Jangan jadikan bazar Ramadan lokasi kaki ponteng puasa beli juadah

Jangan jadikan bazar Ramadan lokasi kaki ponteng puasa beli juadah

ABDUL HALIM Tawil (kanan) bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh ketika Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan peringkat negeri di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil mengingatkan para peniaga bazar Ramadan supaya tidak memulakan operasi mereka terlalu awal, contohnya pada pukul 12 tengah hari.

Beliau berkata, melakukan aktiviti jual beli juadah ketika waktu sedemikian tidak ubah seperti menggalakkan atau memudahkan kaki ponteng puasa mendapatkan makanan secara terbuka.

Ujarnya, sebagai umat Islam, golongan peniaga juga tidak terkecuali perlu bertanggungjawab menghormati Ramadan dan waktu paling sesuai untuk membuka gerai adalah bermula dari pukul 3.30 petang.

“Kita khuatir ada peniaga bazar ini seawal pukul 12 tengah hari telah memulakan perniagaan dan ini sudah pasti bukan elemen sebenar dalam operasi bazar.

“Jadi sekurang-kurangnya paling awal adalah sekitar pukul 3.30 petang atau 4 petang untuk mereka mula memasuki dalam kawasan bazar.

“Kalau awal sangat saya yakin perkhidmatan yang diberikan itu adalah untuk melayani orang yang tidak berpuasa dan amalan ini tidak akan menghormati bulan Ramadan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan peringkat negeri di Kompleks Falak Al-Khawarizmi di sini, semalam.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengenal pasti lebih 10 lokasi yang dipercayai dijadikan tempat golongan tidak berpuasa untuk makan dan minum, sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, penguat kuasa JAIM akan menggempur lokasi yang kerap kali menjadi tumpuan kaki ponteng puasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×