Enam tiang utama Masjid Nabi - Utusan Malaysia

Enam tiang utama Masjid Nabi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIRI 2

Saya telah menerangkan di dalam tulisan yang lepas mengenai tiga tiang utama yang berada di dalam Masjid Nabawi iaitu Tiang al-Mukhollaqah, Tiang Saidatina Aishah dan Tiang Taubat.

Kali ini saya akan menerangkan pula berkenaan tiga tiang yang berbaki yang turut berkait rapat dengan sejarah Rasulullah SAW iaitu Tiang al-Sarir, Tiang al-Haros dan Tiang al-Wufud.

Ustuwanah Al-Sarir (Tiang Katil)

Tiang ini dikenali dengan nama Ustuwanah Al-Sarir (Tiang Katil) kerana apabila Rasulullah SAW beriktikaf di Masjid Nabawi, katil baginda akan diletakkan di tiang ini supaya nabi dapat baring dan berehat sepanjang baginda beriktikaf.

Tiang ini berada betul-betul di sebelah kiri Tiang Saidina Abu Lubabah lalu menjadikan kedudukan tiang ini dari arah kiri al-Masjid al-Nabawi yang asal adalah tiang yang pertama pada baris yang kedua dari arah kiblat.

Sementara dari arah kanan Masjid Nabawi selepas berlaku peperangan Khaibar adalah tiang yang kesepuluh pada baris yang kedua dari arah hadapan masjid. Para pengunjung dapat melihat tulisan khat di bahagian atas tiang ini yang berbunyi: “Inilah Tiang Katil”.

Ustuwanah Al-Haros (Tiang Para Pengawal)

Tiang ini berada berhadapan dengan pintu rumah Saidatina Aishah.

Satu ketika dahulu para sahabat Nabi SAW akan berkawal waktu malam di tiang tersebut demi menjaga keselamatan Rasulullah SAW. Selain itu tiang ini juga dikenali dengan nama Tiang Saidina Ali Bin Abu Talib kerana beliau pernah berkawal di situ demi menjaga keselamatan Rasulullah SAW. Selain itu tiang tersebut juga merupakan lokasi solat Saidina Ali.

Tiang ini berada betul-betul di bahagian belakang Tiang Katil lalu menjadikan kedudukan tiang ini dari arah kiri Masjid Nabawi yang asal adalah tiang yang pertama pada baris yang ketiga dari arah kiblat.

Manakala dari arah kanan Masjid Nabawi selepas berlaku peperangan Khaibar adalah tiang yang kesepuluh pada baris yang ketiga dari arah hadapan masjid. Para pengunjung dapat melihat tulisan khat di bahagian atas tiang ini yang berbunyi: “Inilah Tiang Para Pengawal”.
Rasulullah SAW melaksanakan solat di dalam Masjid Nabawi secara menghadap ke Masjid al-Aqsa selama 17 bulan.

Menurut Dr. Nizar Mahmud Qosim al-Shaykh; lokasi solat Rasulullah SAW sepanjang kiblat masih Masjid al-Aqsa adalah di antara tiang keempat dengan tiang yang kelima dari arah belakang Masjid Nabawi yang setentang dengan Tiang Saidatina Aishah.

Seseorang yang berada di antara dua tiang ini jika dia menghadap ke arah belakang Masjid Nabawi iaitu menghadap ke arah Masjid al-Aqsa, dia akan mendapati pintu Saidina Jibril berada di arah kanannya.

Apabila kiblat ditukar kepada Masjidilharam, Nabi SAW telah menjadikan posisi solat baginda di dalam Masjid Nabawi di belakang satu tiang yang dikenali hari ini dengan nama Tiang al-Mukhollaqah (Tiang Yang Diwangikan). Baginda akan sujud betul-betul di hadapan tiang ini.

Pada hari ini lokasi sujud Nabi SAW sudah termasuk di dalam bangunan mihrab yang berada di hadapan Tiang al-Mukhollaqah. Maka sesiapa yang sujud betul-betul di bahagian kanan mihrab tersebut, dia sebenarnya telah meletakkan dahinya di lokasi tapak kaki Rasulullah SAW sewaktu baginda solat di Masjid Nabawi.

Bahagian kanan mihrab yang merupakan lokasi tempat Rasulullah SAW berdiri ketika solat ditanda dengan petikan yang berbunyi: “Inilah Tempat Solat Rasulullah SAW”.

Pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat mengambil peluang membina rumah mereka di sekeliling Masjid Nabawi agar mereka beroleh kemuliaan berjiran dengan Nabi SAW. Antara yang mengambil peluang ini adalah Saidina Abu Bakr al-Siddiq. Beliau juga mempunyai rumah-rumah yang lain di al-Madinah.

Pada hari ini kedudukan rumah Saidina Abu Bakr al-Siddiq adalah bersebelahan dengan dinding sebelah kanan Masjid Nabawi yang asal selepas peperangan Khandaq.

Maka kedudukan rumah beliau adalah kira-kira dari arah kiri Masjid Nabawi yang asalnya bersebelahan dengan tiang yang kesepuluh pada baris kelima dan baris keenam dari arah kiblat.

Penutupan Semua Pintu Kecuali Pintu Saidina Abu Bakar

Sebagaimana yang diketahui, para sahabat Nabi SAW yang berkemampuan telah mengambil peluang membina rumah mereka di sekeliling Masjid Nabawi. Maka kebanyakan rumah yang dibina di sekeliling masjid mempunyai dua pintu; sebuah pintu menghadap terus ke arah dinding masjid dan satu lagi menghadap ke arah lain.

Maka pada akhir hayat Rasulullah SAW, baginda meminta semua para sahabat yang mempunyai rumah di sekeliling masjid agar menutup terus segala pintu rumah mereka yang menghadap terus ke dinding masjid kecuali Saidina Abu Bakar.

Hanya beliau yang dibenarkan oleh Nabi SAW untuk terus mengekalkan pintu rumah beliau menghadap ke arah dinding masjid. Ini menunjukkan ketinggian darjat Saidina Abu Bakr di sisi Allah dan di sisi Rasulullah SAW.

Pada hari ini apabila Masjid Nabawi diperluaskan sehingga melebihi keluasan masjid pada zaman Rasulullah SAW selepas peperangan Khaibar, rumah Saidina Abu Bakar sudah ditiadakan dan lokasi tapak rumah ini sudah termasuk di bahagian hadapan sebelah kanan Masjid Nabawi.

Walaupun rumah barakah ini sudah tiada, terdapat satu papan tanda di bahagian atas dinding sebelah kanan Masjid Nabawi yang tertulis: “Inilah khowkhoh (pintu kecil) Saidina Abu Bakar al-Siddiq”.

Perlu diingatkan bahawa papan tanda tersebut bukanlah berada pada lokasi asal rumah Saidina Abu Bakar. Bahkan ia adalah setentang dengan rumah asal Saidina Abu Bakar yang berada betul-betul di tepi dinding Masjid Nabawi pada zaman Rasulullah SAW.

Saiz Awal Masjid Nabawi

Pada asalnya Masjid Nabawi yang dibina oleh Rasulullah SAW dan para sahabat tidaklah sebesar masjid itu pada hari ini. Panjang masjid dari arah utara ke selatan pada awal pembinaan hanyalah 70 hasta (35 meter) manakala lebarnya dari arah timur ke barat adalah 60 hasta (30 meter). Dinding Masjid Nabawi pula adalah setinggi 4 hasta (2 meter).

Seterusnya setelah peperangan Khaibar pada Muharam tahun ke-7 hijrah, bilangan para sahabat yang melaksanakan solat di Masjid Nabawi semakin bertambah.

Akhirnya masjid ini diperluaskan sehingga panjangnya dari arah utara ke selatan adalah 100 hasta (50 meter) dan lebarnya dari arah timur ke barat juga adalah 100 hasta (50 meter). Dinding Masjid Nabawi turut ditinggikan daripada 4 hasta (2 meter) diubah kepada 7 hasta (3.5 meter).


PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN