Antara kerjaya dan tugas hakiki

Antara kerjaya dan tugas hakiki

Gambar Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN lalu mencatatkan sebanyak 56.3 peratus wanita memasuki sektor pekerjaan sekaligus menunjukkan peningkatan berbanding tahun tahun sebelumnya.

Walaupun jumlah itu masih perlu dipertingkatkan, Prof. Madya Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti
Putra Malaysia (UPM), Ratna Roshida Ab. Razak berkata, terdapat perkara utama lain yang perlu diberi perhatian.

Antaranya ialah memastikan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan tidak menjejaskan tugas hakiki wanita iaitu pengurusan rumah tangga dan pendidikan anak-anak.

“Ada yang berpandangan perkara ini boleh ‘diswastakan’ kepada pembantu rumah. Namun bagi saya, melihat kepada keadaan semasa, kita semua perlu kembali kepada asas iaitu tugas suami sebagai bread winner dan isteri sebagai home maker.

“Sekiranya kedua-duanya ingin mengambil kedua-dua tugas itu pun sangat baik. Cuma yang sangat risau, kedua-dua terlibat sebagai
bread winner dan tiada yang mengambil tempat sebagai home maker maka pengurusan rumah tangga tidak teratur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, ia bagi mengelakkan permasalahan akhlak dalam kalangan kanak-kanak memandangkan mereka memerlukan bimbingan daripada ibu bapa semasa proses membesar.

“Tidak wajar menyalahkan pihak sekolah yang telah memberi fokus kepada pendidikan komponen intelektual (yang melibatkan organ otak atau minda) kerana pendidikan pada komponen spiritual (melibatkan hati) yang kayu ukur keberhasilannya dilihat dari akhlak, perangai dan perilaku adalah tugas ibu bapa.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana apalah erti peningkat penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan yang mungkin membantu peningkatan sektor ekonomi, namun ada harga yang perlu dibayar iaitu ada kesan negatif terhadap pendidikan dan pembentukkan anak-anak dan kesejahteraan institusi keluarga,” soalnya.

PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA

Dalam hal tersebut, pembangunan sumber manusia berkualiti, khususnya di peringkat dalam kawalan ibu bapa iaitu di peringkat awal kanak-kanak sangat penting dalam membantu penyediaan sumber manusia yang berkualiti untuk sektor ekonomi.

Dengan kata lain, wanita perlu terus mara memberi sumbangan kepada negara melalui penglibatan mereka dalam sektor pekerjaan,
namun jangan sampai menggadaikan tugas hakiki membangunkan sumber manusia yang ada dalam kawalan mereka, khususnya dalam pembentukan peribadi.

Melihat contoh di negara Jepun, wanita di negara maju itu akan membuat pilihan sama ada berkarier atau berkahwin.

“Kalau dilihat wanita Jepun, sekiranya mereka memilih untuk berkarier, mereka tidak berkahwin kerana perkahwinan datang bersamanya pakej membesar dan mendidik anak-anak.

“Sekiranya mereka yang berkahwin ingin terlibat dalam sektor pekerjaan, biasanya mereka akan tunggu setelah anak mereka di peringkat universiti,” jelasnya.

UPAH BERBEZA IKUT GENDER

Mengenai pembabitan wanita dalam pekerjaan di negara ini lebih rendah berbanding negara serantau, kata Ratna, ada yang berpendapat ketidaksetaraan upah yang diberikan antara wanita dan lelaki merupakan faktor penghalang.

“Saya bersetuju dengan pandangan ini. Dalam hal ini pihak yang berkaitan perlu ada ilmu bahawa era sekarang tidak ditentukan oleh gender.

“Namun, ia harus berdasarkan oleh keberhasilan yang dicapai, iaitu hasil kerja yang diberikan oleh wanita,” katanya.

Ratna turut mencadangkan kerajaan untuk memantapkan lagi beberapa inisiatif dalam menggalakkan wanita menyertai sektor pekerjaan.

Antaranya, memberi galakan kepada wanita untuk memfokuskan kepada kerja hakiki wanita iaitu perkasakan anak-anak dan institusi keluarga iaitu dengan mengadakan insentif ‘ibu\ bapa sebagai guru tutor rumah’.

MEDIA SOSIAL BANTU JANA PENDAPATAN

Dalam pada itu, kehadiran media sosial dilihat membuka peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan dan meningkatkan prestasi
ekonomi keluarga.

Dengan kandungan yang menarik, wanita dapat memperoleh pendapatan melalui iklan, tajaan, atau penjualan produk.

Namun perlu diingatkan dalam keghairahan wanita untuk meningkatkan pendapatan, mereka mempunyai tugas hakiki.

“Tiada yang boleh ambil alih tugas ini sepatutnya. Kerana sekiranya anak-anak terabai dalam pendidikan anak-anak, wanita atau ibu bapa juga yang akan dipersalahkan. Hal ini tidak boleh dikompromi,” jelasnya lanjut.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×