UMUR baru menginjak 30an, tetapi garis-garis halus, hiperpigmentasi, kedutan dan bintik-bintik penuaan sudah muncul pada wajah.
Situasi ini merupakan mimpi ngeri bagi kebanyakan wanita hingga ada yang memilih jalan singkat dengan melakukan suntikan botox atau filler bagi mengembalikan keremajaan kulit.
Bagaimanapun, situasi itu mampu dicegah dengan amalan retinol sejak di peringkat remaja.
Pakar estetik dan anti penuaan, Dr. Syairah Nadia Mohamad menjelaskan, usia 20-an merupakan tempoh terbaik untuk seseorang mula memakai vitamin A itu berbanding kelaziman apabila memasuki pertengahan 30-an.
“Sebenarnya, tiada masalah jika ia digunakan seawal 20-an kerana dapat berfungsi dalam memulihkan jerawat.
“Tetapi pemerhatian saya mendapati, ramai yang takut menggunakan retinol kerana dimomokkan dengan kesan sampingan seperti iritasi dan kemerahan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Sesi Bicara Cantik sempena pelancaran rangkaian Safi Youth Gold Retinol baru baru ini.
Hadir sama dalam majlis itu ialah penyanyi, Siti Nordiana yang merupakan duta rangkaian tersebut.
Syairah Nadia berkata, kesan penggunaan retinol pada tekstur kulit boleh dilihat seawal dua minggu hingga sebulan manakala perubahan tanda penuaan pula dalam tempoh tiga bulan.
Namun, kesan-kesan itu bergantung kepada tahap konsistensi seseorang dan peratusan penggunaan bahan aktif tersebut.
“Kalau peratusan retinol tinggi, elakkan pemakaian secara kerap dan memadai dengan seminggu sekali bagi mengelakkan iritasi.
“Tetapi jika formulasinya lembut seperti rangkaian Safi, tiada masalah untuk digunakan setiap hari ,” katanya.
Sementara itu, Siti Nordiana berkata, penggunaan retinol secara konsisten membantu dalam menyelesaikan masalah penuaan yang dihadapinya.
KOMBINASI 3 BAHAN
Sebagai peneraju jenama penjagaan kulit halal di Malaysia, Safi memperkenalkan rangkaian terbaharunya, youth gold Retinol.
Ia merangkumi pelindung matahari retinol yang pertama di Malaysia, serum, esen dan pelembap.
Pakar Jenama & Tinjauan Maklumatnya, Kazlina Mohd. Kassim berkata, formulasi kombinasi 3x kuasa retinol, 98 peratus peptida emas dan squalane terbukti secara klinikal dapat memperbaharui, mengembalikan keanjalan serta mengurangkan tanda penuaan kulit dalam masa 14 hari.
Diuji pakar dermatologi, rangkaian itu selamat dipakai untuk semua jenis kulit termasuk yang sensitif.
“Ia juga boleh digunakan setiap hari tanpa menyebabkan sebarang kesan sampingan ke atas kulit,” katanya.










