Ppembedahan mikro kurang invasif atau minimally invasive glaucoma surgery (MIGS) kini digunakan dalam perawatan pesakit glaukoma tahap awal sehingga sederhana.
Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan dari Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Jemaima Che Hamzah berkata, kaedah berkenaan mempunyai profil keselamatan yang tinggi berbanding kaedah sedia ada.
Katanya hirisan luka yang kecil hanya menyebabkan sedikit trauma kepada anatomi dan fisiologi mata.
“Pemulihan menjadi lebih pantas selepas pembedahan dengan keperluan lawatan susulan yang minimum,” katanya.
Glaukoma adalah penyakit mata yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik dan antara penyebab utama kebutaan kekal.
Terdapat lebih kurang 64 juta orang yang mengalami kurang penglihatan dan kebutaan disebabkan penyakit itu di seluruh dunia dan angka itu dijangka meningkat kepada 111.8 juta pada 2040
MIGS menjadi pilihan ideal jika pesakit glaukoma ingin berhenti mengambil satu sehingga dua ubat titis mata.
“Rawatan ini melibatkan pengunaan implan yang kecil atau alatan yang khas. Namun, teknik ini tidak sesuai untuk pesakit glaukoma tahap teruk atau lanjutan kerana memerlukan tekanan mata yang lebih rendah.
“Pembedahan ini bertindak di sudut hadapan mata seterusnya mengurangkan tekanan mata dan melambatkan perkembangan penyakit glaukoma. Kebanyakan pembedahan ini ditawarkan di kebanyakan hospital di negara ini,” katanya.
Tanpa simptom
Kebanyakan pengidap penyakit glaukoma lambat datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan kerana tidak menyedari mereka menghidapi penyakit ini.
Ia berikutan penyakit glaukoma tiada simptom pada awalnya tetapi beransur-ansur mempengaruhi penglihatan apabila kerosakan saraf optik dalam peringkat teruk.
“Pada ketika ini pengidap glaukoma mempunyai penglihatan terowong (tunnel vision) dan penglihatan tengah mula merosot,” kata Dr. Jemaima.
Bagi mengatasi masalah ini, rawatan pertama adalah ubat-ubatan terutamanya ubat titis mata anti-glaukoma.
“Mengambil ubat titis mata untuk merawat glaukoma bukanlah mudah bagi ramai pesakit terutama yang berumur kerana memerlukan kepatuhan yang tinggi dari pesakit.
“Jika pesakit mempunyai sakit sendi di tangan atau tangan menggeletar, meletakkan ubat ke dalam mata bukannya mudah kerana memerlukan kordinasi tangan dan mata yang baik.
“Pesakit juga mungkin mempunyai penyakit lain seperti sakit jantung, darah tinggi atau kencing manis menyebabkan kepatuhan kepada ubat titis mata tidak bagus disebabkan pesakit lebih tertumpu untuk rawatan penyakit-penyakit lain yang boleh mengancam nyawa,” jelasnya.
Selain itu, pesakit juga mungkin tidak toleran pada kesan samping ubat titis mata seperti gatal pada mata.
Bagi pesakit yang menjalani rawatan laser, mereka perlu menunggu beberapa minggu untuk mengetahui keberkesanannya.
Rawatan laser tidak berkesan untuk semua orang.
Pesakit masih perlu menggunakan ubat titis mata selepas laser dilakukan.
Begitu juga dengan pembedahan glaukoma yang standard seperti trabekulektomi dan implantasi implant glaukoma sering dilakukan untuk mendapatkan tekanan lebih rendah selepas rawatan ubat titis dan laser dilakukan.
Namun kaedah rawatan itu mempunyai risiko komplikasi awal dan lewat yang tinggi, perlu lawatan susulan yang kerap dan masa pemulihan yang lama.










