MASJID Al-A’la di Kampung Benua, Simpang Empat Alor Setar, Kedah merupakan antara masjid yang tertua dan terindah di negeri ini.
Begitu juga kawasan berdirinya masjid yang mempunyai keunikan tersendiri ini ternyata memiliki sejarah sendiri.
Kewujudan masjid itu dipercayai akrab dengan sejarah penerokaan orang Siam ke kawasan sepanjang Terusan Wan Mat Saman yang mula dibina pada 1885.
Masjid tersebut yang masih kelihatan utuh dan tersergam indah itu menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui Jalan Alor Setar ke Sungai Petani.
Dirasmikan pada 13 Februari 1959 oleh Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Sultan Badlishah yang menjadi Sultan Kedah ketika itu dalam satu istiadat penuh bersejarah dengan kehadiran Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Istiadat itu disempurnakan usai tiga tahun kerja-kerja pembinaan masjid berkenaan siap dengan kos lebih AS$59,000.
Namun lebih menarik pencerita sejarah Masjid Al-A’la, Zakaria Abdul Manaf, 82, mengungkapkan, di tapak masjid yang sama, terlebih dahulu lahir Masjid Kampung Benua yang dibina tidak lama selepas pembinaan Terusan Wan Mat Saman.
“Masjid Kampung Benua ini dibina di atas tanah wakaf penduduk kampung tersebut yang bernama Man Hassan dari Binjal, Jitra, Kubang Pasu, Kedah yang juga berasal dari Thailand.
“Kemudian baru dipindahkan ke tapak baharu sekarang dan dimasyhurkan oleh Sultan Kedah sebagai Masjid Al A’ala,” ceritanya ketika ditemui di masjid tersebut baru-baru ini.
Mengimbas semula sejarah masjid itu seperti diceritakan oleh datuknya, nama Kampung Benua itu sendiri diambil daripada panggilan Benua Siam ketika itu oleh peneroka kawasan tersebut yang kebanyakannya berasal dari Thailand.
“Banyak penduduk di sini adalah daripada keturunan Siam termasuk penduduk dari Kampung Binjal yang turut datang meneroka tanah di sini. Dahulu kawasan ini adalah paya sahaja sebelum dibina penempatan,” cerita generasi ketiga Kampung Benua itu.
Bercerita tentang ciri-ciri seni bina masjid berkenaan, kata bekas Timbalan Pengerusi masjid itu, ia kental dengan ciri-ciri seni bina dari Acheh kerana diinspirasikan daripada Masjid Negeri, Masjid Zahir.
“Jawatankuasa 10 masjid berkenaan ketika itu merantau dari satu masjid ke masjid lain untuk mencari idea bagi pembinaannya namun keindahan Masjid Zahir menjadi inspirasi utama,” katanya.
Masjid tersebut juga dianggap masjid kesayangan Almarhum Tunku Abdul Rahman ketika menjadi Ahli Parlimen Kuala Kedah.
“Almarhum lebih suka menunaikan solat berjemaah di masjid ini berbanding masjid lain,” ceritanya.
Setakat ini, masjid berkenaan sudah mempunyai enam imam yang mengetuai jawatankuasa masjid tersebut sejak pembinaannya, sementara beberapa siri pengubahsuaian dilakukan sepanjang tempoh tersebut sehingga ke hari ini bagi mengekalkan struktur pembinaannya.
Menurut bekas setiausaha masjid itu, Omar Abdullah, 82, kubah utama masjid berkenaan juga yang uzur atas faktor usia dan cuaca pernah ditukar sebanyak dua kali.
“Selain itu, masjid ini juga pernah dua kali bertukar cat iaitu daripada warna asal putih kepada biru dan kemudian kuning. Usaha mengubahsuai masjid ini adalah dengan kos ditanggung oleh dermawan dan anak kariah.
“Kami semua hanya ingin melihat masjid ini terus kukuh kerana nilai sejarahnya kepada penduduk di Kampung Benua ini,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Setiausaha Masjid Al A’la, Mohd Zaki Shuib, 63, masjid berkenaan kini mempunyai sehingga 1,000 anak kariah dan pelbagai aktiviti dilakukan untuk mengimarahkan masjid itu di Kampung Benua.
“Masjid ini ada keunikan sendiri dan kami ahli jawatankuasa masjid berusaha mengimarahkannya dengan pelbagai aktiviti termasuk ceramah bulanan, kursus haji, bantuan asnaf dan kuliah agama setiap minggu,” katanya.










