selamatkan bayi pramatang

Kos punca bayi ditinggalkan di hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Tiada seorang pun ibu di dunia ini yang mengandungkan anak selama sembilan bulan 10 hari semata-mata untuk membuangnya kelak!

Namun, takdir hidup adakalanya keras.

Kesusahan terlalu mendesak sehingga terpaksa meninggalkan darah daging sendiri meski hati tidak pernah rela.

Percaya atau tidak, itu realiti yang dihadapi segelintir masyarakat pada hari ini.

Ramai antara mereka terpaksa meninggalkan anak di hospital begitu sahaja selepas melahirkan kerana tidak mampu menyelesaikan tunggakan bil hospital.

Bercerita kepada Utusan Malaysia, Pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Datuk Dr. Hartini Zainudin meluahkan rasa sedih itu lantaran beliau banyak menerima kes bayi ‘terdampar’ ini sejak kebelakangan ini.

Kebanyakan bayi yang ditinggalkan adalah bayi pramatang yang menghadapi komplikasi sebaik sahaja dilahirkan.

Antara komplikasi tersebut adalah sindrom gangguan pernafasan, jaundis neonatal dan radang paru-paru kongenital.

“Keadaan ini menyebabkan bil rawatan hospital agak tinggi sekaligus memaksa mereka (ibu bapa) untuk meninggalkan anak-anak begitu sahaja.
“Jika itu terjadi, sangat kasihan kepada anak-anak kerana sekaligus ia boleh meragut kebahagiaan dan masa depan mereka,” ujarnya.

KEMPEN KUMPUL DANA
Bagi mengekang keadaan berkenaan daripada berterusan, Hartini yang juga merupakan aktivis kanak-kanak, melancarkan kempen mengumpul dana bagi menyelesaikan bil rawatan 13 kanak-kanak pramatang, No chlid left behind.

Kempen yang dijalankan secara dalam talian melalui laman sesawang Tiny Heroes itu menyasarkan kutipan sebanyak RM331,000 dan sehingga kini berjaya mengutip lebih RM30,000.

Ia boleh dianggap sebagai satu kecemasan bagi mengelakkan kes meninggalkan bayi di hospital daripada terus meningkat.

Berbekalkan visi ‘Tiada Anak Disisihkan’, katanya, dana yang dikumpul itu kemudiannya akan digunakan untuk menyokong rawatan perubatan khusus dan ubat serta peralatan yang diperlukan.

Selain itu, ia juga akan menampung kos bagi pemantauan berterusan daripada doktor dan jururawat.

“Sebab apa saya mahu percepatkan kutipan dana ini? Saya tidak mahu lagi ada anak-anak yang terdampar ditinggalkan oleh ibu bapa di hospital.

“Bila mereka ditinggalkan, urusan pendaftaran juga akan semakin sukar kerana tiada dokumen dan sebagainya.

“Paling membimbangkan jika kewarganegaraan mereka tidak dapat disahkan memandangkan ketiadaan dokumen yang diperlukan,” katanya yang mengharap ramai yang sudi berganding bahu menyelesaikan isu berkenaan.

Tambahnya, sebagai sebahagian daripada masyarakat inilah caranya untuk dia membantu agar kanak-kanak berkenaan dapat membesar dengan bahagia bersama keluarga tercinta.

Ujarnya, dalam kebanyakan kes bukan kerana ibu bapa tidak sayangkan anak, sebaliknya kerana mereka tiada pilihan akibat kekangan kewangan yang mendesak.

Malah, rawatan intensif terutamanya kepada bayi yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), menelan belanja yang tinggi.

Beban kewangan yang datang daripada penjagaan khusus itu amat berat dan menuntut perbelanjaan besar daripada keluarga.

Lebih menyedihkan, kebanyakan keluarga itu terdiri daripada mereka yang bekerja dalam industri buruh yang hanya dibayar dengan gaji minimum.

“Kami ingin membantu ibu bapa supaya anak-anak ini juga tidak disisihkan hanya kerana semata-mata isu masalah kewangan .

“Bantuan sekecil RM10 pun sudah boleh membantu anak-anak ini untuk hidup gembira membesar bersama keluarga mereka,” katanya mengakhiri bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN