juara catur klang

Genivan, johan catur Klang tiga tahun berturut-turut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DILAHIRKAN sebagai bayi pramatang, perkembangan G.Genivan, 14, sangat perlahan berbanding rakan seusianya.

Walaupun disahkan normal dan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan ketika berusia empat tahun, tetapi kemajuannya tetap di tahap sama.

Bayangkan, semasa menuntut di Tahun 4, Genivan masih tidak dapat menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira dengan baik.
Situasi itu tentunya meresahkan kedua ibu bapanya, M.Genkeswaran, 45, dan S. Selvi, 45.

Namun, siapa sangka remaja yang lewat perkembangannya ini, kini merupakan johan pertandingan catur seluruh Klang selama tiga tahun berturut-turut sejak 2019.

Malah, anak sulung kepada pemenang pingat gangsa catur dalam Sukan SEA 2013 itu turut melakar banyak kejayaan dalam pertandingan peringkat negeri dan negara.

Antaranya termasuk bersaing dengan atlet bertaraf Grandmaster dari Vietnam, Nguyen Duc Hoa dalam Kejohanan Catur Terbuka Antarabangsa Johor pada tahun lalu.

Lebih istimewa, Genivan merupakan pencabar termuda tanpa gelaran dalam kejohanan tersebut.

Pencapaian demi pencapaian yang diraih, membolehkan kedudukannya melonjak pantas dalam rating dunia kelolaan Persekutuan Catur Antarabangsa (Fide).

Terkini, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Mahadi di Klang itu menduduki tempat ke 1,785 berbanding sebelumnya 1,133 pada Februari 2019.


Tidak minat catur

Selvi berkata, sejak kecil anak sulungnya itu tidak menunjukkan minat terhadap catur, sebaliknya gemar menonton televisyen.

Katanya, pelbagai alasan diberikan Genivan untuk mengelak daripada bermain catur dan mereka suami isteri akur untuk tidak memaksa.

Tetapi, segalanya berubah apabila anaknya yang ketika itu berusia lapan tahun mendengar kisah pengalaman suami ke luar negara kerana bertugas dalam kejohanan catur.

“Dia tanya kalau main catur boleh ke luar negara, naik kapal terbang dan tidur di hotel sambil jalan-jalan ke?

“Suami menerangkan satu persatu kepadanya termasuk mengenai atlet bertaraf Grandmaster yang biasanya akan dijemput ke kejohanan dan diberikan tajaan selain wang ganjaran jika menang.

“Beberapa minggu selepas itu, guru catur di sekolah memaklumkan anak saya dapat menjawab soalan lisan dengan baik sedangkan di rumah dia bukan seorang yang rajin membaca dan itulah permulaannya terlibat dalam dunia catur,” katanya.

Genivan mula melipatgandakan usaha untuk menguasai sukan itu hingga muncul johan sekolah dan kemudian mencipta nama di peringkat daerah.

Paling mengharukan apabila anaknya berjaya mengatasi kelemahan membaca dan mengira secara perlahan-lahan ketika berusia 11 tahun dan lulus kesemua subjek buat pertama kalinya ketika di Tahun 6.

Pendedahan sejak dalam kandungan

Selvi dan suami pelik dengan perkembangan luar biasa anaknya dalam catur yang langsung tidak diduga itu.

“Bayangkan ketika itu, perkembangan akademiknya masih perlahan, jauh berbeza dengan catur, sedangkan suami tidak pernah mengajarnya langsung sebelum ini.

“Saya fikir mungkin sebab catur sudah sebati dengan Genivan kerana semasa hamilkannya, saya sering menemani suami ke pelbagai kejohanan dunia dan melihat suami melatih atlet,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya