya menjadikan gambar secara keseluruhannya lebih sederhana dan membantu untuk menonjolkan elemenelemen lain. Ini seterusnya menjadikan fotografi hitam putih ini membantu kita lebih fokus kepada isi dalam foto.
Dalam fotografi hitam putih, kontras bukanlah hanya kepada perbezaan antara bahagian terang dan gelap dalam gambar tetapi adalah komponen utama seni hitam putih.
Bahagian hitam dan putih menjadikan kesan dinamik daripada bayangan gelap membuatkan gambar lebih menonjol.
Selain ciri kontras, elemen tona juga perlu diambil kira dalam mempengaruhi mood atau suasana dalam foto tersebut.
Tona-tona ini adalah warna daripada bahagian gelap kepada terang. Foto dirakamkan dengan tona cerah dikenali sebagai high key manakala foto yang dirakamkan dengan tona gelap pula dikategorikan sebagai low key.
Elemen bayangan (shadow) turut mempengaruhi aspek dalam fotografi hitam putih. Bayangan hitam pekat biasanya memberi gambaran penekanan utama manakala bayangan halus pula menghasilkan foto yang lebih kompleks secara keseluruhan.

gelap dan bayang-bayang, beri kesan dramatik.
Bentuk pula menjadi elemen penting dalam fotografi hitam putih kerana dengan ketiadaan warna maka tarikan akan pergi kepada bentuk-bentuk dalam imej foto.
Ini sekaligus menjadi cara utama untuk memahami sebuah foto hitam putih yang tidak ada warna.
Elemen yang terakhir adalah tekstur yang menjadi gambaran utama dalam foto.
Melalui tekstur yang saling berkait antara cahaya dan bayangan maka ia membentuk kekuatan untuk mempengaruhi emosi pada gambar yang dilihatkan melalui butir-butir lengkap subjek pada foto.
Dalam menghasilkan foto hitam putih yang baik ia bukan sekadar menukar gambar berwarna menjadi hitam putih.
Jurufoto perlu tahu menentukan nilai tona dan kontras supaya elemen seperti garis, tekstur dan bentuk nampak lebih jelas, seterusnya mampu menghasilkam gambar yang lebih dramatik dan mempunyai karekter tersendiri.










