Tarikh 31 Julai setiap tahun diisytiharkan sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat menentang komunis pada 1960. Sambutan ini sebagai usaha dan keprihatinan kerajaan dalam mengenang jasa perwira tanah air yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara.
Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2023 bertemakan ‘Terima Kasih Pahlawan Malaysia’ diadakan di Dataran Pahlawan Negara bagi meraikan seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan beruniform lain yang sedang dan telah menabur jasa, khidmat serta bakti dalam melindungi kedaulatan dan menjaga keselamatan tanah air tercinta.
Ia mengingatkan sejarah perjuangan para pahlawan tanah air seperti tentera, polis, dan badan beruniform lain yang telah memperjuangkan kemerdekaan negara daripada cengkaman penjajah.
Begitu juga, para ulama yang membangkitkan semangat perjuangan dan kepahlawanan dalam usaha menentang penjajahan. Perjuangan itu diiktiraf Islam dalam konteks berjuang mempertahankan negara.
Terdapat pelbagai cadangan tindakan yang boleh diambil dalam suasana menyambut hari pahlawan pada tahun ini supaya memberi impak dan kesan positif dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Pertama, pujian dan sanjungan perlu diberi kepada para pahlawan. Ia perlu diberikan atas pengorbanan yang dicurahkan oleh perwira negara tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memikul amanah menjaga keamanan negara.
Jasa setiap pahlawan negara harus sentiasa dikenang dan dihargai kerana perjuangan serta pengorbanan mereka sama ada sebelum mahupun pascamerdeka telah mencipta ketamadunan di Malaysia.
Sikap menghargai orang lain dan berterima kasih kepada manusia adalah antara ajaran yang terkandung dalam Islam dan menjadi parameter sama ada seseorang itu mensyukuri nikmat Allah SWT atau sebaliknya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia. (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi).
Kedua, bersedia memelihara dan mengekalkan kedaulatan negara tercinta. Perlu ditegaskan, pahlawan negara telah mewariskan negara ini kepada generasi kini untuk dijaga dengan baik.
Generasi kini perlu bertanggungjawab memelihara dan mempertahankan kedaulatan negara daripada diusik mana-mana anasir luar yang berniat menghancurkan negara.
Ada sebuah untaian kata yang bermaksud: “Cintakan negara (tanah air) sebahagian daripada tanda keimanan.” Ungkapan ini bukanlah hadis Nabi SAW, bahkan terdapat pandangan menyatakan sebagai hadis palsu.
Ungkapan di atas adalah berstatus hadis palsu, namun tidak menjadi kesalahan jika seseorang mencintai negaranya atau tempat lahirnya kerana termasuk di dalam fitrah manusia sehinggakan Nabi SAW juga mencintai tempat lahirnya sendiri.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Alangkah baiknya dirimu wahai Mekah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu. (Riwayat al-Tirmidzi: no.3926).
Ketiga, menghapuskan sikap utamakan kepentingan diri sendiri dalam menuruti kehendak nafsu yang tamak sehingga menyebabkan lalai dan leka dalam mempertahankan negara.
Masyarakat dinasihatkan supaya tidak mengamalkan sikap individualistik dan eksklusif yang terarah kepada pengumpulan harta kekayaan dan keuntungan peribadi semata-mata kerana negara perlu dibina dan dipelihara bersama oleh setiap lapisan masyarakat.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Rasulullah SAW mengundang orang Ansar untuk diberi bahagian mereka (tanah) di Bahrain, maka di antara mereka ada yang berkata, Ya Rasulullah, jika anda melakukan hal tersebut kepada kami, maka lakukanlah hal yang sama terhadap saudara-saudara kami orang Quraisy. Tetapi Baginda SAW tidak melakukan hal tersebut lalu Nabi SAW bersabda, sungguh kalian akan menyaksikan sikap individualistik (mementingkan diri) setelah pemergianku. Bersabarlah sehingga kalian bertemu denganku.” (Riwayat al-Bukhari: no.2377)
Hadis di atas menjelaskan larangan terhadap sikap yang selalu mementingkan diri sendiri dan kerakusan untuk mendapatkan sesuatu yang menjadi hak orang lain untuk kepuasan diri semata-mata.
Keempat, membentuk dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Manusia diciptakan wajib hidup bermasyarakat dan bertamadun. Sekalipun manusia diciptakan dengan pelbagai bangsa, agama dan budaya yang berbeza, mereka tetap bersatu atas konsep kemanusiaan.
Pemimpin perlu bertanggungjawab satukan rakyat tanpa melihat perbezaan, manakala seluruh rakyat pula perlu menyahut dan mendokong usaha berkenaan. Setiap usaha provokasi dan pemecah belah masyarakat perlu dihindari dan ditepis dengan bijaksana.
Allah SWT menegaskan konsep perpaduan dengan mendahulukan dalam kalangan umat Islam terlebih dahulu. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudara kalian itu dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kalian mendapat Rahmat. (al-Hujurat: 10).
Kelima, membina persiapan mental dan fizikal secara rapi. Persiapan mental dan fizikal generasi muda perlu dipersiapkan sesuai bidang kepakaran masing-masing supaya negara dapat dibangunkan seimbang dari segenap segi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya… (al-Anfal: 60).
Golongan pemuda kini tidak boleh dilekakan dengan hiburan yang melalaikan, fahaman songsang, gaya hidup bebas, amalan tidak sihat dan lain-lain yang terangkum sebagai budaya hedonisme.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan; dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir. (al-An‘am: 32).
Sejarah merakamkan faktor kejatuhan kerajaan Bani Abbasiah adalah berpunca daripada sikap pemimpin dan rakyat yang mengutamakan kesenangan, kemewahan dan dibuai pelbagai bentuk hiburan hingga menyebabkan empayar yang terbilang itu jatuh.
Demikianlah, panduan yang boleh diambil dalam menghayati hari pahlawan supaya memberi impak dan kesan positif kepada pelbagai lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, remaja, pemuda mahupun golongan dewasa.
—–
PROF. MADYA DR. AZRI BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM, Shah Alam, Selangor.










