DUIT raya anak hendak simpan di mana?”
Itu antara persoalan yang sering bermain di minda ibu bapa selepas habis musim perayaan.
Sebenarnya, banyak instrumen boleh dipilih untuk menjadikan duit raya anak sebagai tabungan masa depan.
Terkini, ramai juga yang mencadangkan agar duit raya anak dimanfaatkan untuk membeli emas kerana nilainya yang makin meningkat naik.
Pakar Kewangan, Dr. Azizul Azli Ahmad berkata, simpanan boleh dilakukan sama ada secara tabungan di beberapa perkhidmatan kewangan tersedia atau dengan membeli emas.
Kedua-duanya mendatangkan keuntungan jangka panjang terutamanya ketika anak-anak bakal melanjutkan pengajian kelak.
“Boleh daftar Tabung Haji. Lebih baik jika cukupkan duit raya anak sehingga RM1300 boleh terus daftar haji. Kadar pulangan pula sekitar tiga
hingga empat peratus, jadi biarkan duit membiak di situ.
“Boleh juga simpan di Amanah Saham Didik dengan kadar pulangan yang kompetitif sekitar lima peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ibu bapa juga boleh mempertimbangkan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan kadar pulangan sekitar empat peratus.
Selain itu, ia dilihat turut mempunyai fasiliti menguntungkan untuk ibu bapa dan pencarum memandangkan terdapat rebat cukai, insurans dan takaful.
Bermakna, jika terjadi sesuatu kepada ibu atau bapa, anak-anak akan mendapat satu jumlah yang telah ditetapkan.
BERBALOI BELI EMAS?
Mengulas mengenai trend membeli emas ketika ini, Azizul yang juga Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, berkata, ia juga merupakan kaedah berbaloi untuk memanfaatkan duit raya si kecil.
Namun, emas yang disyorkan adalah emas 999 dan bukan 916.
Ia berikutan emas 999 adalah lebih sesuai untuk dijadikan sebagai pelaburan masa depan terutamanya untuk anak menyambung pengajian kelak.
“Emas sangat bagus untuk tujuan jangka panjang. Tetapi pastikan emas 999 kerana kurang susut nilai. Emas 916 biasanya ada upah, ‘bunga’ dan sebagainya.
“Biasanya kalau beli emas 916 dalam bentuk barang kemas akan ada nostalgia. Jadi, baik beli emas 999. Pada saya emas tidak perlu ada nostalgia, tiba masa anak hendak sambung belajar nanti jual semula emas itu,” jelasnya.
Kadar kenaikan tahunan purata emas sekitar lapan hingga 24 peratus menjadikan ia sesuatu yang menguntungkan untuk dijadikan pelaburan jangka masa panjang.
“Kenaikan emas ini baik dan sihat. Kalau kita tengok pada tahun 2020 iaitu sewaktu pandemik nilainya sekitar RM297 per gram.
“Tetapi hari ini nilai emas sudah hampir mencecah RM400 per gram. Jadi, kalau ibu ayah memang hendak simpan duit raya anak dan tidak mahu sentuh, emas antara pilihan terbaik,” jelasnya.
Mengenai amalan membelanjakan duit raya anak dengan membeli mainan dan kehendak anak, kata Azizul, ia tidak salah.
Tetapi sebaiknya, ibu bapa perlu menetapkan satu matlamat terhadap pengurusan kewangan anak-anak.
“Boleh beli mainan, tidak salah tetapi nanti simpanan tidak ada.
“Sebaiknya ada satu matlamat untuk menabung sekian-sekian jumlah pada usia anak sekian-sekian supaya dapat dimanfaat sebaik mungkin,” jelasnya.










