SMK Taman Selayang raih lebih RM5,000 hasil projek mulberi

SMK Taman Selayang raih lebih RM5,000 hasil projek mulberi

HASIL pokok muilberi yang ditanam oleh para pelajar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK ditubuhkan 38 tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selayang mungkin tidak pernah merekodkan pencapaian luar biasa yang boleh dibanggakan.

Namun, kini namanya menjadi sebutan, bahkan menjadi contoh teladan dalam kalangan sekolah-sekolah di sekitar daerah Gombak garagara projek Berry-Bery I Love You (BILU).

BILU merupakan projek penanaman pokok mulberi di sekitar sekolah secara berskala besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia dipilih sebagai program kebitaraan sekolah bagi memupuk amalan berbudi kepada tanah sekali gus menarik minat pelajar untuk menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di samping inovasi.

Pengetuanya, Nor Addha Ibrahim berkata, inisiatif BILU mula digerakkan pada Februari 2020 menerusi penanaman 60 pokok di peringkat awal oleh guru dan pelajar sains pertanian tingkatan lima.

Menariknya, anak-anak pokok itu bukan dibeli, tetapi dicambah sendiri daripada pokok induk yang ditanam di sekolah.

Sehingga kini, terdapat sejumlah 440 pokok yang menghiasi 12 tapak di sekitar sekolah, sekali gus menjadikan institusi ini ibarat sekolah dalam taman mulberi.

“Semasa mula berkhidmat sebagai guru sains pertanian di sini, saya dapati SMK Taman Selayang tiada apa-apa
kepakaran.

“Bahkan, pelajar saya masih kabur dalam hala tuju mereka sedangkan bidang sains pertanian bagus untuk diceburi dan menjanjikan potensi
perniagaan yang lumayan.

“Memandangkan saya memang menanam mulberi di rumah, jadi timbul idea untuk memulakan BILU di sekolah dan saya amat berbangga dengan kejayaan projek ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Katanya, pemilihan mulberi tepat kerana tanaman itu tinggi antioksidan dan mempunyai banyak khasiat dalam merawat penyakit kanser, buah pinggang, anemia, tekanan darah tinggi serta awet muda.

PELAJAR bergotong-royong menanam mulberi di dalam pasu tayar.

1 PELAJAR, 1 POKOK

Pembentangan BILU turut meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa antaranya dalam pingat emas dalam Persidangan Pendidikan, Pengajian Islam dan Penyelidikan Sains Sosial (ICEISR) 2023 di Riau, Indonesia.

Setakat ini, kira-kira tiga sekolah di sekitar Gombak mencontohi prosedur operasi standard (SOP) BILU dan mula menanam mulberi antaranya SMK Seri Kundang.

Menurut Nor Addha, bermula tahun lalu, pihak sekolah melaksanakan dasar 1 pelajar, 1 pokok.

Menerusi dasar itu pelajar diamanahkan untuk menjaga pokok masing-masing dan nama mereka turut diletakkan pada tanaman itu.

Selain itu, projek berkenaan turut diperluaskan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) apabila satu tapak tanaman dibuka untuk seliaan
mereka.

“Berdasarkan tinjauan yang dibuat kita dapati minat pelajar terhadap pertanian turut meningkat kepada 70 peratus sejak BILU diperkenalkan.

“Malah, responden bersetuju perniagaan pertanian wajar diceburi dan mempunyai potensi besar untuk ikhtiar hidup,” katanya.

KOMERSIAL PRODUK

Inisiatif BILU dalam masa sama bertujuan menjana pendapatan buat koperasi sekolah menerusi penjualan produk-produk berasaskan
tanaman itu.

Antaranya yang dihasilkan ialah aiskrim Malaysia, mufin, kek, jem, cucur, sambal belacan dan set makan tengah hari.

Di samping itu, turut dikeluarkan ialah beg tote, cawan, tudung, penanda buku berlogo BILU serta anak-anak pokok.

“Pada 2021, kita berjaya meraih pulangan bernilai RM542.50 dan angka itu melonjak kepada RM5,145 pada 2022,” katanya.

“Dalam masa terdekat pula, kita merancang untuk mengeluarkan lip balm mulberi BILU,” katanya.

Berkongsi perancangan masa depan, kata Nor Addha, misinya adalah untuk membawa SMK Taman Selayang menjadi pusat agropelancongan di samping membangunkan nurseri mulberi dan mengeluarkan produk kosmetik BILU.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini