Masjid Al-Ansar, Tawau pilihan musafir

Masjid Al-Ansar, Tawau pilihan musafir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEDUDUKAN strategik menjadikan Masjid Al-Ansar, Balung, Tawau, Sabah sebagai lokasi persinggahan pilihan musafir untuk singgah berehat dan mendirikan solat lima waktu.

Pengunjung dari sekitar daerah Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang singgah di masjid ini dapat menggunakan kemudahan seperti ruang rehat, tandas dan kawasan letak kereta sebelum meneruskan perjalanan ke lapangan terbang atau bandar Tawau.

Lokasinya yang terletak di Pusat Komersial Taman Sawit juga memudahkan orang ramai mengalas perut di restoran yang betul-betul bersebelahan masjid.

Pengerusi masjid itu, Sabran Zabur Abdul Hamid berkata, kerja-kerja menambah baik kemudahan sedia ada akan sentiasa
dilakukan bagi memastikan keselesaan pengunjung.

Kongsinya, pada asalnya, masjid ini hanya mempunyai sebuah ruang solat yang dibina sejak 2017.

“Kemudian, ruang tambahan dibina di bahagian belakang ruang solat utama tersebut bagi memenuhi keperluan jemaah yang melimpah-ruah terutamanya ketika solat Jumaat dan solat sunat Hari Raya Aidil tri dan Aidiladha,“ katanya.

Menurut beliau, semasa negara dilanda pandemik Covid-19, proses pembangunan masjid turut terjejas dan tidak dapat diteruskan lebih dua tahun.

“Pada pertengahan tahun 2021, barulah kerja-kerja pembinaan ruang solat yang dilengkapi pendingin hawa termasuk tandas berkonsepkan ala hotel khusus untuk pengunjung wanita dapat diteruskan. Ia dijangka siap dibina pada Mac depan.

“Jemaah lelaki akan dapat beribadah dengan lebih tenang sejurus ruang solat terbuka di bahagian kiri masjid siap dibina kelak.

“Kamera litar tertutup (CCTV) turut dipasang di beberapa sudut masjid bagi menjaga keselamatan.

Oleh itu, masjid juga dapat beroperasi 24 jam tanpa sebarang kerisauan,“ katanya.

MASALAH AIR

Sementara itu, SabranZabur berkata, pihaknya turut berdepan masalah catuan bekalan air berjadual setiap minggu di kawasan Balung.
Sebelum ini, katanya, pihaknya tidak dapat menyelesaikan isu gangguan bekalan air terutamanya semasa waktu puncak seperti
hari Jumaat.

“Namun, dengan adanya sumbangan tangki daripada penderma, isu air berjaya diatasi.

“Kini, terdapat 18 tangki simpanan air yang berkapasiti lebih 1,514 liter bagi setiap tangki yang dapat digunakan bagi keperluan semua
pengunjung,“ kongsinya.

Dalam masa sama, katanya, pihak masjid turut mengambil langkah berhati-hati dalam memilih kontraktor agar kerja-kerja pembinaan tidak terbengkalai.

“Isu seperti pekerja kontraktor lari dan meninggalkan kerja yang masih terbengkalai sudah tentu membantutkan perancangan pihak masjid. Ia
juga akan meningkatkan kos operasi pembinaan,“ ujarnya.

Beliau berkata, pihak masjid masih memerlukan sokongan dana bagi menyiapkan kemudahan ruang pengurusan jenazah serta pembinaan
menara yang akan menjadi mercu tanda masjid ini.

“Usaha pengumpulan dana pembinaan akan terus dilakukan dengan iklan berbayar melalui platform media sosial serta tabung
kutipan.

“Orang ramai yang bermurah hati boleh menyumbang melalui akaun Masjid Al-Ansar Taman Sawit 560241023404 (Maybank)” kongsinya.

LARI SUBUH DULU

Bagi menyahut seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar untuk
memperluaskan gelombang ‘Solat Subuh Macam Jumaat’ di seluruh negara, pihaknya turut menganjurkan aktiviti ‘Lari Subuh Dulu’.

“Bagi tujuan mengimarahkan masjid, program kuliah maghrib mingguan pada setiap Isnin, Rabu, Khamis dan Jumaat serta kelas pengajian Al-Quran bagi anak-anak kariah turut diadakan.

“Pihak masjid juga menjemput penceramah khas bagi memeriahkan majlis sambutan hari kebesaran Islam seperti ceramah sempena peristiwa Israk Mikraj, Maulidul Rasul, Solidariti Bersama Palestin serta aktiviti sepanjang bulan Ramadan dan Syawal,“
katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN