SEBUT sahaja Turkiye, pasti kita membayangkan Hagia Sophia dan Masjid Sultan Ahmed atau lebih popular sebagai Masjid Biru.
Namun, sebelum kemunculan mercu tanda ikonik itu, terdapat beberapa binaan masjid unik dan mempesonakan di bumi Anatolia.
Anatolia atau Asia Kecil adalah kawasan barat daya Asia yang merujuk kepada sebahagian besar Turkiye.
Berdasarkan rekod, terdapat lima masjid kayu di Anatolia iaitu Masjid Ahi Serafeddin atau Arslanhane yang terletak di Ankara diikuti Masjid
Besar Sivrihisar (Eskisehir), Masjid Besar Afyonkarahisar (Afyonkarahisar), Masjid Esrefoglu (Konya) dan Masjid Mahmutbey (Kastamonu).
Setiap satunya dibina antara kurun ke-13 hingga 14, dan masih tersergam kukuh hingga kini, meskipun sudah menjangkau usia lebih 700 tahun.
Paling istimewa, kelimalima masjid ini turut disenaraikan sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Pengiktirafan itu diberikan pada September tahun lalu sekali gus membolehkan daftar warisan dunia dari negara berkenaan melonjak kepada 21.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia berpeluang melihat secara dekat empat daripada masjid itu menerusi lawatan selama empat hari anjuran Agensi Promosi dan Pembangunan Pelancongan Turkiye (TGA).
Walaupun berbeza lokasi, namun setiap masjid berkenaan memiliki ciri-ciri teknikal sama terutama dari segi reka bentuknya yang menggunakan deretan tiang kayu dan batu bagi menyokong siling dan bumbung.
Teknik ukiran kayu kalem isi yang rumit menghiasi pintu, kepala tiang, siling dan sesangga, lantas menggambarkan tahap kemahiran pertukangan luar biasa masyarakat zaman pertengahan.
Di bahagian mimbar, kayu-kayu pelbagai bentuk dicantumkan tanpa paku atau gam, sebaliknya dipasak atau sinonim dipanggil kundekari.
Melihat kepada struktur warisan sejarah yang masih terpelihara dengan baik hingga hari ini, jelas mencerminkan kehidupan dan budaya Anatolia.
MASJID AHI SERAFEDDIN ATAU ARSLANHANE
Merupakan antara masjid tertua di Turkiye dan dibina pada 1290 semasa pemerintahan Kerajaan Seljuk.
Di peringkat awal, ia dikenali sebagai Masjid Arslanhane atau rumah singa, namun penduduk setempat mula memanggilnya Masjid Ahi Serafeddin selepas kematian pemimpin itu.
Ahi Serafeddin yang dikatakan peniaga dan ulama di bandar Ankara telah mengetuai kerja-kerja menaik taraf masjid berkenaan pada 1330.
Istimewanya, proses itu dilakukan secara bergotongroyong bersama kalangan peniaga lain hasil sumbangan derma orang ramai.
Sebagai tanda pengiktirafan kepada sumbangannya, makam Allahyarham turut ditempatkan di kawasan masjid.
Meneliti reka bentuknya, masjid kayu berkeluasan 400 meter persegi ini memiliki satu menara dengan 24 tiang kayu besar, tiga pintu dan 12 tingkap.
Binaannya menggunakan 100 peratus kayu pain manakala di bahagian mihrab diberikan sentuhan seni China.

Menurut pemandu pelancong, Mehmet Bey, seni bina berkenaan tidak boleh dijumpai di tempat-tempat lain kerana ia merupakan karya agung yang hanya ada di Anatolia.
Ujarnya, rantau itu kaya dengan sumber hutan, justeru tidak hairanlah kebanyakan masjid di zaman pertengahan diperbuat daripada kayu.
MASJID BESAR SIVRIHISAR
Terletak di wilayah Eskisehir dan dibina antara 1231 hingga 1232 oleh Leşker Emir Celaleddin Ali semasa pemerintahan Sultan Kayqubad I.
Merupakan masjid kayu terbesar di Anatolia yang menggunakan 67 tiang kayu dengan bahagian atasnya terdapat ukiran berwarna merah, hijau dan hitam.
Di bahagian mihrab, kepala tiang menggunakan batu-batu yang dikatakan berasal dari bandar purba, Pessinus yang terletak berdekatan Sivrihisar.
Mimbarnya dikatakan berasal dari masjid lain dan dibawa khas untuk ditempatkan di masjid ini.
Menariknya, ia merupakan satu-satunya masjid di Anatolia yang menyediakan ruang solat untuk wanita di bahagian atas.
MASJID BESAR AFYONKARAHISAR
Masjid berusia 752 tahun ini dibina oleh pemerintah Kerajaan Seljuk pada 1272 selepas berhijrah ke Afyonkarahisar yang terletak di
tengah Anatolia.
Di peringkat awal, ia adalah masjid kecil tetapi kemudian diluaskan apabila populasi penduduk makin bertambah.
Dibina menggunakan kayu pain yang diambil dari hutan berdekatan.
Berbanding di tempat lain, ukiran di masjid kayu ini lebih artistik dan berbeza mengikut tiang-tiang.
Dikatakan, bahagian mihrab menggunakan marmar khas yang dihasilkan oleh penduduk tempatan manakala, kepala tiang pula diambil dari gereja Rom.
MASJID ESREFOGLU
Beysehir di Konya bukan destinasi tumpuan pelancongan tetapi berbaloi untuk dikunjungi kerana keunikan Masjid Esrefoglu.
Ia merupakan satu-satunya masjid kayu di Anatolia yang memiliki ‘perigi’ di bahagian tengah, di ruangan solat.
Fungsinya adalah untuk mengekalkan kelembapan dalaman terutama pada struktur-struktur tiang kayu.
Pada musim sejuk, sebahagian kecil bumbung masjid dibuka bagi membolehkan salji masuk ke dalam perigi.
Di musim panas pula, salji yang cair di dalam perigi dijadikan minuman oleh para jemaah.
Sementara itu, seni ukiran pada tiang kebanyakannya bermotifkan simbol bebas, yang sinonim dengan Kerajaan Seljuk.
Masjid yang siap dibina pada 1299 ini menggunakan kubah yang diperbuat daripada batu.
Bagi menyokongnya, kepala tiang turut diperbuat daripada bahan sama.
Masjid kayu ini turut memiliki ruangan solat khas untuk sultan di bahagian atas yang dipanggil hunkar mahfili.
Langkah itu bertujuan mengelak sebarang cubaan dan ancaman untuk membunuh pemimpin ketika beribadah.
Selain itu, terdapat juga satu sudut kecil untuk golongan darwisy beramal di bahagian bawah masjid.
Dikatakan golongan itu akan membaca al-Quran selama 40 hari berturutturut tanpa tidur atau makan bagi memastikan dekat dengan Allah SWT.











