Awas, berat naik 3 kilogram lepas raya

Awas, berat naik 3 kilogram lepas raya

raya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESERONOKAN menyambut Syawal membuatkan seseorang makan secara berlebihan tanpa kawalan.

Lebih-lebih lagi apabila disajikan dengan menu-menu lazat setiap kali beraya ke kediaman sanak-saudara dan rakan taulan, di samping ketika menghadiri majlis-majlis rumah terbuka.

Sedangkan, makanan, kudapan dan minuman tersebut kebiasaannya memiliki kandungan lemak, gula, garam dan kalori yang tinggi.

Tabiat itu akhirnya akan memberi kesan mudarat kepada kesihatan dan badan.

Pengurus Kanan Dietetik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Celeste Lau berkata, berat badan seseorang boleh naik sehingga tiga kilogram dalam tempoh sebulan jika menghadiri banyak aktiviti sosial seperti rumah terbuka.

“Ia disebabkan pengambilan banyak sajian utama atau makanan berat termasuk pelbagai kudapan dan minuman manis.

“Malah, seseorang turut terdedah kepada risiko diserang penyakit jantung atau mati mengejut jika terlebih makan dan minum, kurang rehat serta tidak cukup tidur,” katanya baru-baru ini.

Tegas Celeste, walaupun risiko penyakit itu rendah atau jarang, namun tidak mustahil ia boleh berlaku.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat bagi menjamin kesejahteraan serta kesihatan badan dalam jangka masa panjang.

Terutama bagi individu yang mempunyai penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes, kolestrol dan buah pinggang kronik

“Walaupun sambutan perayaan hanya sekali-sekala, tetapi, jika diet dan gaya hidup tidak terjaga, ia mungkin akan mengganggu atau mensia-siakan usaha kawalan penyakit yang dilakukan sebelum ini.

“Bagi yang tidak berpenyakit pula, sekiranya tidak menjaga pemakanan, minuman di samping kurang rehat, tidur serta bersenam, mereka boleh berdepan masalah seperti peningkatan berat badan, perut kembung, sembelit, sakit kepala, keracunan makanan, demam panas atau jangkitan kuman,” jelasnya.

 

Amal suku-suku separuh
Celeste turut mengingatkan orang ramai untuk mengurangkan pengambilan hidangan manis seperti biskut raya, kek, coklat dan minuman.

Sebaliknya, melebihkan pengambilan makanan segar serta asli dan banyakkan minum air kosong.

“Pastikan makanan yang diambil adalah seimbang, sederhana dan pelbagai, seperti konsep suku-suku separuh atau pinggan sihat Malaysia,” katanya.

Jelasnya, Aidilfitri diraikan dengan penuh ceria dan gembira, oleh itu, penting untuk seluruh masyarakat menjaga pemakanan supaya kesihatan mereka tidak terjejas semasa dan selepas musim perayaan.

Selain mendisiplinkan diri untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat, masyarakat juga boleh menyediakan makanan serta minuman sihat atau seimbang kepada tetamu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×