ANAK didik kepada ilmuwan terkenal seperti Syeikh Fathi Daud, Ustaz Azhari Usman Al Hafiz dan Ustaz Mohd. Napiah Sahrani ini, merupakan seorang imam dan khatib yang diiktiraf dengan kemenangan di Pertandingan Khatib Terbaik peringkat Negeri Selangor 2018 dan 2023 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Berpengalaman lebih 10 tahun sebagai imam di Masjid Bandar Tun Hussein Onn Cheras, Kajang, baru-baru ini, Mohd. Faisal Mohd. Noor menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas jasanya.
Ujarnya, pencapaian berkenaan menjadi pemangkin dan kayu pengukur serta ujian buatnya dalam kerja keagamaan dilakukannya.
“Secara peribadinya ia turut menyuntik elemen positif untuk saya sentiasa berusaha menjadi lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
IMAM DAN KHATIB
Menjelang Jumaat, menjadi kewajipan muslimin untuk menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid terdekat.
Mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib sebelum mendirikan solat, menjadi satu keutamaan dalam menyempurnakan fardhu tersebut.
Mohd. Faisal yang juga alumni Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam bidang Tahfiz Quran dan Qiraat itu berkata, teks khutbah adalah bergantung pada keadaan semasa dan isu-isu yang berlaku dalam negara khususnya negeri Selangor dan ditapis panel khas.
Justeru, jemaah hendaklah mendengar khutbah yang berperanan sebagai nasihat dan pesanan agama disebalik perhimpunan umat Islam.
“Jumaat dinamakan sebagai Sayyidul Ayyam iaitu penghulu segala hari yang melebihi hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
“Khatib perlu bijak mengambil kesempatan dalam menyampaikan segala isi kandungan khutbah dengan harapan jemaah mendapat sesuatu perkongsian ilmu dan manfaat daripada penyampaian tersebut,” tegasnya.
PERSEDIAAN RAPI
Berkongsi rahsia kejayaan, Mohd. Faisal berkata, sebelum menyampaikan khutbah, beliau melakukan persediaan rapi dengan membuat semakan, melancarkan bacaan dan menyesuaikan intonasi suara mengikut kehendak teks, dalam memupuk keyakinan tinggi depan pendengar yang hadir.
Tegasnya, khatib yang profesional hendaklah melakukan persiapan awal kerana cara penyampaian perlu berbeza bergantung kepada isi teks yang ingin disampaikan.
“Kalau boleh biarlah para jemaah bertadabbur, menghayati dan merenung sehingga meresap ke dasar hati sewaktu khatib membacanya.
“Tidak dinafikan ada jemaah mengadu kegagalan khatib di mukimnya menyampaikan khutbah, sehingga menimbulkan rasa bosan. Ini secara tidak langsung memberi impak negatif kepada pengurusan masjid tersebut,” katanya.

CINTA PADA AL-QURAN
Kurniaan Sanad Riwayat Hafs An Asim, turut meningkatkan keyakinan Mohd. Faisal untuk mengalunkan bacaan surah dan memimpin solat.
Beliau yang juga pemilik Akademi al-Quran As Syatibi, di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, turut memenuhi rutin hariannya dengan mengadakan kelas pengajian al-Quran dan tajwid di merata tempat.
Beliau berharap ilmu disampaikan dapat dimanfaatkan oleh anak murid di bawah bimbingannya.
“Saya berhasrat ingin melahirkan seberapa ramai anak kariah yang mahir dan celik membaca al-Quran.
“Dengan ilmu yang dimiliki, dapatlah saya mengajar segala ilmu al Quran dan menurunkan sanad kepada anak murid dibawah bimbingan saya,” katanya bersungguh.

BERSAMA KELUARGA
Walaupun sibuk dengan aktiviti harian sebagai imam dan guru al-Quran, Mohd. Faisal tetap mencari masa untuk diluangkan bersama keluarga tercinta.
Hasil perkongsian hidup dengan suri hati, Noramani Mat Nor, pasangan ini dikurniakan lima cahaya mata berumur dari 14 sehingga 25 tahun.
“Sibuk macam mana sekalipun, keluarga tetap diberikan keutamaan. Saya bersyukur keluarga sangat memahami tugas hakiki saya.
“Saya juga aktif membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan setempat dan bergiat aktif dalam Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di sekolah,” kongsinya.
Dalam pada itu, Mohd. Faisal turut mengajak umat Islam untuk mengambil berkat dengan terus mengimarahkan masjid dan surau yang berperanan sebagai pusat penyatuan ummah dan penyebaran ilmu serta dakwah Islam.
Beliau turut meletakkan harapan agar pada masa akan datang, bakat pelapis generasi baharu bagi imam dan khatib yang berkualiti dapat dicungkil seterusnya meningkatkan kualiti masjid di seluruh negeri Selangor.











