PETALING JAYA: Tampil dengan single baharu, Kurniaku Terindah, kumpulan rock, Jinbara membuktikan perjalanan mereka dalam industri seni muzik masih jauh dari pengakhiran.
Mempertaruhkan karya ciptaan komposer tersohor, Datuk M. Nasir, bagi Jinbara sendiri, kesudian komposer hebat ‘menghadiahkan’ mereka dengan lagu tersebut dianggap sebagai satu kebanggaan.
“Kurniaku Terindah adalah satu projek rakaman khas Jinbara bersama Luncai Emas bagi terus mengukir nama di dalam industri muzik rock. Ini adalah satu pencapaian baru buat kami.
“Ini suatu kehormatan besar dan rasa bersyukur kerana kami diberikan kepercayaan untuk membawakan lagu hasil ciptaan M. Nasir. Memetik kata-katanya, perjuangan dan perjalanan rock kami masih belum tamat lagi.
“Single baru ini memberikan satu erti apabila kita masih lagi bernafas hingga hari ini , diberikan kesihatan yang baik , maka itulah kurnia terindah dari Maha Esa,” ujarnya.
Berkongsi proses rakaman single tersebut, Jinbara berkata, semuanya telah berjalan dengan lancar sebelum menerima berita duka pemergian Allahyarham Tony Iskandar (bekas pemain bass kumpulan Spider) pada 30 Jun 2021.
“Allahyarham merupakan pencetus utama dalam penerbitan single Kurniaku Terindah ini dan kemudian tugas sebagai produser lagu diambil alih oleh Hanafi Spider.
‘’Sewaktu rakaman awal, Allahyarham sememangnya berhasrat untuk menyiapkan projek lagu baru ini hingga siap.
“Arwah pernah juga berkata ‘kita bikin sampai jadi’. Namun, Allah S.W.T lebih menyayanginya. Arwah adalah sahabat dunia akhirat,” katanya.
Sementara itu, dalam usaha untuk terus berinteraksi dengan peminat setia, Jinbara juga akan mengadakan Showcase Rock Untuk Rakyat pada 30 Ogos 2023 di Grand Sabak @ Leypark Station.
“Tiket boleh didapati dengan menghubungi talian 019-933 4021. Dalam pada masa sama, sebuah video lirik Kurniaku Terindah telah dilancarkan pada 18 Ogos 2023 melalui saluran YouTube Luncai Emas.
“Anda juga boleh menikmati audio rasmi di semua platform digital yang tersedia seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan muat turun di Itunes Store,” kongsinya.