“Kepalsuan musuh utama sebuah keaslian. Walaupun kualiti yang asli tidak dapat ditandingi oleh produk tiruan, kepandaian si keji mempromosikan yang palsu boleh menutup kebenaran yang asli.”
Pernah seorang isteri yang cemburu merencana kepalsuan untuk menyakitkan hati madunya: Fatimah binti Asma’ menceritakan pernah seorang wanita bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, Aku punyai madu. Adakah berdosa kalau aku mendakwa mendapat sesuatu dari suamiku sedangkan aku sebenarnya
tak dapat apa-apa (kerana mahu menimbulkan kemarahan madunya)? Baginda bersabda: Orang yang kenyang (mendapat manafaat atau faedah) dengan sesuatu yang tidak diberikan padanya, sebenarnya (sangat hina)
seperti orang yang memakai dua pakaian palsu (dusta). (Sahih al-Bukhari, 4818 dan Sahih Muslim, 3972).
Hadis ini melarang kegiatan menipu, memalsu, menciplak dan meniru yang asli sehingga menimbulkan keresahan atau kesusahan kepada yang lain.
Cetak rompak dan kepalsuan adalah musuh ketamadunan dan ilmu pengetahuan. Ia turut berlaku pada agama.
PEMALSUAN AGAMA
Pemalsuan agama sudah lama berlaku dalam sejarah manusia.
Ia dipelopori sesetengah ilmuwan ahli kitab (al-Baqarah 2:79). Mereka mengambil kesempatan dengan kedudukan mereka sebagai ilmuwan dan menunggang kejahilan para pengikut.
Sebelum memeluk Islam, sahabat nabi bernama Salman al-Farisi r.a menganut agama Nasrani.
Beliau pernah berkhidmat kepada seorang ilmuwan Nasrani yang jahat mengumpul kekayaan hasil jualan agama.
Setelah ilmuwan Nasrani itu meninggal dunia, pekungnya didedahkan Salman.
Kesannya, mayat ilmuwan Nasrani itu disalib serta direjam batu oleh para penganut Nasrani yang marah
(Musnad Ahmad, 23737).
Umat Islam juga tidak terkecuali dari bencana kepalsuan agama. Semenjak zaman nabi, Islam turut diancam para nabi palsu seperti Musaylamah alKazzab dan Aswad al-Ansi.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, mereka diperangi habis-habisan oleh Sayyidina Abu Bakar r.a. Sikap keji nabi palsu dan balasan mereka disebut Allah bermaksud: Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allh atau orang yang berkata:
“Telah diberi wahyu kepadaku”, padahal tidak diberikan sesuatu wahyu pun kepadanya; dan orang yang berkata: “Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang yang zalim itu dalam penderitaan ketika hendak putus nyawa, sedang malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat keteranganNya (al-An’am 6:93).
Pemalsuan zaman ini semakin rencam dan rancak. Paling popular ia dikosmetik dengan bawaan watak orang alim, orang soleh, insan berketurunan nabi dan sebagainya.
Terbaharu, umat Islam Malaysia dikejutkan pendedahan pihak polis dengan kegiatan seorang lelaki asing yang mendakwa dirinya keturunan ke 38 Rasulullah.
TIGA CIRI
Benar, sebagai Muslim, kita wajib cintai Rasulullah SAW dan keturunan Baginda (al-Ahzab 33:33 dan al-Syura 42:23). Pun begitu, ada ‘tiga sudut’ yang perlu dilihat dalam citra cinta kepada keturunan Rasulullah agar cinta tidak menjadi taksub buta yang sia-sia:
1) Kita perlu memastikan keaslian keturunan si pendakwa. Berdusta dalam dakwaan keturunan diancam keras oleh nabi SAW bermaksud: Sesiapa yang mendakwa diri bernasab kepada sesiapa yang sebenarnya bukan ayahnya sedangkan dia tahu kedustaan itu, maka syurga haram untuk dia diami.(Sahih al-Bukhari, 6766). Jika berdusta tentang keturunan biasa sudah berat dosanya, apatah lagi berdusta atas keturunan nabi SAW.
2) Jika benar si fulan itu dari nasab keturunan Rasulullah SAW, ia bukan tiket terbuka untuk memuja
tanpa sebab. Ingat, darah keturunan adalah takdir Allah kepada manusia. Oleh itu, Allah sebagai Tuhan Yang Maha Adil memberi piawaian penilaian yang sangat adil dan boleh dicapai sesiapa sahaja, iaitu sifat takwa (al-Mu’minun 23:101 dan al-Hujurat 49:13).
Dalam khutbah terakhir Rasulullah SAW, Baginda menegaskan kewajipan merebut ‘piala takwa’ tanpa mengira keturunan: Wahai sekelian manusia, ketahuilah bahawa Tuhanmu satu, bapa kamu (Adam) juga satu. Tiada kelebihan bagi orang Arab berbanding orang bukan arab, tidak juga bagi orang bukan Arab terhadap orang Arab. Tiada juga kelebihan bagi orang berkulit merah berbanding si kulit hitam, tidak juga bagi
si kulit hitam berbanding si kuit merah melainkan dengan (kualiti) Takwa (Musnad Ahmad, 23489).
Jika sifat takwa tidak dimiliki ahli keturunan Baginda, maka tiada jaminan tiket syurga untuk mereka.
Sabda Baginda SAW: Mafhum umum darinya: Wahai orang Quraisy, Belalah diri kamu sendiri (dengan mentaati Allah agar selamat dari azab kerana sesungguhnya) aku tidak dapat membantumu sedikit pun (dari azab Allah). Wahai Bani Abdul Manaf, Wahai ‘Abbas bin ‘Abdul Muttalib, Wahai Safiyyah ibu saudara kepada Rasulullah aku tidak dapat membantumu sedikit pun (daripada azab Allah)…Wahai Fatimah anak perempuan Muhammad mintalah apa sahaja yang kamu mahu dari hartaku kerana aku tidak dapat membantumu sedikit pun (dari azab Allah) (Sahih al-Bukhari, 2753).
Keturunan semata tidak mampu menjadi kenderaan ke syurga.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:Sesiapa yang amalannya lambat (kurang), maka keturunannya tidak akan
mempercepatkan harapannya (atau langkahnya ke syurga)(Sahih Muslim, 2699).
3) Perjuangan utama Rasulullah SAW dan keturunannya bukanlah gelaran sayyid, habib atau mawla semata, sebaliknya dengan akhlak, ilmu pengetahuan dan sifat takwa. Jiwa saya tersentak ketika membaca hadis ini:Abdullah bin ‘Umar berkata, kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW lalu baginda bercerita tentang fitnah (musibah akhir zaman). Banyak sekali baginda menyebut tentangnya sehingga baginda menyebut tentang fitnah (musibah) yang akan berlaku secara berterusan. Seorang sahabat bertanya apakah fitnah (musibah) itu. Baginda menjawab: Ia adalah pelarian (manusia saling menjauhi antara satu sama lain kerana permusuhan) dan peperangan. Kemudian selepas itu akan datang pula fitnah (musibah) kegembiraan (berikutan kesenangan yang berpanjangan) yang diasapi (dinyalakan) di bawah tapak kakiku ini oleh lelaki dari keluargaku (keturunanku).
Dia menyangka dia berasal sebahagian dari keturunanku sedangkan (perbuatan serta tingkah lakunya) bukan dari keturunanku (kerana tidak mengamalkan ajaranku), kerana sesungguhnya pengikutku adalah orang yang bertakwa… (Sunan Abu Dawud, 4242).
Oleh itu, jika bertemu sesiapa sahaja yang mendakwa dirinya keturunan nabi, pastikan keaslian dakwaannya dengan melihat piawaian akhlak, ilmu dan takwanya.
Jika ketiga elemen itu terserlah tinggi maka itu tanda keasliannya. Bahkan sesiapa sahaja yang menepati tiga elemen tersebut wajib kita ikuti walaupun dia bukan dari keturunan nabi SAW.
Hidup beragama perlu jelas, pastikan ‘ori’ baru ikut. Itulah pintu sebenar kepada citra cinta Rasulullah SAW.










