Wajah dua beradik ini kerap menghiasi kempen dan iklan komersial pelbagai jenama.
Bagi yang rajin membeli-belah dalam talian, pasti sudah biasa melihat wajah Puteri Raisya Qaireen Mohd. Zarmimi, 7, bersama adiknya, Puteri Rania Qaseeh, 4, dalam katalog pakaian keluaran butik terkemuka tempatan.
Selain penggambaran di studio, model cilik ini turut aktif mengayakan koleksi lebaran di pentas peragaan.
Ibu mereka, Sharifah Noorhanim Syed Ahmad, 42, berkata, penglibatan kedua-dua puterinya dalam memperagakan fesyen bermula sejak kecil lagi.
Katanya, anak sulung mengikuti uji bakat iklan komersial seawal usia enam bulan manakala anak bongsu pula, baharu berjinak-jinak dalam bidang itu.
Ujarnya, bakat semula jadi dimiliki Puteri Raisya Qaireen mendorongnya membawa kanak-kanak itu menyertai pertandingan peragaan pula semasa berusia empat tahun.
“Saya sudah nampak kemampuan Raisya dalam iklan komersial dan terfikir untuk meluaskan bakatnya di pentas peragaan.
“Daripada sekadar cuba-cuba, saya tengok mereka seronok, tidak takut atau malu-malu hingga mampu meraih tempat ketiga dalam acara besar seperti Pertandingan Face of Malaysia 2022,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Antara iklan komersial dibintangi Puteri Raisya Qaireen ialah Panasonic, MyTular, Honda HRV, Dutch Lady, Dugro, Amazon Singapore, RHB Islamic, syampu Safi dan Oppo.
Karakter berubah di pentas peragaan
Walaupun didedahkan dengan fesyen sejak bayi tetapi kehidupan Puteri Raisya Qaireen sama seperti kanak-kanak seusianya.
Sebaliknya Sharifah Noorhanim berkata, anaknya gemar bermain permainan video pada masa lapang.
Katanya, jarang sekali kanak-kanak itu berlatih berjalan atau bergaya di depan cermin ketika di rumah.
“Di rumah, dia seperti budak biasa tetapi apabila di studio atau pentas, karakternya berubah dan dia tahu tugasan yang digalas sebagai model profesional.
“Saya kagum dengan semangat dan komitmen Raisya di sebalik usianya yang cuma tujuh tahun, dia tidak kisah bangun awal pagi ke set pengambaran mahupun bertukar sehingga 45 helai baju dalam sehari,” katanya.
Menurut Sharifah Noorhanim, bagi memantapkan kemahiran anaknya, Puteri Raisya Qaireen turut dihantar ke sekolah modeling.
Katanya, tahun depan anaknya akan ke Vietnam bagi menyertai minggu fesyen antarabangsa di negara berkenaan.
MAHU JADI DOKTOR
Sharifah Noorhanim berkata, anak sulungnya itu bercita-cita menjadi doktor apabila dewasa kelak.
Katanya, dunia peragaan hanya sekadar untuk mengisi masa lapang dan bukan bagi dijadikan kerjaya tetap anaknya di masa depan.
Ujarnya, sebagai ibu bapa, dia dan suami, Mohd. Zarmimi Ibrahim, 46, berharap anak-anak dapat berjaya dalam akademik.
“Pendedahan dalam bidang fesyen ini hanya untuk menyokong minat anak-anak dan tawaran yang diterima biasanya akan disesuaikan dengan jadual sekolah.
“Alhamdulillah, pelajaran Raisha tidak pernah terganggu malah keputusan peperiksaannya juga cemerlang,” katanya.
ANAK BONGSU PEMALU
Pada peringkat permulaan Puteri Rania Qaseeh sentiasa mahu ditemani ibu dan kakaknya ketika sesi penggambaran.
Menurut Sharifah Noorhanim, hal itu kerana, anak bongsunya lebih pemalu berbanding Puteri Raisya Qaireen yang ceria dan mudah menyesuaikan diri sebagai model.
“Tetapi apabila sudah biasa dibawa ke studio dan tengok kakaknya bekerja, dia mula dapat rentak dan minat itu akhirnya timbul.
“Sampaikan di rumah pun ada masanya dia berlatih berjalan dan bergaya di depan cermin, kalah kakaknya,” katannya berseloroh.










