Kenapa berkira berbaju tradisional

Kenapa berkira berbaju tradisional?

Orang kita berkira berbaju tradisional tetapi tidak kisah membeli produk luar negara -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGAPA sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli beg tangan dan produk berjenama sedangkan hendak membeli hasil produk tradisional, kita cukup berkira?

Itu antara persoalan dilontarkan personaliti TV dan Fasilitator Pembelajaran Profesional, Juita Jalil, ketika bercakap kepada media sempena
Seminar Fesyen Lestari: Ke Arah Keunggulan dan Reka Bentuk Berkelanjutan di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini

Juita yang terkenal kerana gemar berbusana tradisional dalam setiap majlis keraian, membentangkan topik ‘Mengekalkan intipati budaya, warisan dan tradisi dalam landskap fesyen kontemporari masa kini’.

“Kenapa kita rasa tidak boleh tampil dengan pakaian tradisional di majlis-majlis keraian? Jadi, bagaimana kita hendak memampankan
budaya yang kononnya kita bangga-banggakan sangat ini?

“Kalau kita tidak pakai tradisional ini, lama-kelamaan, budaya kita akan hilang begitu saja kerana generasi sekarang dan di masa depan tidak lagi mengenal budaya mereka sendiri,” katanya.

Juita tampil anggun dengan berkebaya Nyonya berhias kerongsang Tuo dan berkain batik.

Kasut sarung sarat manik beraneka warna menarik perhatian. Beg tangan anyaman pandan menambah seri wanita mencecah usia enam siri itu.

“Saya ajar anak-anak saya rahsia pakaian dalam budaya kita. Sebagai contoh, keronsang Tuo yang saya pakai ini. Kalau tengok kerongsang ini, ekor dia akan menghala ke kiri sebab jantung kita di kiri.

“Cerita di sebalik kedudukan kerongsang Tuo yang sering dipakai oleh orang peranakan Pulau Pinang ini, ia seumpama emak yang tetap di hati anak-anak. Benda-benda moden sekarang ada cerita?” katanya.

Malah katanya, kasut manik, buatan tangan Nyonya yang dipakainya pada hari itu juga mempunyai fungsi tersendiri.

Kasut berkenaan dibuat dalam dua bentuk iaitu versi terbuka atau terbuka menampakkan kaki.

Kasut yang terbuka dan menampakkan sebahagian kaki, biasanya hanya untuk dipakai di rumah.

Sebaliknya kasut yang tertutup pula di pakai ketika keluar rumah.Katanya apa yang di pakai tidak penting sebaliknya apa yang lebih bermakna, adalah cara kita memakai setiap busana supaya tampak anggun dan bergaya.

Juita tampil anggun dengan berkebaya Nyonya berhias kerongsang Tuo dan berkain batik.

Tambah Juita, beliau tidak segan untuk tampil bergaya dengan baju tradisional di tengah-tengah hadirin lain yang kebanyakannya menggayakan gaun kontemporari.

“Sebagai contoh ketika menghadiri acara permaidani merah, masa itulah saya pakai pakaian tradisional. Tidak semestinya baju tradisional
Melayu tetapi termasuk sari, cheong sam dan sebagainya. Apa salahnya kita pakai?

“Semua orang pakai gaun, saya seorang memakai sari hitam. Saya pula paling banyak diambil gambar walaupun bukan itu niat saya. Anda boleh pakai pakaian tradisional secantik dan sehebat yang diinginkan,” katanya.

Juita berkata, beliau menyimpan beberapa pakaian lama yang diwarisi daripada neneknya yang meninggal dunia pada usia 72 tahun seperti kain batik dan songket yang berusia 35 tahun.

Malah ketika anaknya bertunang, Juita memakaikan anaknya dengan kain kelingkan yang dipinjamkan oleh seorang teman. Kain yang dicop dengan kepingan emas itu berharga RM45,000.

Kesungguhannya mengetengahkan pakaian tradisional juga menarik perhatian individu yang terbabit dengan industri fesyen untuk menghadiahkannya dengan baju tradisional yang berusia 90 tahun.

“Biasanya saya akan menyimpan baju yang diterima selama kira-kira dua tahun sebelum ia diubah suai. Sebagai contoh, jika sebelum ini skirt kembang, ia akan di ubah suai kepada skirt berpotongan A atau menukar kolar baju mengikut citarasa.

“Baju yang tidak dipakai pula, akan diberikan kepada orang yang membuat persembahan atau dalam industri fesyen supaya pakaian berkenaan terus ‘bernyawa’,” katanya.

TEKNOLOGI JAMIN DAYA TAHAN REKAAN

Sementara itu, Pengasas Clotech Atelier Academy, Datin Dr. Norsaadah Zakaria berkata, teknologi fesyen penting bagi memastikan
pakaian dihasilkan berkualiti dan tahan lama.

“Fesyen teknologi maksudnya teknik pembuatan dan persediaan untuk membuat baju sama ada dari segi lipatan, pola dan jenis
jahitan.

“Teknologi bukan sekadar perisian dan pengkomputeran saja, tetapi cenderung kepada teknik kemahiran dalam pembuatan fesyen,” katanya.

Beliau menyampaikan ceramah bertajuk, ‘Kemampanan Teknologi Fesyen: Mengapa dan bagaimana pemain industri perlu memiliki kemahiran dan teknologi yang betul untuk menerima perubahan’.

Katanya di negara ini ada banyak rekaan fesyen tetapi kurang daripada sudut teknologi fesyen.

Teknologi Fesyen membantu memahami setiap jenis pola, jahitan atau lipatan yang menjadikan ketahanan baju lebih tinggi dan berkualiti.

Dr. Norsaadah yang mengasaskan Hab Fesyen Lestari Kebangsaan yang mengubah usahawan menjadi juara kelestarian dan memupuk rakan eko berkata, baju yang berkualiti tinggi boleh dipakai lama.

“Kalau hendak bagi baju lama kepada orang lain, ia masih boleh dipakai lagi kerana kualitinya. Kita tidak mahu apabila baju dipakai, terkoyak, baju itu akhirnya dibuang.

“Ini akan menimbunkan sampah yang terlalu banyak. Berdasarkan maklumat daripada pengumpul baju terpakai, seminggu kira-kira 10,000 kilo baju terpakai yang dibuang. Jadi, kita kena fikir macam mana nak kurangkan pembaziran ini,” katanya.

Dr. Norsaadah yang juga ahli akademik, jurulatih TVET dan Juruteknologi Pakaian Bertauliah turut menekankan kepentingan membentuk
landskap saiz pakaian Malaysia.

Katanya buat masa ini pengguna di negara ini bergantung kepada pola saiz dari negara luar seperti United Kingdom atau Amerika Syarikat sedangkan anatomi orang Malaysia berbeza dengan orang barat.

“Kita ada 13 negeri, di mana setiap negeri, pemakanan penduduknya berbeza. Jadi bentuk badan pun berbeza sedikit walaupun tidak besar
jurangnya. Kalau saiz S, mungkin ada tiga hingga empat jenis S.

“Walaupun sudah berpuluh tahun saya meminta saiz standard dibuat, tapi pengeluar tidak mahu sebab kerja mereka akan jadi lebih
banyak. Bila pengeluar buat, mereka tidak akan tanya keselesaan pengguna,” katanya.

NORSAADAH ZAKARIA

Kemampanan industri fesyen

KETUA Ekesekutif Think Plus Group, Dr. Norsaidatul Akmar Mazelan pula menekankan konsep Produk, Proses, People, Planet dan Prosperity (5P) dalam industri pembuatan termasuk fesyen.

“Konsep 5P ini penting bagi memastikan kemampanan atau kelestarian setiap industri. Kemampanan dalam istilah yang sebenar, kita kena
buka jalan baharu supaya kos rendah, pembuangan sisa rendah, memulih ekonomi dengan lebih laju serta menguntungkan.

“Tapi ramai yang mengira produktiviti berdasarkan kuantiti bahan, masa, mesin, peralatan tetapi produktiviti daripada segi penggunaan
bahan yang sama dan untung lebih banyak lebih penting,” katanya.

Beliau ditemui selepas membentangkan tajuk; ‘5 Elemen Boleh Ukur Kepada Kemampanan: Tinjauan Keseluruhan standard 5P’.Katanya kepakaran
melihat kemampanan atau impak sesuatu projek boleh membawa kepada impak yang besar, sekaligus pengusaha turut mendapat kerahmatan lebih lama.

“Tapi kalau impak kecil, dari segi pembaziran, projek tidak akan dapat bertahan lama. Fesyen boleh meraih keuntungan lebih banyak jika produk yang dihasilkan boleh bertahan lama dan dikitar kepada pelbagai produk lain,” katanya.

Justeru, katanya pereka perlu mereka sesuatu yang boleh dipakai semula. Minda pengguna juga perlu sama dalam mengitar semula produk yang dibeli supaya penggunaannya tidak terhad kepada satu fungsi saja.

Sebagai contoh, kalau beli alas meja, mungkin di masa akan datang boleh dikitar semula untuk kegunaan lain seperti dibuat sarung tangan ketuhar, kain perca bantal dan sebagainya.

“Sekiranya sesuatu produk itu boleh dikitar sebanyak yang mungkin, lebih mampan sesuatu industri itu dan merangsang kitaran ekonomi.
Tapi kalau hanya boleh pusing sekali saja, rugilah kita, tiada kemampanan.

“Makna mampan, kita boleh baik pulih situasi dalam keadaan beli sekali, tapi pelbagai aplikasi. Produk boleh dicipta dan dijual
dengan lebih murah lagi sebab ia tidak menggunakan barang baharu,” katanya.

Katanya dalam industri fesyen, baju terpakai sepatutnya boleh dikitar semula dan dijadikan baju baharu.

Bagaimana pun, ramai tidak tahu sebab kebanyakan orang ingin membeli pakaian yang baharu dan mengikut gaya terkini.

Justeru, minda perlu berubah jika tidak, ia tidak menghasilkan kemampanan. Kemampanan ini membuka kerahmatan. Jika tidak buka minda, tiada rahmat dalam ekonomi.

NORSAIDATUL AKMAR

Melahirkan pereka progresif

SEMINAR Fesyen Lestari: Ke Arah Keunggulan dan Reka Bentuk Berkelanjutan dianjurkan Sekolah Jahit Antarabangsa, sebuah sekolah jahit dan fesyen terkemuka.

Pengasasnya, Kalpana Singh berkata, kelestarian adalah asas tanggungjawab ekosistem fesyen.

“Peserta akan mempelajari impak alam sekitar daripada fesyen, kepentingan sumber etika, dan bagaimana perubahan kecil boleh
membawa kepada transformasi yang signifikan.

“Peserta akan mengetahui bagaimana jenama-jenama mengintegrasikan kelestarian dalam amalan mereka, mengatasi cabaran, dan berkembang. Contoh dunia nyata ini akan menginspirasi dan membimbing pereka masa depan kita,” katanya.

Katanya, seiring dengan perkembangan industri fesyen, adalah penting untuk membina generasi baru pereka yang tidak hanya mempunyai kemahiran teknikal tetapi berpemikiran progresif.

“Di Sekolah Jahit Antarabangsa, kami teguh berpendapat bahawa kelestarian bukan hanya satu tren. Ia adalah bahagian integral dalam pendidikan dan kurikulum kami.

Misinya adalah untuk memberdayakan pelajar supaya menjadi agen perubahan dalam industri ini.

KALPANA SINGH
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN