JURUFOTO dan penyelidik bebas mengenai Orang Asli, Suzairi Zakaria atau lebih dikenali sebagai Dome Nikong baru-baru ini diterbangkan ke Tokyo, Jepun untuk membuat pameran potret Orang Asli suku kaum Bateq dan Semaq Beri yang mendiami kawasan pedalaman Kelantan dan Terengganu.
Idea pameran fotografi itu sebenarnya bermula melalui jemputan seorang Ahli Antropologi Jepun, Dr. Aya Kawai yang sebelum ini berkunjung ke penempatan Orang Asli di Kampung Kuala Koh untuk melakukan kajian mengenai etnik tersebut.
Pameran fotografi bertajuk Hunter-Gatherers of the Malaysian Rainforest; Bateq and Semaq Beri anjuran Research Institute for Languages and Cultures of Asia and Africa, Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) dan TUFS Field Science Commons di dua galeri, masing-masing pada
Januari dan Februari lepas.
Pameran berkenaan mempertontonkan kisah dan keunikan penduduk asal kepada masyarakat di Jepun melalui 36 keping gambar Orang Asli suku kaum Bateq dan Semaq Beri.
Ia merakam cara kehidupan mereka termasuk daripada segi makanan, tempat tinggal, perhiasan, perubatan, budaya dan juga alat muzik tradisional.
Suzairi berasal dari Setiu, Terengganu sebenarnya bersama dengan kehidupan Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dan Semaq Beri di Tasik Kenyir sejak lebih 15 tahun.

Aktiviti dokumentasi mengenai orang Orang Asli dilakukan sejak dari dulu selain terlibat secara aktif dalam mencari flora-flora unik di dalam hutan dalam usaha konservasi hutan.
Melalui pameran ini, Suzairi berharap dapat diadakan pameran yang sama di Kuala Lumpur bagi mengetengahkan keunikan masyarakat pribumi tersebut kepada orang ramai selain mendedahkan kehidupan seharian Orang Asli yang terdapat di negara ini












