Terdengar ‘jeritan’ sampai sakit kepala ketika memeriksa tulang mayat antara pengalaman seram dilalui Pakar Perunding Forensik Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM/HUKM), Prof. Dr. Faridah Mohd. Noor.
Kejadian itu berlaku ketika beliau yang bekerja di United Kingdom (UK) sedang menjalankan bedah siasat tulang yang dipos dari Malaysia.
Dalam kejadian lain, alat pemotong tulang yang sedang dipegangnya, tiba-tiba ‘terbang’ sebaik sahaja beliau memulakan bedah siasat ke atas mayat warga Indonesia.
“Masa itu memang terkejut tapi kena tenangkan diri. Saya cakap pada mayat, “Janganlah, saya nak tolong saja”. Bila keadaan kembali tenang, barulah saya buat kerja semula.
“Mengikut pengalaman saya, membedah siasat tulang manusia ini, lebih banyak masalah berbanding membedah siasat tulang haiwan. Saya pernah bedah siasat tulang singa, harimau tapi tiada masalah begini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Kenali Dunia Forensik sempena sambutan Hari Bersama Media HCTM/HUKM, baru-baru ini. Hadir sama, Pengarah HCTM, Prof. Datuk Dr. Razman Jarmin.
Lebih 20 wakil media diberi peluang menjadi ‘Pakar Forensik’ dengan memakai baju scrub.
Mereka didedahkan dengan tugasan seperti menyusun tulang mayat, menjahit kulit, membelah ‘tumor’ dan mengendalikan simulasi pembedahan laparoskopik.
DIEKORI ENTITI
Pengalaman mistik lain dilalui Dr. Faridah adalah bila diekori ‘entiti’ sehingga pulang ke rumah.
“Selesai tugas membedah siasat, saya pulang ke rumah. Lepas mandi dan hendak melelapkan mata, saya seakan ternampak ‘bayang-bayang’ lalu di depan saya.
“Hati mula rasa tidak sedap. Saya baca ayat-ayat suci, lama-lama hilang. Masa itu kalau tidak salah, saya sedang mengandung anak ke empat. Biasanya kalau saya mengandung memang kerap kena gangguan seperti ini. Mungkin sebab badan lemah masa itu,” katanya.
Bergelar pakar forensik sejak lebih dua dekad, Dr. Faridah terbabit dalam beberapa kes pembunuhan berprofil tinggi.
Antaranya kes pembunuhan usahawan kosmetik terkemuka, Datuk Sosilawati Lawiya, model Mongolia, Altantuya Shaaribu dan kes wanita Malaysia, A Fairos Ahmad Sulaiman yang dipercayai dibunuh suaminya yang juga warga Belanda di Thailand.
Mayat A Fairos ditemui dalam tangki najis sebuah rumah sewa di Ranong, Thailand pada 2008.
Tulangnya juga masih utuh ketika ditemui tetapi kesnya tergendala selama tujuh tahun atas sebab tertentu.
Justeru, kerajaan Belanda memberikan kepercayaan kepada Dr. Faridah membuat bedah siasat ke atas tulang berkenaan.
“Siasatan menjadi cukup mencabar sekiranya tulang yang ditemui hancur. Sebagai contoh, dalam kes Sosilawati, kita temui sisa tulang dalam sungai tetapi tulangnya dibakar menjadi keras seperti batu. Kita tak dapat buat pemeriksaan.
“Dalam kes tulang Altantuya yang di temui di Shah Alam, masih ada serpihan tulang manakala tengkoraknya masih utuh,” katanya.
BAU MAYAT ITU PETUNJUK
Ada tiga fasa dalam forensik iaitu siasatan di tempat kejadian bagi mencari bukti seperti jejak tapak kasut dan serpihan kaca.
Gambar-gambar bahan bukti juga akan diambil dan rajah kasar akan dibuat bagi menunjukkan kedudukan mayat dan bahan bukti lain.
Pasukan forensik akan menemuramah orang di sekeliling bagi mendapatkan maklumat termasuk sejarah kesihatan mangsa.
“Selepas itu, barulah akan beralih ke bedah siasat untuk tahu sebab kematian termasuk membedah siasat organ dalaman.
“Antropolgi forensik membolehkan kita tahu ketinggian, jantina dan umur si mati.
“Mayat yang berkeadaan tidak sempurna seperti mangsa kapal terbang terhempas boleh dikenalpasti melalui cap jari sekiranya ada. Justeru, sebaiknya jangan tukar tempat duduk dalam kapalterbang bagi memudahkan proses pengecaman sekiranya berlaku kemalangan,” kata Dr. Faridah.
Bau mayat yang keluar akibat proses pereputan mayat juga boleh menjadi petunjuk berapa lama tempoh kematian mangsa atau si mati.
Selain menjalankan kerja-kerja bedah siasat, pakar forensik turut perlu membentangkan hasil siasatan di mahkamah.
“Pembentangan di mahkamah memerlukan kemahiran menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh peguam dengan tepat dan jelas,” katanya.
Tidak semua mayat perlu dibedah siasat
Sebenarnya tidak semua mayat perlu menjalani bedah siasat kecuali bagi kes kematian mengejut, mencurigakan, kemalangan atau bunuh diri.
Dr. Faridah berkata, jenazah mereka yang sudah dijangka akan meninggal dunia biasanya tidak perlu menjalani bedah siasat.
Contohnya, dua minggu sakit dan dijangka meninggal tidak perlu buat atau usia si mati yang sudah lanjut.
“Bagaimanapun, ada keluarga nak buat bedah siasat sebab hendak menuntut pampasan insuran. Bedah siasat klinikal dibuat untuk tahu tahap penyakit,” katanya.
Proses bedah siasat biasanya membabitkan pemeriksaan luar sekiranya terdapat sebarang kecederaan.
Selain itu, pemeriksaan dalam organ akan dibuat satu persatu bagi mengesan sebarang penyakit atau ketumbuhan yang menjadi punca kematian.
Ujian CT skan pula akan dibuat bagi menentukan arah tembakan lokasi peluru.
“Ada juga keluarga meminta kubur si mati digali semula kerana curiga dan tidak berpuashati dengan punca kematian. Lepas gali, biasanya sukar nak jumpa sebarang bukti kerana keadaan mayat yang hancur.
“Dalam kes seperti ini, kita cuba terangkan kepada keluarga mengenai kemungkinan tidak menemui apa yang dicari dan tidak perlu digali.
“Sekiranya mereka masih tidak berpuashati, boleh buat permohonan kepada pihak polis dan pihak berkuasa tempatan untuk mengali kubur dan kawasan kubur akan dikepung,” katanya.
BANK DNA
Tegas Dr. Faridah, penambahbaikan forensik jenayah penting bagi mengesan DNA mangsa dan suspek terutama bagi kes membabitkan warga asing.
“Negara kita, ramai pendatang asing yang tidak ada bank data biologi atau DNA. Ini menyebabkan pelaku jenayah gagal ditangkap. Pelaku akan hilang terus lepas buat jenayah.
“Sebaiknya hadkan kemasukan pendatang asing. Ada teknologi yang boleh dibawa ke Malaysia seperti digunakan di Amerika Syarikat dan UK. Nak masuk negara mereka bukan senang. Sekurang-kurangnya ada cap jari bagi mengesan mereka jika disyaki terbabit jenayah,” katanya.
LEBIH RAMAI PAKAR
Sehingga kini HCTM mempunyai tiga pakar forensik di Fakulti Perubatan UKM yang bekerja di HCTM.
Dr. Razman berkata, lebih ramai pakar forensik dalam sub kepakaran diperlukan seperti forensik ulat mayat yang berupaya menentukan tempoh kematian berdasarkan usia ulat.
“Buat masa ini kita terpaksa memanggil pakar dari luar. Sebelum ini kita ada pakar forensik unggul seperti Prof. Dr. Shahrom Abd Wahid tetapi ramai juga sudah pencen,” katanya.
HCTM katanya sering menjadi rujukan media dalam pelbagai isu kesihatan.
Penyebaran ilmu kesihatan penting supaya tiada isu berkaitan maklumat bercanggah.










