PETALING JAYA: Penyanyi, Hazama, menyesal kerana tidak mempelajari al-Quran dengan bersungguh-sungguh ketika masih di bangku sekolah.
Menurut Hazama atau Hazama bin Ahmad Azmi, 39, al-Quran mempunyai jawapan dan penyelesaian kepada persoalannya dalam kehidupan.
“Kepada adik-adik yang bersekolah, jangan main-main, rugi. Nanti bila umur 40 tahun akan pandang balik, rasa menyesal.
“Kalaulah dari kecil dulu saya betul-betul belajar al-Quran, semua jawapan dan solusi ada dalam naskhah itu,” katanya menerusi satu video yang tular di TikTok.
Menurut penyanyi Sampai Mati itu, sekiranya dia mendalami al-Quran lebih awal, sudah pasti ilmunya lebih berkembang hari ini.
“Kalau latih diri dari dulu, mungkin saya akan lebih ‘solid’ (berilmu). Ini umur 30 lebih baru nak mulakan, bila akan solid.
“Satu lagi, kadang-kadang terfikir zaman sekolah kita bukan bodoh cuma tidak fokus. Pentingkan perkara lain dan suka bermain-main.
“Sekarang, bila kita belajar akan tahu dan boleh sahaja faham semua. Kenapalah kepala sekarang tidak sama macam zaman sekolah,” katanya.
Di akhir video, Hazama sekali lagi mengingatkan anak muda untuk fokus mencari ilmu di sekolah.
“Adik-adik, tolong jangan sia-siakan zaman sekolah. Perkara ini berlaku sekali sahaja. Kalau terlepas memang tidak boleh patah balik,” katanya.










