Keletah ‘Bang Haji’ mencuit hati - Utusan Malaysia

Keletah ‘Bang Haji’ mencuit hati

Seorang yang ceria dan mudah memahami arahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Videonya sering kali trending di Tiktok. Siapa tak kenal si ‘Bang Haji’ cilik yang sering kali mencuit hati pengguna media sosial dengan gelagatnya yang lucu dan bersahaja.

Bang haji atau nama sebenarnya, Muhammad Aniq Mohd. Redzuan baharu sahaja berusia dua tahun tujuh bulan namun sudah mempunyai hampir 600,000 pengikut di Tiktok.

Malah, video-videonya juga sering mencatatkan jumlah jutaan tontonan setiap kali dimuatnaik. Paling tinggi mencecah 14 juta tontonan.

Berkesempatan bertemu dengan bintang cilik ini beberapa hari lalu ketika dia datang ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.

Kanak-kanak bertubuh montel dan gebu itu sememangnya menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandangnya.

Malah, sikapnya yang tidak takut dengan orang dan mudah mesra menjadikan ramai yang ‘geram’ dengannya.

Muhammad Aniq Mohd. Redzuan bersama ibu dan bapanya.
– UTUSAN/SYAKIR RADIN

Bapa Aniq, Mohd. Redzuan Zainol berkata, anaknya itu mula dikenali sejak pertengahan tahun lalu selepas dia mula memuat naik video anaknya ke dalam aplikasi Tiktok.

Katanya, perkongsian itu hanyalah sekadar suka-suka namun tidak menyangka mendapat maklum balas di luar jangkaan daripada pengguna aplikasi itu yang seronok melihat keletah Aniq.

“Nama ‘Bang Haji’ itu pun dapat daripada pengikut-pengikut selepas mereka terhibur melihat video dia bersolat.

“Dia pula sering berkopiah, makanya mereka memanggilnya Bang Haji dan gelaran itu melekat sampai sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

‘ANAK ONLINE’
Gelagat anak kelahiran Guar Chempedak, Kedah yang pelat bertutur dalam bahasa utara itu membuatkan ramai yang menggelarnya sebagai ‘anak online’.

‘Anak online’ adalah istilah digunakan di media sosial apabila suka melihat keletah kanak-kanak di media sosial, ibaratnya seperti anak angkat.

Malah, video makan-makannya ketika Ramadan lalu sering ditunggu-tunggu setiap hari kerana seronok melihat kanak-kanak seusianya berselera makan pelbagai jenis makanan.

Hidangan makanannya pula seperti orang dewasa. Antaranya, nasi dengan ‘lamb shank’, mi goreng bersama telur rebus serta nasi putih bersama kari ikan.

Mengulas mengenai keletah Aniq yang comel dan sentiasa ceria, kata Redzuan yang memiliki perniagaan sendiri, anaknya itu sama seperti kanak-kanak lain yang seusia dengannya.

Ada masanya mahu bermain dan ada masanya merengek mahukan sesuatu.

“Tetapi yang bagusnya dia mendengar kata. Apabila kita beritahu sesuatu arahan dia boleh mengikutinya.

“Ada masanya dia menangis juga seperti kanak-kanak lain. Tetapi dia memang suka nasi. Video makan-makan itu memang apa yang dia makan selalunya. Dia tidak memilih makanan,” jelasnya.

MURAH REZEKI
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Siapa sangka sekadar daripada video perkongsian rutin harian, anak bongsu daripada empat beradik itu kini mempunyai pendapatannya sendiri.

Kata Redzuan, anaknya itu banyak menerima tawaran menjadi duta produk dan kini menjadi duta bagi produk susu.

Bagaimanapun, tidak semua tawaran dapat dipenuhi kerana tidak mahu anak kecilnya itu terlalu terikat dengan mana-mana pekerjaan.

Sebaliknya, ketika ini dia hanya mengambil kerja-kerja membuat ‘review’ untuk beberapa produk berkaitan kanak-kanak, pakaian dan juga makanan.

“Alhamdulillah, sekarang ini kita ada dapat beberapa tawaran untuk ‘review’ produk dan francais makanan.

“Boleh dikatakan ketika ini Aniq sudah ada pendapatannya sendiri dan semua hasil kerjanya itu kami simpan di dalam akaun simpanannya,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangan masa depan, kata Redzuan, dia akan menguruskan setiap tawaran yang diterima Muhammad Aniq.

“Saya anggap ini sebagai rezekinya. Hasil pendapatan itu nanti akan disimpan untuk kegunaannya pada masa depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN