tumor

Sakit kepala, muntah waktu pagi petanda kanak-kanak hidap tumor otak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sakit kepala, muntah terutamanya pada waktu awal pagi selain loya dan mengalami kerengsaan atau perubahan personaliti adalah antara petanda kanak-kanak menghidap penyakit tumor otak.

Menjelaskan dengan lebih terperinci, Pakar Perunding Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Yap Tsiao Yi berkata, gejala seperti mengantuk serta kurang bertindak balas sehingga menyebabkan koma juga boleh berlaku.

 

Sekiranya tidak tidak dirawat, ia boleh membawa kepada kematian.

Tumor otak adalah kanser kedua tertinggi dan tumor pepejal yang paling lazim ditemui pada kanak-kanak.

Keadaan yang berlaku kepada kanak-kanak dikenali sebagai tumor primer kerana ia berpunca daripada sel tumor otak.

Sementara itu, tumor otak metastatik (tumor sekunder) atau tumor yang merebak daripada sel-sel kanser dari bahagian badan yang lain ke otak, adalah kurang lazim terhadap kanak-kanak tetapi masih boleh berlaku dalam jenis kanser kanak-kanak tertentu.

Pertambahan saiz kepala

Tambahnya yang juga Pediatrik Hematologi dan Onkologi, banyak tanda dan simptom bergantung kepada umur kanak-kanak dan lokasi tumor di dalam otak.

“Bagaimana pun, secara umumnya, tumor yang semakin membesar boleh menolak otak sehingga menyebabkan tekanan terus ke tisu otak atau penyumbatan yang menghalang aliran cecair di dalam otak (cecair serebrospinal) yang boleh mengakibatkan sakit kepala dan muntah-muntah.

“Adakalanya tumor otak tertentu boleh menyebabkan peningkatan pengeluaran cecair serebrospinal dan jika terdapat pada bayi yang lebih muda di bawah umur satu tahun, ia boleh menyebabkan pertambahan saiz kepala, muntah, tumbesaran terbantut dan/atau kerengsaan (menangis yang tidak dapat ditenangkan tanpa sebab),” jelasnya.

Di samping itu, pesakit juga mungkin menunjukkan tanda-tanda lain seperti penglihatan berganda, penglihatan kabur serta masalah perubahan penglihatan yang lain.

Selain itu, pergerakan mata yang tidak normal, pertuturan yang tidak jelas, lumpuh atau kelemahan bahagian muka atau badan, masalah komunikasi, masalah berjalan dan sawan.

Ibu bapa digalakkan untuk mengetahui tanda-tanda dan simptom tersebut dan jika ada, harus berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Bagi kes kecemasan, kanak-kanak perlu membawa anak-anak mereka ke jabatan kecemasan secepat mungkin.

Rawatan

Diagnosis tumor otak pada kanak-kanak memerlukan pemeriksaan latar belakang dan fizikal yang komprehensif oleh doktor, khususnya pemeriksaan neurologi menyeluruh.

Malah, jika bersesuaian, turut menggunakan imbasan tomografi berkomputer (imbasan CT) atau Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) otak.

“Apabila tumor ditemui pada imbasan pengimejan, ujian darah boleh dibuat untuk menentukan sama ada penanda tumor meningkat.

“Kadangkala, tusukan lumbar (ketukan di tulang belakang) diperlukan untuk memeriksa cecair serebrospinal untuk sel-sel tumor, manakala biopsi ke atas tumor boleh membantu mengesahkan diagnosis,” jelasnya.

Pilihan rawatan selepas diagnosis bergantung kepada jenis tumor otak kerana setiap satunya adalah berbeza, antaranya memerlukan pembedahan untuk membuang, kemoterapi, terapi radiasi atau ketiga-tiga jenis rawatan ini.

Oleh itu, tempoh pemulihan adalah tertakluk kepada pilihan rawatan yang dijalani.

Sudah tentu, ia pasti memberi kesan yang besar terhadap kehidupan kanak-kanak kerana perlu melalui proses rawatan, temu janji perubatan, menginap di hospital dan berisiko mengalami kesan sampingan yang mampu mengganggu rutin harian serta interaksi sosial mereka.

Bagaimanapun, dengan kemajuan sains perubatan hari ini serta melakukan pengesanan awal dan mendapat rawatan yang betul, ramai kanak-kanak dan ahli keluarga mereka berjaya mengatasi cabaran apabila didiagnosa dengan tumor otak.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya