Gunting rambut percuma jadi tarikan MAHA Buffet 2024

Gunting rambut percuma jadi tarikan MAHA Buffet 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Orang ramai berpeluang merasai pengalaman potong rambut secara percuma semasa MAHA Buffet yang bakal berlangsung dari 14 Mac hingga 8 April depan di Maeps, Serdang. 

Itu antara tarikan yang dijanjikan oleh pemilik dua restoran popular, Muhammad Hazim Yahaya, Experiment Kitchen dan Khairul Amilin Abdul Rahman, Restoran Mak Kimbong. 

Muhammad Hazim berkata, pesta makanan terbesar akan diadakan dengan skala lebih mega berbanding  tahun lalu, apabila pihaknya mengambil keputusan untuk memilih Dewan A di Maeps. 

 

Pemilihan itu, katanya, boleh menampung sehingga 2,500 pengunjung pada satu-satu masa. 

“Ruang dewan yang cukup besar akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain seperti ruang permainan gergasi untuk kanak-kanak, ruang solat jemaah yang luas dan stesen permainan untuk remaja. 

“Selain itu, terdapat gerai beli-belah kelengkapan raya di Bazar Gadis serta Kios Foto dengan kamera 360 yang boleh merakam momen terindah.

“Potong rambut percuma pula akan diselang-selikan dengan henna (pakai inai),” katanya semasa sidang akhbar di Restoran Mak Kimbong di sini, baru-baru ini. 

Berdasarkan rekod kehadiran pengunjung seramai 27,000 orang tahun lalu, Muhammad Hazim berkata, pihaknya optimis menyasarkan kehadiran 54,000 orang buat penganjuran kali ini. 

“Tahun lepas merupakan percubaan kita buat kali pertama bergabung dengan Restoran Mak Kimbong di Maeps. 

“Alhamdulillah, kita berjaya mengharungi rintangan dan cabaran mengendalikan konsep buffet seperti ini. Dengan kekuatan 100 staf termasuk pekerja separuh masa, kita berharap ia akan lebih berjaya dan bertambah meriah,” katanya.    

Cef selebriti, Karl Shafek turut dilantik sebagai duta MAHA Buffet 2024.

Lebih istimewa, pelanggan boleh merasa air tangannya kerana terdapat 10 menu yang menjadi tanda dagang beliau akan dihidangkan sepanjang acara berkenaan. 

Dengan lebih 200 menu masakan Melayu dan barat gabungan dua restoran itu, ia berkonsepkan street food di bawah satu bumbung bermula dari pukul 6.30 petang hingga 9.30 malam. 

Menariknya, lebih 20 gerai masakan secara live cooking juga disediakan untuk terus dinikmati pelanggan. 

Acara turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang diadakan setiap minggu dan pengunjung berpeluang memenangi pakej umrah, kereta serta barangan elektrik.   

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN