PERKARA yang kita ingat apabila menyebut Terengganu adalah keindahan pantainya dan Laut China Selatan.
Sebagai penduduk, sukan layar, aktiviti sinonim dengan warga di pesisir pantai.
Negeri yang memiliki sejarah pembinaan bot dan kapal itu juga pernah mengharumkan nama negara melalui sukan itu semasa Kejohanan Monsoon Cup pada tahun 2005.
Namun, kemasyhuran senibina kapal Melayu dan kerancakkan aktiviti maritim di negeri penyu ini mulai luntur dan dilupakan.
Pegawai Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Amirul Salam Hasan berkata, bagaimanapun semangat jiwa pelayar dalam diri anak jati Terengganu masih dapat dilihat menerusi aktiviti itu dilaksanakan di sekitar pantai Kuala Nerus.
Katanya, bakat pewaris ini perlu diasah agar semangat itu terus berkembang mekar sepanjang zaman.
“Melihat kepada potensi sukan layar di negeri ini, beberapa agensi dan persatuan mula mengatur langkah bagi memartabat kembali sukan layar ke peringkat antarabangsa.
“Kami mempunyai bidang fokus maritim, turut menjadikan potensi sukan layar ini sebagai fokus utama dalam melahirkan graduan holistik,” katanya.
Sukan ini yang dahulunya dipelopori golongan lelaki turut berjaya menambat peminat sukan layar wanita sehingga mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa pada Royal Langkawi International Regatta 2023.
Kemenangan tersebut meletakkan pasukan layar wanita itu pada tahap tersendiri setelah berjaya menewaskan pasukan lain yang disertai pelayar lelaki bagi kejohanan sama.











