RAMAI menyangka kanser payu dara menyerang dalam kalangan individu berusia sahaja.
Namun, sebenarnya subjenis kanser payudara, Triple-Negatif Breast Cancer (TNBC) lebih cenderung berlaku dalam kalangan wanita muda iaitu 40 tahun ke bawah.
Lebih membimbangkan, TNBC merupakan kanser agresif berbanding kanser payudara lain dan berkembang dengan lebih cepat.
Ia juga dikatakan lebih cenderung untuk tersebar pada masa ia dikesan selain boleh berulang walaupun selepas pesakit mendapatkan
rawatan.
Justeru, Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) berganding bahu bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) serta MSD Malaysia menjalankan kempen I Can, We Will bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai subjenis kanser payudara itu.
Presiden dan Pengarah Perubatan NCSM, Datuk Dr. Saunthari Somasundaram berkata, kempen itu bertujuan untuk menghapuskan mitos dalam kalangan wanita mengenai kanser payudara.
“Mitos yang ramai masih percaya adalah mereka tidak akan kena kanser payudara kerana tiada sejarah keluarga yang menghidap kanser.
“Tetapi sebenarnya, selagi kita adalah seorang wanita, kita berisiko menghidap kanser payudara.
“Kami juga ingin memberikan kesedaran betapa pentingnya melakukan saringan pemeriksaan kesihatan tidak kira lapisan umur kerana TNBC boleh menyerang wanita di bawah usia 40 tahun,” katanya ketika majlis pelancaran kempen itu di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Urusan MSD Malaysia, Singapura & Brunei, Dr. Abdullah Sheriff dan Pakar Perunding Klinikal Onkologi, Dr. Jennifer Leong.
Kempen itu menggalakkan orang ramai untuk mempelajari lebih lanjut mengenai TNBC.
Tujuannya supaya mereka dilengkapi dengan pengetahuan untuk melawan penyakit itu melalui pengesanan awal dan rawatan yang sesuai.
LEBIH MENCABAR
Dr. Jennifer Leong berkata,TNBC tidak mempunyai\ mana-mana reseptor yang biasanya terdapat dalam tisu payudara dan sel kanser payudara.
Ia termasuk reseptor estrogen (ER) dan progesteron (PR) serta protein, dikenali sebagai HER2 (reseptor faktor pertumbuhan epidermal manusia 2).
Sekali gus, menjadikan ia lebih mencabar untuk dirawat kerana tidak memberikan respon kepada beberapa jenis rawatan.
“Biasanya doktor akan merawat pesakit dengan pembedahan, kemoterapi\ atau radioterapi sebagai sebahagian daripada pelan rawatan.
“Oleh kerana kekurangan reseptor dan protein HER2, rawatan tertentu seperti terapi hormon atau terapi sasaran HER2 tidak sesuai untuk pesakit TNBC,” katanya.
Kini terdapat terapi baharu yang inovatif seperti imunoterapi yang memberikan lebih banyak pilihan rawatan untuk pesakit TNBC.
39 TAHUN KENA KANSER
Tidak menyangka memasuki usia 39 tahun memberikan pengalaman hebat buat dirinya.
Kim Lim yang pada ketika itu kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 terpaksa menelan kenyataan pahit bahawa dirinya adalah pesakit kanser payudara jenis TNBC.
“Ketika itu saya merasakan ada ketulan keras pada payudara yang saya sangkakan hanya ketulan biasa dan membiarkan sahaja.
“Namun, setiap hari ia semakin membesar dan keras seperti sebiji bola\ golf. Saya sama sekali tidak terfikir untuk melakukan saringan seperti mamogram dan sebagainya kerana tidak menjangka ia kanser memandangkan saya masih di bawah usia 40 tahun.
“Selepas tiga bulan dan ia makin membesar, saya buat keputusan mendapatkan rawatan dan ia memang TNBC,” katanya yang kini bergelar pemandiri kanser berkenaan.
Tambahnya yang juga Presiden BCWA, pesakit TNBC memerlukan sistem sokongan yang baik untuk membantu proses pemulihan.
“Sistem sokongan yang kuat dapat memberikan kesan positif kepada pesakit dengan memberi keyakinan bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjalanan kanser mereka.
“Kami teruja bekerjasama dengan NCSM dan MSD dalam meningkatkan kesedaran mengenai TNBC selain menyediakan platform bagi pesakit untuk berhubung dan berkongsi antara satu sama lain,” jelasnya










