FALSAFAH Pendidikan Negara menekankan kepada usaha mengembangkan potensi individu secara menyeluruh agar menjadi manusia yang seimbang daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Ia selaras untuk melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian keluarga, masyarakat dan negara.
Aspirasi itu bertepatan dengan prinsip yang didokong di Sekolah Antarabangsa Seven Skies (SSI) yang terletak di Denai Alam, Shah Alam.
Sekolah Islam antarabangsa berprestij di Malaysia ini bukan sekadar menawarkan pendidikan akademik berteraskan Islam berkualiti tinggi, malah turut menyediakan sukatan pelajaran unik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tahir Usman berkata, keunikan itu terletak pada program pembangunan sahsiah yang menjadi intipati utama dalam sukatan pelajaran, sekali gus membezakan SSI dengan institusi pendidikan Islam antarabangsa lain di Malaysia.
Katanya, program itu memberi tumpuan kepada pembinaan kemahiran insaniah, di samping memupuk jati diri dan kemahiran kepemimpinan serta kestabilan emosi pelajar.
“Matlamat kita adalah untuk mengukuhkan hubungan pelajar dengan Pencipta kerana apabila seseorang meletakkan Allah di hatinya, mereka dapat mengubah minda dan sikap ke arah yang lebih baik.
“Dengan asas Islam yang kukuh itu, kami komited melahirkan pelajar yang cemerlang dan modal insan berketerampilan di masa depan,” katanya pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-10 SSI baru-baru ini.











