MUSIM haji datang lagi. Peluang menunaikan haji muncul sekali seumur hidup tidak wajar disia-siakan dengan perkara remeh temeh seperti rokok. Mengapa rokok pula diangkat menjadi isu dalam rencana kali ini? Tidak lain kerana impaknya yang besar pada ibadah haji yang jarang diambil cakna oleh perokok tegar.
Ibadat haji sangat istimewa kerana bukan semua orang bertuah dijemput Allah.
Orang yang dipanggil menunaikan haji atau umrah sebenarnya tetamu Allah yang istimewa.
Sabda Nabi SAW bermaksud: Para jemaah haji dan umrah ialah tetamu Allah. Jika mereka berdoa pasti diperkenankan dan jika mereka memohon keampunan pasti akan diampunkan. (Sunan Ibn Majah, 2892).
Pun begitu, jangan pula seronok menerima jemputan secara kosong. Adab dan etika menjadi tetamu perlu diperhati dan dijaga.
Bayangkan anda mendapat jemputan ke Istana Negara untuk menerima pingat atau pangkat kebesaran. Bersama jemputan itu sudah pasti dinyatakan protokol atau adab etika yang perlu dijaga agar kehadiran anda tidak merosakkan majlis atau mengundang amarah sang raja.
Bagi bakal haji dijemput sebagai tetamu Allah, awasi adab bertamu dengan menghadam firman Allah yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat perkara fasik (dosa dan maksiat), dan tidak boleh berdebat (bertengkar), dalam masa mengerjakan ibadat haji. (al-Baqarah:197) .
Tiga adab ini memang sesuai dengan ibadat haji kerana suasana di Mekah pada musim haji sangat mencabar.
Ketika dalam ihram, suami isteri tidak dibenar bersetubuh walaupun hubungan mereka halal diwarta sendiri oleh Allah dengan akad yang sah.
Perbuatan fasik pula dibenci Allah dan mampu mencalar kesucian ibadat haji.
Cabaran bertengkar juga mudah berlaku ketika para Jemaah berhimpun bersama di kebanyakan tempat haji terutama sekali ketika beratur panjang menunggu giliran ke tandas di Mina atau wukuf di panas terik Arafah.
MEROKOK PERBUATAN FASIK
Dalam bahasa Arab, perkataan fasik merujuk kepada aktiviti mengopek kulit buah-buahan. Apabila kulit dikopek, isi buah akan terdedah dan sedia untuk dimakan. Kulit berperanan sebagai perisai mengelakkan buah daripada rosak. Sama perihalnya dengan agama pada seorang muslim.
Agama yang dipraktik seumpama kulit atau pakaian yang menutup aibnya daripada dipandang orang.
Apabila pakaian dibuang, segala aib dan pekung tubuh akan terdedah serta dipandang jijik orang lain.
Mudahnya, orang yang fasik ialah orang yang membuang agamanya dengan melanggar larangan Allah.
Contoh mudah perbuatan fasik ialah membazir dan membahayakan diri sendiri serta orang lain.
Antara perbuatan fasik yang nyata ialah merokok.
Rokok difatwakan haram oleh para ulama moden kerana ia mengundang berbagai mudarat kepada diri sendiri dan orang lain.
Lihat pewartaan ini oleh Majlis Fatwa Kebangsaan:
“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudaratan.”
Berkenaan hujah dan fakta yang membawa kepada pengharaman rokok boleh didapati di laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – BAYAN LINNAS SIRI KE-274: PENGHARAMAN ROKOK DAN ROKOK ELEKTRONIK (muftiwp.gov.my)
Perbuatan merokok ketika menunaikan haji di Tanah Haram Mekah sangat tidak kena dengan kemuliaan haji dan boleh dikategorikan perbuatan fasik.
Awas! Kemuliaan tanah haram bukan boleh dipandang remeh.
Sebarang tingkah laku yang buruk walaupun sekadar niat sahaja sudah ditulis sebagai dosa oleh Allah (Tafsir Ibn Kathir & Tafsir al-Qurtubi). Apatah lagi jika melakukan terus kefasikan.
Prinsip ini difahami para ulama berdasarkan firman Allah yang bermaksud: … Dan sesiapa yang berazam melakukan di situ (tanah haram Mekah) sebarang perbuatan yang dilarang dengan cara yang zalim, kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya. (al-Hajj: 25).
Kemuliaan tanah haram menyebabkan segalanya berganda.
Amal soleh diganjari pahala berganda, begitu juga perbuatan dosa dan fasik.
Mahukah anda pulang dengan dosa berganda dek kepulan asap rokok dihembus semasa menunaikan haji?.
Malangnya, berhabis harta dan berlama menunggu giliran peluang ke Mekah, tetapi pulangnya dengan timbunan dosa mencemar tanah haram.
AMALAN BERHENTI MEROKOK
Berikutan itu, penulis mencadangkan beberapa langkah kepada bakal haji yang ‘diuji’ Allah dengan bencana merokok agar ia berguna untuk mengubah diri:
1) Menambah ilmu dan penghayatan berkenaan adab menunaikan haji. Tidak boleh dinafi, kualiti ibadat seseorang boleh bertambah dengan penghayatan ilmu.
Ilmu yang dihayati mampu menyuluh jiwa agar bertindak seiring kehendak agama dan bukannya menunggang agama atau mencari dalil agama untuk meneruskan kehendak nafsu serakah bersama rokok.
2) Berusaha menjauhi punca yang mencetuskan nyalaan api rokok. Jika ia berpunca dari teman yang oksigennya ialah rokok, maka berpantanglah daripada mendekati mereka sebelum, semasa dan selepas menunaikan haji.
3) Berdoa agar ‘ditalak tiga’ dengan tabiat merokok sebelum berangkat, semasa di tanah haram dan selepas pulang dari menunaikan haji. Mekah dan Madinah ialah tanah haram yang makbul doanya. Antara waktu istimewa doa dimakbulkan ialah ketika minum air zamzam.
Imam al-Syafie sangat handal memanah. Dalam 10 panahannya, sembilan pasti tepat mengenai sasaran.
Rahsianya, beliau berdoa khusus agar diberi ketepatan memanah ketika minum air zamzam. (Syarah Sunan Ibn Majah oleh Imam al-Suyuti).
Semasa di sana nanti, rutinkan meminum air zamzam setiap waktu bersama doa agar dibebaskan terus dari belenggu ketagihan rokok.
Ayuh jemaah haji tetamu Allah semua, kuatkan azam, gigihkan tekad mencapai haji mabrur dengan menjaga adab etika haji seiring sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak berkelakuan/ bercakap kotor dan juga tidak melakukan kefasikan kembali (suci dari dosa) seperti hari dilahirkan oleh ibunya. (Sahih al-Bukhari, 1521).
Anugerah haji mabrur bukanlah sekeping sijil diperolehi dari Lembaga Tabung Haji atau mana-mana agensi penyedia khidmat haji, sebaliknya anugerah Allah kepada hamba-Nya yang menghayati perjalanan rukun Islam kelima ini dengan adab dan etika.










