Penyakit tertentu jadikan manusia mudah naik angin? - Utusan Malaysia

Penyakit tertentu jadikan manusia mudah naik angin?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perasaan marah itu normal tetapi marah yang melampau sehingga meninggalkan kesan buruk bukanlah sesuatu yang normal.

Mudah marah walaupun hanya kerana perkara kecil dan seringkali sukar untuk meredakan kemarahan adalah panas baran.

Individu panas baran cenderung berkelakuan kasar dan mendatangkan masalah kepada diri sendiri dan hubungan dengan orang sekeliling. Lebih malang apabila terjebak dengan jenayah sehingga membunuh!

Pakar psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu Dr. Izyan Shazwani Khairuddin berkata, faktor genetik dan penyakit dikenalpasti punca seseorang boleh menjadi panas baran.

“Ada mengaitkan panas baran dengan penyakit mental. Bagaimanapun sikap itu tidak semestinya menandakan seseorang mempunyai penyakit mental.

“Sesetengah individu dilahirkan dengan sifat dalam diri atau ciri-ciri personaliti yang lebih mudah untuk marah berbanding orang lain.

Ciri-ciri ini boleh dilihat sejak anak itu kecil lagi secara semulajadi akibat faktor genetik ,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Izyan Shazwani yang juga Ahli I-Medik Kelantan, berkata, personaliti seorang kanak-kanak sudah semestinya dipengaruhi oleh orang dewasa disekelilingnya terutama ibubapanya sendiri, termasuklah cara mereka menguruskan emosi ketika sedang marah.

Maka faktor-faktor seperti hubungan emosi yang baik dengan ibu bapa, wujudnya interaksi sosial yang baik dengan keluarga dan rakan sebaya dan persekitaran hidup yang sihat akan membantu ke arah pembentukan pengurusan emosi yang lebih baik.

Baran akibat trauma

Selain daripada faktor genetik faktor psikologi seperti trauma zaman kanak-kanak juga boleh menyumbang kepada lahirnya sifat mudah marah dalam diri seseorang.

Ini termasuklah anak-anak yang mengalami penderaan samada penderaan secara emosi, fizikal mahupun seksual.

“Anak-anak boleh menjadi baran sekiranya dibesarkan dengan cara didikan yang keras, kasar dan sering dimarahi oleh ibu bapa. Sikap mudah marah juga boleh tertanam dalam diri anak yang dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai banyak konflik dan pergaduhan.

“Anak-anak yang membesar dalam suasana seperti ini boleh mengalami tekanan emosi. Mereka tidak mampu mengurus emosi sendiri sehingga menyebabkan terbitnya bukan hanya marah yang sukar dikawal tetapi masalah emosi dan tingkahlaku yang lain,” katanya.

Tambah beliau lagi, baran juga boleh berpunca daripada tekanan hidup yang lain seperti konflik keluarga atau berlaku kekasaran dalam rumahtangga dan kesempitan kewangan.

Ia boleh menyebabkan seseorang menjadi semakin sukar untuk mengurus kemarahan akibat terlalu banyak kekecewaan dan kesusahan dilalui.

Baran gejala penyakit mental

Sifat mudah marah juga boleh menjadi tanda bahawa seseorang yang baran itu menghadapi masalah kesihatan mental.

Dr. Izyan Syazwani berkata, baran disebabkan penyakit mental boleh dikenalpasti, lebih-lebih lagi sekiranya seseorang itu, sebelum ini bukanlah seorang yang panas baran.

“Perubahan ketara emosi seseorang, mungkin mempunyai penyakit mental yang tidak didiagnos atau tidak dirawat pada waktu itu.

“Ini termasuklah gangguan emosi seperti penyakit kemurungan, bipolar, anxiety atau keresahan mungkin juga disebabkan gangguan psikosis. 

“Penyakit perkembangan neuro seperti ADHD dan beberapa penyakit emosi, tingkahlaku dan personaliti yang memerlukan penilaian dilakukan oleh doktor untuk merawat panas baran juga boleh dikaitkan sebagai punca,” katanya.

Cenderung naik angin dan bersikap panas baran juga sebenarnya gejala atau petanda seseorang itu juga berkemungkinan mengalami penyakit fizikal lain, antaranya penyakit kelenjar tiroid.

“Kecederaan dan ketumbuhan pada struktur otak juga boleh menyebabkan seseorang berubah menjadi panas baran, berbeza daripada sifat asalnya.

“Terlibat dengan pengambilan dadah juga boleh menjadi panas baran. Oleh itu, sangat penting untuk menjalani pemeriksaan secara menyeluruh sekiranya seseorang itu mengalami perubahan emosi atau tingkahlaku,” katanya.

‘STOP’ cegah baran

Seseorang mengalami masalah kesukaran mengawal emosi marah ini perlu dipastikan puncanya terlebih dahulu sebelum sikap buruk itu dirawat.

Ini berikutan ada punca panas baran yang boleh dirawat, seperti masalah tiroid atau penyakit mental yang lain seperti kemurungan, bipolar dan sebagainya. Maka rawatan yang sesuai akan diberikan termasuklah rawatan ubat-ubatan.

“Selepas mengenalpasti punca baran, bantuan secara psikologi iaitu mempelajari teknik pengurusan emosi adalah sangat penting. Ada pelbagai teknik mengurus emosi dan teknik relaksasi boleh dipelajari untuk membantu diri bertenang dan dapat mengurus emosi sebaiknya.

“Antara kaedah cegah baran adalah menggunakan teknik STOP (S: ‘stop’ iaitu berhenti; T: ‘think’ iaitu ambil masa berfikir, O: ‘organise’ iaitu kenalpasti langkah yang perlu diambil, P: ‘proceed’ iaitu mengambil tindakan dengan lebih tenang dan rasional).

Bila sedang marah, penting untuk melatih diri berhenti sejenak ‘stop’ kerana dalam keadaan yang marah otak kita tidak dapat berfikir dengan rasional,” katanya.

Ujarnya, amalkan cara bertenang dengan menarik nafas atau dikenali sebagai teknik pernafasan dalam kerana ia membantu untuk bertenang dan memberi masa kepada otak untuk kembali berfikir rasional.

“Bila dalam keadaaan lebih tenang, cuba kenalpasti apa dan mengapa marah. Jika punca yang dikenalpasti boleh diselesaikan, contohnya kita dalam keadaan lapar atau mungkin penat, segeralah selesaikan puncanya,” katanya.

Namun ujarnya, dalam banyak perkara mungkin punca kemarahan kita adalah perkara yang di luar kawalan kita. 

Justeru, pada waktu itu lebih baik untuk individu mengurus emosi dan fikiran sendiri untuk lebih tenang dan rasional.

Urus emosi

Cara-cara mengurus emosi kemarahan boleh dipelajari dan diamalkan setiap orang.

Dr. Izyan Syazwani mengakui proses belajar mengurus emosi ini bukanlah sesuatu yang mudah, sebaliknya memakan masa, lebih-lebih lagi untuk individu yang dilahirkan dengan ciri-ciri personaliti mudah marah atau mungkin untuk individu yang mempunyai sejarah trauma yang menyebabkan emosi menjadi sukar dikawal.

“Begitupun, proses meredakan dan mengurus emosi ini, perlu kita mulakan supaya kesihatan mental kita dan orang sekeliling lebih terpelihara. Lama-kelamaan apabila dipraktikkan pengurusan emosi yang baik, ia akan mampu memberi perubahan pada diri,” katanya.

Pemulihan di penjara?

Adalah amat malang apabila kelakuan agresif akibat baran menyebabkan berlakunya kes jenayah dan pelaku dijatuhi hukuman penjara.

Hukuman yang dijatuhkan itu mungkin boleh memberi pengajaran kepada individu terbabit dan pastinya memberi keadilan kepada keluarga mangsa.

“Proses rehabilitasi dan sokongan emosi serta rohani yang berlaku semasa proses hukuman itu juga sama pentingnya.

“Apa yang lebih penting adalah kita mahu mengelak nasi menjadi bubur seperti inilah, maka mengurus emosi ini perlu dititik beratkan,” katanya.

Tegas Dr. Izyan Syazwani, amnya ada pelbagai cara boleh diamalkan untuk mengurus kemarahan dan stres.

Antaranya adalah amalan menarik nafas dalam-dalam, melakukan pergerakan fizikal seperti menggenggam bola stres, regangan otot dan bersukan, mendengar bunyian yang menenangkan termasuklah alunan zikir dan membaca al-Quran.

“Menulis atau mungkin meluahkan kepada orang yang dipercayai juga membantu melegakan emosi. Berdasarkan ajaran Islam, teknik seperti berhenti dan mengambil wuduk juga boleh membantu.

“Setiap orang akan mampu meredakan kemarahan dan menenangkan diri dengan cara berbeza. Dalam kebanyakan perkara, kita hanya boleh mengawal apa yang di dalam kawalan kita, contohnya kita boleh kawal emosi sendiri dan juga perspektif fikiran kita terhadap apa yang berlaku,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN