Al-Raudhah al-Sharifah ‘taman syurga’ alam nyata - Utusan Malaysia

Al-Raudhah al-Sharifah ‘taman syurga’ alam nyata

AL-RAUDHAH al-Syarifah dalam Masjid Nabawi antara lokasi sangat ingin dijejaki pencinta Rasulullah SAW yang berkunjung di kota Madinah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kota Suci Madinah adalah kota kedua daripada tiga kota suci bagi umat Islam. Saban waktu Madinah tidak akan sunyi daripada penziarah sebagaimana halnya dua kota suci yang berbaki iaitu kota suci Mekah dan kota suci al-Masjid al-Aqsa.

Menziarahi kota suci Madinah mempunyai aura yang tersendiri terutamanya sebagai pengubat kerinduan dan pengukuhan cinta kepada kekasih hati seluruh kaum muslimin, Nabi Muhammad SAW.

Al-Raudhah al-Syarifah (Taman Yang Mulia) yang berada di dalam Masjid Nabawi semestinya antara lokasi yang sangat ingin dijejaki seluruh pencinta Rasulullah SAW yang berkunjung di kota Madinah.

Apabila Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah tiba di perkampungan Banu Ghonm yang merupakan salah satu suku daripada suku-suku Banu al-Najjar, unta Baginda berhenti berjalan. Lalu unta tersebut duduk dan tidak lagi mahu berjalan.

Ini adalah isyarat bahawa Rasulullah SAW diminta oleh Allah untuk menetap di lokasi tersebut. Lalu Nabi SAW embeli tanah tersebut yang merupakan tempat jemuran kurma dengan harga 10 dinar.

Tanah tersebut dimiliki oleh dua orang anak yatim yang bernama Saidina Sahl bin ‘Amr al-Najjariyy dan Saidina Suhayl bin ‘Amr al-Najjariyy.

Setelah tanah tersebut diratakan, baginda dan para sahabat mula membina sebuah masjid yang akhirnya dikenali dengan nama Masjid Nabawi.

Tiang-tiang masjid ini pada asalnya adalah batang-batang kurma manakala dindingnya adalah batu-bata diperbuat daripada tanah tanpa dibakar.

Atapnya adalah pelepah kurma yang diletakkan pula di atasnya tikar yang ditutup dengan tanah.

Apabila kita membicarakan kelebihan mendirikan solat di dalam Masjid Nabawi umum mengetahui bahawa mendirikan satu solat di dalam ini adalah lebih berpahala daripada 1,000 solat di masjid-masjid selain Masjidilharam sebagaimana yang dinyatakan oleh hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad bin Muhammad bin Hanbal di dalam Musnad beliau melalui jalur sanad beliau yang bermaksud:

Daripada (Saidina) Abdulloh bin al-Zubayr, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Solat di dalam masjidku ini adalah lebih bagus daripada 1,000 solat di dalam apa sahaja (masjid) daripada masjid-masjid selain masjidku melainkan Masjidilharam. Solat di dalam Masjidilharam (pula) adalah lebih bagus daripada 100 solat di dalam (masjidku) ini.

PAHALA LEBIH

Walaupun hadis ini secara zahirnya menunjukkan solat di Masjidilharam lebih berpahala daripada Masjid Nabawi, menurut guru kami, Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy al-Husayniyy, mendirikan solat di Masjid Nabawi sebenarnya lebih berpahala daripada mendirikan solat dalam Masjidilharam.

Menurut beliau, pada awalnya pahala mendirikan satu solat dalam Masjidiljharam, melebihi 100 solat di Masjid Nabawi sebagaimana yang jelas tertera di dalam hadis di atas.

Namun Nabi SAW akhirnya berdoa kepada Allah agar menjadikan pahala di Madinah adalah menyamai dua kali ganda pahala di Mekah sebagaimana yang dinyatakan oleh hadis diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari melalui jalur sanad beliau bermaksud:

Daripada (Saidina) Anas daripada Nabi SAW, baginda bersabda: Ya Allah. Jadikanlah di Madinah dua kali ganda apa sahaja yang Dikau telah jadikan di Mekah daripada keberkatan.

Lalu menurut fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy al-Husayniyy; apabila doa Rasulullah SAW kebiasaannya akan dimakbulkan oleh Allah, maka ini bermakna satu solat di dalam Masjid-Nabawi selepas doa di atas dimakbulkan oleh Allah adalah menyamai 200,000 solat di Masjidilharam dan turut menyamai juga 200 juta solat yang dilakukan di masjid selain Masjidilharam.

Ini kerana 1,000 solat (satu solat di Masjid Nabawi menyamai 1,000 solat di tempat lain pada asalnya) dikalikan dengan 100 solat di Masjidilharam (satu solat di Masjidilharam menyamai 100 solat di Masjid Nabawi pada asalnya) dan dikalikan juga dengan dua kali ganda sebagaimana yang didoakan oleh Rasulullah SAW.

Natijahnya, satu solat di Masjidilharam menyamai 200,000 solat di Masjid Nabawi. Seterusnya 200,000 solat (satu solat di Masjid Nabawi akhirnya menyamai 200,000 solat di Masjidilharam) dikalikan pula dengan 1,000 solat (satu solat di dalam Masjid Nabawi pada asalnya menyamai 1,000 solat di mana-mana masjid selain Masjidilharam. Maka natijahnya, satu solat di Masjid Nabawi menyamai dua ratus juta solat di mana-mana masjid selain Masjidilharam.

Istimewa al-Raudhah

Antara kelebihan yang hanya ada di Masjid Nabawi adalah lokasi yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW sebagai taman syurga lalu lokasi ini akhirnya dikenali ramai dengan panggilan al-Raudhah al-Sharifahs.

Al-Imam al-Bukhari contohnya melalui jalur sanad beliau meriwayatkan hadis yang menyatakan kelebihan al-Raudhah yang bermaksud: Daripada (Saidina) Abdulloh bin Zayd al-Maziniyy bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Apa sahaja (jarak) di antara rumahku dengan mimbarku adalah satu taman daripada taman-taman syurga.

Al-Imam al-Nawawi di dalam huraian beliau terhadap Sahih al-Imam Muslim menyatakan bahawa para ulama mempunyai dua pandangan dalam menghuraikan hadis di atas.

Pertama: Hadis ini ingin menyatakan bahawa lokasi al-Raudhah al-Sharifah yang berada di dalam Masjid Nabawi akan dipindahkan ke dalam syurga kelak.

Kedua: Hadis ini ingin menyatakan bahawa orang yang beribadah di dalam al-Raudhah al-Sharifah akan dimasukkan ke dalam syurga.

Had Al-Raudhah

Berlaku perbezaan pandangan para ulama dalam menentukan had sebenar al-Raudhah di dalam Masjid Nabawi. Pandangan paling diketahui oleh umum adalah pandangan yang menyatakan bahawa ‘rumah’ dimaksudkan di dalam hadis di atas adalah rumah Saidatina Aishah.

Maka kefahaman ini akan menatijahkan bahawa had al-Raudhah al-Sharifah dari sudut lebar adalah ruang di antara mimbar Nabi SAW dengan makam baginda manakala dari sudut panjang pula adalah ruang di antara bahagian hadapan Masjid Nabawi pada era Rasulullah SAW dengan baris tiang yang keempat.

Namun guru kami Fadhilat al-Shaykh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy memahami bahawa maksud ‘rumah’ di dalam hadis di atas bukan hanya merujuk kepada rumah Saidatina Aishah sebaliknya turut merangkumi seluruh rumah isteri-isteri baginda.

Menurut beliau lagi, Rasulullah SAW hanya menyatakan di dalam hadis di atas akan lebar al-Raudhah menyatakan pula panjang al-Raudhah al-Sharifah.

Maka beliau memahami bahawa panjang al-Raudhah adalah sehingga ke belakang Masjid Nabawi pada hari ini.

Bahkan sekiranya Masjid Nabawi diluaskan lagi dari sudut panjangnya, maka al-Raudhah akan turut memanjang sehingga ke dinding belakang masjid tersebut.

Berdasarkan pandangan fadhilat al-Shaykh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy ini, setiap pengunjung Masjid Nabawi berpeluang melaksanakan solat di al-Raudhah al-Sharifah sepanjang keberadaan mereka di Madinah al-Munawwarah.

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya