Asal demam saja, terus buat ujian pengesanan Covid-19. Amalan ini sebenarnya tidak relevan buat masa ini kerana gejala akibat jangkitan virus kini tidak sebahaya ketika era pandemik dulu.
Sebaliknya, Pakar Pediatrik, Hospital Mawar, Dr. Mohd. Zaqrul Razmal Mohd. Podzi berkata, ujian swab hidung yang dilakukan, pasti menemui pelbagai jenis virus terdapat dalam rongga itu.
“Sebenarnya tidak perlu mencari-cari Covid-19 ini. Kalau kita lakukan ujian hidung, macam-macam virus boleh didapati. Jangan salahkan Covid untuk semua perkara bila jatuh sakit.
“Kalau demam, makan ubat demam, kalau sakit badan, makan ubat tahan sakit, kalau batuk, makan ubat batuk. Berehat saja di rumah dan pakai topeng muka. Tidak perlu kuarantin lagi seperti era pandemik dulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kemasukan pesakit ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) meningkat 1.4 peratus bagi setiap 100,000 penduduk berbanding minggu sebelumnya (26 November 2023 hingga 2 Disember 2023).
Kadar kematian akibat jangkitan adalah sebanyak 0.72 peratus bermula pada 25 Januari 2020 hingga 9 Disember 2023.
VIRUS BERUBAH?
Pelbagai persoalan timbul dalam kalangan orang ramai, adakah virus coronavirus kembali mengganas seperti sebelum ini dan adakah vaksin diambil sudah tidak berkesan dalam melindungi individu daripada jangkitan?
Dr. Mohd. Zaqrul berkata, virus korona tidak pernah hilang, sebaliknya sentiasa ada di sekeliling kita.
Cuma bezanya virus ini berubah mengikut perubahan musim dan masa.
“Jangkitan yang berulang-ulang ke atas seseorang juga akan menyebabkan gejala dialami berubah-ubah.
“Selagi adanya manusia, virus ini akan sentiasa wujud dalam masyarakat. Kita sudah mengisytiharkannya sebagai endemik. Maknanya ia sudah menjadi seperti penyakit jangkitan lain. Sebagai contoh, influenza dan tibi yang masih kekal di sekeliling kita sehingga ke hari ini,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan data, virus korona paling merbahaya adalah delta atau era sebelum program vaksinasi dijalankan di seluruh dunia.
Selepas vaksin, kebanyakan virus ini hanya menyebabkan selsema, demam biasa atau demam yang tiada gejala.
Ia kembali sebagai penyakit asas korona virus yang dulu tetapi tidak sebahaya seperti sebelum ini.
Justeru katanya, orang ramai tidak perlu panik apabila ada antara ahli keluarga atau rakan positif Covid-19.
“Perkara itu tidak perlu digembar-gemburkan seperti era pandemik dulu di mana ia boleh mengancam nyawa.
“Bagaimanapun, orang ramai masih digalakkan menjaga jarak sosial, kerap membasuh tangan dan memakai topeng terutama apabila berada di kawasan yang sesak dengan orang ramai,” tegasnya.
Dalam pada itu, asas kebersihan seperti mencuci tangan perlu terus diamalkan bagi mengelakkan semua jenis jangkitan, bukannya semata-mata Covid-19 saja.
Malah norma baharu adalah pendekatan perlu diamalkan setiap orang, khususnya bila berhadapan dengan orang yang tidak sihat dan berjangkit diakibatkan penyakit berjangkit respiratori atau pernafasan seperti tibi dan influenza.
Bertenang dijangkiti
Dr. Mohd. Zaqrul berkata, sekiranya seseorang dijangkiti Covid-19, bertenang dan tidak perlu terlalu risau.
Ujarnya, ada pesakit akan mengalami gejala dan ada yang tiada gejala berikutan tanda atau gejala jangkitan Covid-19, masih sama tetapi mungkin ada perubahan berbanding virus ketika pandemik.
“Gejala Covid-19 pada masa kini mungkin lebih ‘lunak’ dan jinak tetapi ada masa, ia boleh menjadi lebih garang.Mereka dijangkiti, tidak semestinya mengalami demam saja. Pesakit mungkin hanya mengalami selsema, batuk dan sakit kepala,” katanya.
Bagaimanapun bagi orang tua, mereka mungkin mengalami lebih daripada satu gejala atau semua gejala pada satu masa.
Namun gejala yang dialami mungkin boleh menjadi lebih serius seperti tidak boleh menelan makanan atau minuman, tidak boleh bangun atau berdiri, kekurangan air dan mengalami batuk yang teruk sehingga sesak nafas atau sakit dada.
“Warga emas mungkin boleh mengalami serangan jantung dan kompilkasi seperti sawan.
“Bagaimanapun, anda perlu peka dan memastikan gejala yang dialami reda serta tidak berlarutan,” katanya.
Peka pada tanda demam
Komplikasi Covid-19 lebih serius ke atas kanak-kanak kerana kesukaran ibu bapa untuk mengesan sama ada anak mengalami komplikasi lebih teruk melainkan jika di bawa ke doktor.
Dr. Mohd. Zaqrul berkata, petanda komplikasi lebih teruk berlaku yang ibu bapa perlu peka adalah apabila anak mengalami demam berpanjangan selepas demam yang pertama.
“Contohnya, demam pada satu hari bulan dan dua haribulan, kemudian demam itu menghilang atau reda. Bagaimanapun, jika demam kembali, ia petanda yang perlu diperhatikan.
“Sekiranya anak mengalami demam semula pada hari ke 14 dan demam terus berpanjangan sehingga 21 haribulan, ini adalah petanda komplikasi yang lebih teruk. Mereka akan mengalami sakit badan dan sakit dada yang kuat. Peka dengan tanda-tanda ini dengan segera buat ujian Covid-19 atau bawa ke hospital,” katanya.
Sesi persekolah kembali dibuka selepas musim cuti dan perayaan hujung tahun, orang ramai, khususnya kanak-kanak digalakkan berhati-hati apabila berada di khalayak ramai dengan memakai topeng muka dan menjaga kebersihan seperti mencuci tangan.










