KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang akan diumumkan Isnin ini, melibatkan 395,870 calon.
Bagi golongan cemerlang, tentu mereka sudah ada pilihan haluan pendidikan masing-masing.
Namun, jika keputusan kurang memberangsangkan, jangan pula menganggap ini sebagai titik pengakhiran.
Walau apa jua gred diperoleh, terimalah dengan hati terbuka dan manfaatkan ‘cuti panjang’ dimiliki untuk mempersiapkan diri dalam pelbagai segi sebelum melangkah ke menara gading.

Pensyarah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr. Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip berkata, ia bertujuan memastikan tempoh rehat hampir enam bulan diisi dengan aktiviti berfaedah untuk masa depan mereka.
Berikut empat perkara boleh dilakukan lepasan SPM sementara menunggu panggilan ke universiti.
Pertama, meningkatkan ilmu dan kemahiran baharu.
Lepasan SPM disaran mendalami bidang-bidang yang disukai, yang tidak berkesempatan untuk dipelajari selama ini disebabkan kesibukan sebagai pelajar.
“Contohnya, jika berminat memasak, menjahit, membuat kek atau mengedit video, gunakan peluang yang ada untuk menambahkan skil.
“Boleh boleh mencuba kemahiran profesional yang berguna untuk bidang kerjaya misalnya mengikuti kelas bahasa Inggeris atau Mandarin di samping kemahiran kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Perkara kedua yang boleh dipertimbangkan adalah dengan bekerja sampingan termasuk di pasar raya, kedai-kedai, restoran makanan segera atau stesen minyak.
Ujarnya, amalan itu cenderung dilakukan oleh mereka daripada keluarga yang kurang berkemampuan.
Namun upah diterima sedikit sebanyak dapat menampung pembayaran yuran pendaftaran serta sara
diri di universiti.
“Lepasan SPM yang berkemampuan juga boleh mengikuti kursus kemahiran penting seperti mendapatkan lesen memandu kereta atau motosikal “Skil ini sangat penting dan berguna untuk masa depan golongan sasar. Lebih mudah jika ia dapat diselesaikan awal sebelum kemasukan ke universiti.
“Yang keempat pula, saya sarankan lepasan SPM untuk sentiasa menjaga diri mereka sama ada dari segi kesihatan atau pergaulan,” katanya.
Ini berikutan, jika perkara itu diabaikan, ia berisiko merosakkan masa depan mana-mana individu termasuk golongan yang cemerlang.
Bahkan, motivasi untuk belajar juga boleh merosot dek pengaruh negatif misalnya penglibatan dalam vape, gengsterisme atau leka bercinta.
USAH GOPOH JADI INFLUENCER
Mohammad Aziz Shah turut mengingatkan lepasan SPM untuk tidak gopoh mengejar gelaran pempengaruh atau influencer.
Katanya, kerjaya itu tidak seharusnya dijadikan sebagai matlamat utama golongan sasar apabila tamat persekolahan.
“Mereka terpengaruh melihat kejayaan influencer seperti Khairul Aming, sedangkan tanpa mereka tahu masih ramai golongan itu yang perlu bergelut untuk meraih hasil pendapatan.
“Jika ingin bergelar pempengaruh, jadilah pempengaruh yang ‘cerdik’ dengan memiliki kelulusan
akademik kerana tanpanya, anda bakal berdepan risiko sangat tinggi di masa depan,” katanya.

PLATFORM TIMBA PENGALAMAN
Bekerja sambilan merupakan peluang terbaik untuk lepasan SPM menimba pengalaman, selain faktor
ganjaran gaji.
Bagaimanapun, pengasas portal kewangan, Financial Faiz, Faiz Azmi meminta golongan sasar agar tidak
terbuai dengan keseronakan bekerja dan memiliki duit hingga terlupa matlamat asal untuk menyambung pengajian.
“Kalau berhasrat ke menara gading, jangan gunakan alasan kerja sambilan untuk menangguhkan impian belajar kerana ia bukan satu-satunya pekerjaan seumur hidup anda.
“Jika setahun tertangguh, berkemungkinan boleh berlarutan hingga ke tiga tahun dan lama-kelamaan
semangat pun mulai pudar,” katanya.
Namun, bagi lepasan SPM yang tidak berhasrat untuk belajar disebabkan keputusan kurang cemerlang, mereka disarankan untuk fokus ke arah pembangunan kerjaya dan bukan bekerja secara main-main atau tidak serius.
Katanya, walaupun dengan kelayakan SPM, individu itu juga boleh berjaya dan maju dalam kehidupan.
“Tiada masalah jika mereka mahu terus bekerja makan gaji tetapi pastikan ada objektif,” ujarnya.









