Seronoknya menjadi 'ala-ala' ejen perisik

Seronoknya menjadi ‘ala-ala’ ejen perisik

TEKA-TEKI perlu diselesaikan berdasarkan petunjuk disediakan dalam bilik gelap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“APA permainan yang kita boleh main dekat sini? Macam tiada apa yang menarik pun.” 

Itulah ayat pertama muncul di dalam fikiran saya semasa pertama kali tiba di premis Spy Game. 

Mana tidaknya, sekali pandang, tempat tersebut terlihat kecil dan gelap dengan hanya beberapa pekerja menunggu di kaunter. 

Saya juga tidak tahu apa yang perlu dijangkakan kerana tiada pengalaman menyertai permainan ditawarkan di situ sebelum ini. 

Kerisauan itu reda apabila sebelum memulakan misi, pemain akan diberikan penerangan secara terperinci oleh kru-kru terlibat. 

Ia bagi memberikan pemahaman secukupnya kepada pemain terutama bagi yang datang buat pertama kali seperti saya. 

SETIAP kumpulan pemain akan diberikan penerangan terperinci oleh kru terlibat sebelum permainan bermula.

Objektif utama bagi permainan ini adalah untuk mencari anekdot bagi memulihkan semua saluran air yang telah tercemar. 

Sebelum sampai ke lokasi terakhir, pemain perlu melalui tiga bilik untuk mengumpul petunjuk bagi memastikan penggunaan anekdot yang betul. 

Masa 30 minit diberikan bermula sejurus peserta dihantar masuk ke dalam sebuah bilik yang gelap dan dari situ pemain perlu menyelesaikan cabaran dan teka-teki yang disediakan. 

Beberapa pemain juga akan dilantik sebagai ketua untuk diberikan akses kepada ‘sistem’ ejen yang disediakan menerusi telefon pintar. 

Dengan bantuan rakan yang ada, kami cuba menggeledah segala barang yang sedia tersusun demi mencari sebuah petunjuk. 

Bagi misi pertama, kami perlu mencari kunci yang membawa ke bilik selanjutnya menggunakan maklumat yang diperoleh menerusi carian. 

Tetapi semuanya tidak semudah yang disangka apabila kami dikejutkan dengan kehadiran watak bukan pemain (NPC) semasa sedang menyelesaikan teka-teki pertama. 

HURU-HARA DALAM BILIK 

Situasi serta merta berubah menjadi huru-hara apabila semua pemain menggelabah mencari tempat untuk menyembunyikan diri. 

Ada yang menyorok di dalam almari, bawah meja dan yang paling kelakar, ada juga yang bersembunyi di dalam peti ais. 

Walaupun kehadiran NPC itu dimaklumkan kepada pemain menerusi sistem ejen yang disediakan, namun ketibaannya di sesebuah bilik itu sentiasa mendebarkan. 

WATAK bukan pemain (NPC) yang akan masuk ke dalam bilik untuk memberikan debaran kepada peserta.

Bukan itu sahaja, walaupun pemain sudah berjaya ke peringkat seterusnya, masih banyak pertanyaan yang perlu dirungkai dalam bilik lain untuk memastikan objektif tercapai. 

Apa yang paling kelakar sepanjang permainan berlangsung, seorang daripada rakan saya ditangkap oleh NPC ketika sedang bersembunyi di dalam almari. 

Dia dikurung di dalam satu bilik khas digelar penjara dan cubaan untuk melarikan diri hanya boleh dilakukan semasa bilik kembali gelap atau dengan bantuan rakan. 

Namun tiada seorang pun yang berusaha untuk menyelamatkannya kerana terlalu sibuk menyelesaikan misi yang diberi. 

Secara keseluruhan, saya boleh katakan permainan ini sangat menyeronokkan walaupun kami gagal mencapai objektif ditetapkan. 

Untuk pengetahuan, permainan ini membawakan tema menyelesaikan misi ala ejen perisik. Maksimum seramai enam peserta dalam satu sesi diperlukan. 

Permainan ini juga sangat sesuai bagi penggemar penyelesaian masalah khususnya yang menguji minda dan juga kepada yang ingin mencuba bersama kawan-kawan, seperti saya. 

Seronoknya menjadi ‘ala-ala’ ejen perisik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×