Jingga, kebaya curi tumpuan

Jingga, kebaya curi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDAH sekali rona jingga jika dipadankan dengan warna kelabu, putih dan hitam seperti koleksi Em’Bloom daripada Hatta Dolmat.

Penampilan di pagi raya tampak lebih ceria dan menawan dengan kombinasi rona itu di samping sentuhan motif tropika serta abstrak moden yang eksklusif.

Hatta berkata, pelbagai rekaan kurung panjang, pendek dan kebaya dihasilkan daripada rona berkenaan.

Tidak ketinggalan, kurta jingga bermotif buat kaum adam yang ingin tampil berbeza ketika lebaran.

Beliau turut mengakui yang Aidilfitri kali ini sememangnya menjadi milik warna paling viral iaitu jingga.

“Jingga muncul warna paling popular pada 2024. Bukan sahaja burnt dan brick orange, malah semua rona dalam kumpulan warna itu termasuk tangerine turut menjadi pilihan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain jingga, menduduki carta pilihan warna tema Aidilfitri ialah hijau termasuk teal, sage dan avocado diikuti rona klasik seperti maroon.

Kata Hatta, Em’Bloom diilhamkan daripada penemuan menariknya ketika mendaki Gunung Alai di Gerik, Perak dan beberapa kawasan air terjun di negara ini.

Antara penemuan itu ialah pokok raflesia dan tempoh tiga bulan diambil bagi mendapatkan keseluruhan inspirasi.

Selain mempertaruhkan warna dan motif eksklusif, koleksi itu turut menggunakan material kain yang terbaik di samping rekaan yang selesa dan longgar.

“Tidak salah beli baju kurung sarat bermanik tetapi apakah ia sesuai dipakai di kampung dalam cuaca panas sebegini.

“Oleh itu, pilih fabrik yang sejuk seperti kapas, satin atau satin crepe di samping pakai baju yang longgar agar ada laluan udara serta tidak berpeluh atau melekit,” katanya.

Sementara itu, ilham pereka, Khoon Hooi turut mencuri tumpuan apabila menampilkan kombinasi merah jambu, emas dan putih dalam persalinan kebaya rendanya.

Kebaya pendek itu tampak mempesonakan dengan rekaan kerongsang rama-rama dan mutiara unik.

Kata Khoo Hooi, inspirasi itu sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kenangan melihat baju kebaya neneknya yang elegan di samping sentuhan nuansa kontemporari.

Selain busana, koleksi ini turut dilengkapi beg kecil sebagai pelengkap gaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN