PETALING JAYA: Mengakui pernah menerima beberapa tawaran berlakon sejak kali terakhir muncul menerusi filem Bintang Hati, pada 2004, penyanyi, Anuar Zain bagaimanapun tidak berhasrat untuk kembali ke layar perak.
Ujarnya, dia tidak pernah merindukan dunia lakonan biarpun beberapa peminat pernah meluahkan hasrat melihatnya kembali berlakon sementelah dia juga tidka yakin dengan kebolehan lakonannya.
“Kalau tanya rindu atau tidak, memang tiada langsung. Saya tidak pandai berlakon pun. Bila pengarah sebut ‘action’, saya akan automatik jadi kaku. Skrip dah hafal tetapi tiba-tiba kaku begitu.
“Tak perlulah saya kembali ke dunia lakonan. Hidup ini sudah cukup sandiwara,” kongsi penyanyi bersuara emas ini ketika konsert AZ40 Up Close & Personal baru-baru ini.
Kongsi Anuar lagi, dia tidak dilahirkan sebagai seorang pelakon dan hanya mahu memfokuskan kerjaya utamanya sebagai penyanyi.
“Jujur ya, saya malu sebab pernah orang gelakkan saya kerana lakonan. Jadi lebih baik saya tidak berlakon. Saya dilahirkan sebagai penyanyi.
“Tawaran itu ada, tetapi saya tolak sahaja. Saya sedar diri ini tidak berbakat dalam bidang lakonan,” katanya.-UTUSAN











