Allah angkat pena dan buku?

Allah angkat pena dan buku?

KPM akan menyalurkan pemberian baucar buku menerusi aplikasi DELIMa. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN apa akan jadi kepada manusia jika sejurus selepas penciptaan Nabi Adam AS, Allah tidak memberi ilham kepada manusia untuk mencipta pena, kertas dan buku. Pastinya proses pemindahan ilmu dalam makna perkataan ‘Al-Asma’ – nama segala benda” yang Allah ajarkan kepada ayahanda kita Nabi Adam AS dahulu, sukar berlaku. 

Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT bermaksud: Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Dia berfirman: “Terangkan pada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. (Al-Baqarah:31)

Ketika mengulas makna perkataan al-Asma’ dalam ayat ini, para ulama tafsir seperti Imam al-Tabari menjelaskan, Allah mengajar baginda nama berbagai objek, haiwan dan benda yang wujud di alam ini (Tafsir al-Tabari). Dalam sebuah hadis disebut, apa yang diajar kepada nabi Adam itu ialah nama semua benda yang wujud di alam ini. 

Sabda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Orang beriman berkumpul pada hari kiamat (sebelum proses audit berlaku). Mereka pun berkata: Alangkah elok jika kita minta syafaat (bantuan) dari sesiapa untuk sampai kepada Tuhan kami. Mereka lalu mendatangi Adam dan berkata: Engkau adalah bapa semua manusia, Allah ciptamu dengan tanganNya sendiri, kemudian Dia arahkan malaikat sujud padamu dan Dia juga ajar padamu nama semua benda. Oleh itu mohonlah pada Allah agar kami dibebaskan daripada kesusahan hari kiamat ini… (Sahih al-Bukhari, 4476).

Itulah kehebatan Allah. Dia tidak hanya mencipta manusia dan mengajarnya dengan pelbagai ilmu, tetapi turut mencipta alat untuk memindah serta mengekalkan ilmu tersebut. Apa lagi alatnya jika bukan pena, kertas dan buku. 

PESTA BUKU 

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL) berlangsung sehingga Ahadini, acara tahunan yang wajar dipuji dan dikembangkan lagi. Biar sepanjang masa rakyat dipestakan dengan buku. 

Ia jadi bukti industri buku belum terkubur walaupun ada yang beranggapan gelombang telefon pintar dan pelbagai peranti moden, boleh menelan helaian kertas dan buku klasik.

Tidak benar sama sekali dan tidak pupus kerana ia masih mendapat tempat di hati jutaan manusia. Bilangan besar pengunjung PBAKL menjadi buktinya.

Pena dan buku tidak akan pupus kerana keduanya selari dengan fitrah manusia yang dinamik. Proses perkembangannya memerlukan ilmu yang direkod oleh pena dan buku. 

Allah selaku Pemilik semua ilmu, sekian lama mengangkat kemuliaan pena dan buku. Ia berlaku seawal penciptaan alam ini.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Sesungguhnya (antara) makhluk paling awal dicipta Allah adalah pena. (Sejurus penciptaannya) Allah berfirman kepadanya – Tulislah! Lalu ia bergerak menulis segala perkara (yang akan berlaku) sehin a kiamat (Sunan al-Tirmidzi, 3319). 

Allah bersumpah dengan pena dan apa yang ia tulis dalam surah al-Qalam (68:1). Tambahan pula arahan baca turut menjadi isi watikah pelantikan Rasulullah SAW dalam Gua Hira’ dahulu.

Firman Allah bermaksud: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia mencipta manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya (al-‘Alaq:1-6) 

Kita mungkin tertanya-tanya mengapa Baginda SAW diarah membaca sedangkan al-Quran baharu sahaja mendarat di bumi? Naskhah lengkap al-Quran dengan jumah 6,236 ayatnya belum pun wujud?. 

Tidak lain, arahan baca dalam wahyu pertama ini memberi petunjuk bahawa Islam adalah agama ilmu dan umat Islam perlu membaca untuk menambah ilmu. Ilmu pula boleh dilahirkan melalui pena yang Allah sifatkan sebagai alat untuk mengajar manusia apa yang tidak dia tahu. 

PRAKTIK SUNNAH 

Pena pasti mencari pasangan sejatinya iaitu buku. 

Umat Islam yang membaca sebenarnya sedang mempraktikkan Sunnah Nabi SAW kerana ia arahan pertama Allah kepada Baginda. 

Bukan hanya buku di bumi, Allah juga mengangkat buku di langit yang dinamakan Luh Mahfuz iaitu rekod induk alam semesta yang terpelihara daripada sebarang pencerobohan. Maklumat takdir dalam buku itu (Luh Mahfuz) tidak mungkin tiris atau digodam oleh sesiapa pun. Pelaksanaan takdir dari isi buku itu juga berlaku dengan tepat tanpa lewat. 

Ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada dalam Kitab (Luh Mahfuz serta pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (al-Hadid:22)

Rezeki semua makhluk dan kalender semua peristiwa di alam semesta turut direkod Allah dalam kitab tersebut (Hud: 6 dan al-Hajj:70) 

Allah turut menegaskan bagaimana cara penyerahan ‘buku’ amalan berfungsi menentukan suka duka nasib makhluk di akhirat kelak. Firman-Nya bermaksud: Kemudian sesiapa yang diberi kitab amalannya dengan tangan kanannya, maka dia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan. Dan dia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang diberi kitab amalannya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya. Maka dia akan meraung menyebut kebinasaannya. Dan dia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang (al-Insyiqaq:7-12)

Hasilnya, manusia sudah boleh melihat cerminan nasibnya setelah membaca sendiri buku tersebut. Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Dan setiap manusia Kami kalungkan bahagian nasibnya pada lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalannya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya). (Lalu Kami perintahkan kepadanya): Bacalah Kitab (suratan amalanmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan). (al-Israk:13-14) 

Buku bukanlah benda baharu, sebaliknya ciptaan Allah yang sangat tua. Sudah lama ia menabur bakti, lahirnya seawal wujudnya alam ini dan ia akan terus wujud memberi bakti kepada seluruh manusia.

 Muslim yang benar-benar faham agama, perlu sentiasa terlibat dengan buku yang baik dan berkualiti, sama ada sebagai penulis, penerbit atau pembaca.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN