Teknologi robotik pembedahan gantian sendi lutut yang baru diperkenalkan mampu memberikan sinar cahaya kepada penghidap penyakit lutut serius akibat osteoarthritis, artritis rheumatoid atau penyakit sendi degeneratif lain.
Melalui pembedahan berteknologi tinggi itu, pesakit mampu pulih dengan sepenuhnya.
Pensyarah Jabatan Ortopedik dan Traumatologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Nor Hamdan Mohamad Yahaya berkata, pembedahan yang menggunakan sistem Robotic Surgery Assisted (Rosa) itu, berupaya untuk mencipta model 3D lutut pesakit.
Sistem itu sekali gus membolehkan pakar bedah membuat perancangan sebelum pembedahan dijalankan.
“Semasa pembedahan, pakar artroplasti akan meletakkan penjejak (tracker) pada kaki pesakit dan mendaftarkan anatomi lutut pesakit ke dalam sistem Rosa bagi membolehkan robot mengesan dan memahami pergerakan lutut pesakit semasa prosedur.
“Melalui sistem Rosa, pakar bedah dapat merancang pemotongan tulang serta pengimbangan ligamen dan tisu yang tepat secara masa nyata (real time), sebelum melakukan pemotongan sebenar,” katanya.
Pakar bedah juga dapat menilai dan mengimbangi ketegangan pada ligamen dan memastikan penjajaran seni lutut dan kestabilan sendi lutut yang betul.
Ketepatan pemotongan dan penempatan komponen gantian sendi lutut yang betul akan dapat meningkatkan jangka hayat prostesis.
KURANGKAN KESAKITAN
Tambah Nor Hamdan, teknologi gantian sendi lutut secara robotik turut dapat mengurangkan kesakitan kerana kurang trauma pada tisu di sekeliling sendi lutut.
“Masa pemulihan juga adalah lebih cepat. Dalam beberapa kes, pesakit dapat berjalan pada hari yang sama setelah dibedah, sekali gus mengurangkan tempoh pesakit tinggal di dalam wad, seterusnya mengurangkan kos perawatan,” katanya.
Pembedahan gantian sendi lutut secara robotik turut mampu meningkatkan kepuasan pesakit dan dapat mengembalikan pergerakan pesakit yang sebelumnya terbatasa.
Sementara itu, dengan adanya sistem pembedahan robotik di hospital pengajar Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), pengajaran teknologi pembedahan robotik dapat dijalankan kepada pelajar pascasiswazah dan pakar-pakar bedah yang ingin mempelajari teknik pembedahan tersebut.
Pelbagai kajian perubatan berimpak tinggi juga dapat dijalankan sekaligus diterbitkan dalam jurnal-jurnal antarabangsa.
“Ia akan menjadikan Fakulti Perubatan UKM sebagai pusat latihan dan pensijilan kepada pakar bedah dalam dan luar negara yang ingin memulakan perkhidmatan Rosa robotik di hospital mereka.
“Teknologi pembedahan gantian sendi lutut secara robotik yang canggih ini akan menjadi era baharu dalam perawatan pesakit yang menderita sakit sendi lutut.
“Ia juga akan memberikan kebaikan kepada semua pihak khususnya kepada pesakit dan pakar–pakar ortopedik, dan secara amnya kepada HCTM, Fakulti Perubatan dan UKM,” tambahnya.
HCTM menyediakan perkhidmatan pembedahan gantian sendi lutut secara robotik kepada pesakit osteoarthritis dan penyakit sendi degeneratif yang lain.
Sistem robotik Rosa dipinjamkan dan ditempatkan di dewan bedah HCTM selama dua tahun menerusi satu memorandum perjanjian (MoA) dengan syarikat Zimmer Medical (M) Sdn Bhd.










