Unsur Islam dalam sastera Melayu

Unsur Islam dalam sastera Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SASTERA Melayu berkait rapat dengan keindahan Islam yang diterjemahkan melalui bait-bait kalam yang diikat bersama kesantunan adab dan budaya bagi disampaikan dalam bentuk bidalan, peribahasa, nilai-nilai murni serta seruan berbuat baik untuk mendidik masyarakat.

Dengan menggunakan prosa Melayu tradisi dan moden, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta kelainan apabila menampilkan karya penuh beremosi menerusi persembahan Gema Palu Genderang, baru-baru ini.

Ia mengangkat paduan integrasi ilmu naqli dan aqli yang menjadi nadi pembangunan institusi itu
bagi pembentukan generasi cemerlang serta berilmu.

Persembahan bermula dari alam ar-rahim (kelahiran), alam at-tufulah (kanak-kanak), alam al-hayah (dewasa) akhirnya tiba di alam tauhidik (jalan ketuhanan).

Menelusuri perjalanan kehidupan manusia melalui empat fasa alam ini sekali gus membangkitkan rasa keinsafan serta muhasabah untuk kembali ke fitrah dalam menuju kehidupan yang sejahtera dan bermanfaat.

Di alam ar-rahim, penonton disajikan dengan persembahan azan, syair kelahiran di samping alunan muzik mengimbau kenangan serta lirik yang mendamaikan jiwa menerusi medley lagu bongai dodoi anak, tepuk amai-amai dan burung kenek-kenek.

Penceritaan dilanjutkan ke peringkat at-tufulah yang membawa naratif melalui persembahan gurindam Raja Ali Haji, medley ayuh buai kok kek, bangau oh bangau dan gurindam pusaka.

Menginjak ke alam al-hayah, ditampilkan persembahan qasidah, teromba dan lagu-lagu yang
melatari kehidupan di alam kedewasaan yang tidak lekang daripada konflik.

Di pengakhiran, penonton dibawa ke satu fasa tauhidik yang menjentik perasaan ingin kembali kepada
Pencipta.

Gema Palu Genderang yang dihadiri lebih 300 orang itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian
Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Turut hadir Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Timbalan Naib Canselor Hal
Ehwal Pelajar, Prof. Datuk Dr. Adnan Mohamed Yusoff dan Pengarah Pusat Kebudayaan, Md. Ishah Rahman.

Persembahan pula dijayakan oleh penggiat Kelab Seni Budaya USIM di samping beberapa artis
tanah air iaitu Roslan Madun, Datuk Nash dan Siso Kopratasa.

Persembahan Gema Palu Genderang menjadi medan terbaik membawa seruan untuk mengangkat nilai
insani, berbuat baik dan menjalankan tanggungjawab sebagaimana dituntut Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×